menyintai dan dicintai

........indahnya masa bercinta

Kelmarin ketika berbual-bual dengan seorang ustazah di tempat bertugas, ustazah menceritakan pengalamannya tentang seorang pelajar telah jatuh cinta kepadanya. Teringat aku pada sebuah novel tulisan Khatijah Hashim iaitu 'Mira Edora'. Isu yang hampir sama yang diceritakan dalam novel tersebut iaitu tentang keakraban seorang guru yang membawa kepada pelajar jatuh cinta kepadanya. Kemudiannya kisah novel tersebut telah diangkat ke layar perak.

Walaupun kisah pelajar jatuh cinta kepada guru merupakan kisah basi, namun apa yang ingin aku perkatakan ialah tentang nilai kasih sayang yang tulus, jujur dan polos telah menimbusi benteng perbezaan usia. Kata perpatah; cinta tidak mengenal usia. Benarkah perpatah tersebut??

Terkadang bila kita terlalu rapat, mengambil berat di antara satu sama lain,. Dan tanpa sedar bibit-bibit perasaan kasih, sayang dan rindu datang mengamit. Perasaan halus itu sukar dibendung. Tidak bertemu akan menjadi resah. Tidak berbual menjadi tak keruan. Akhirnya terserah kepada siapa yang berani meluahkan...

Ketika itu, tiada siapa yang dapat menghalang. Sesiapa yang membantah akan ditentang. Segala keburukan dia yang diceritakan akan dihakis dengan segala kebaikan yang kita rasai. Oh...cinta itu buta. Hanya kita mengalami mengetahui. Benarlah kata Uda dan Dara, Romeo dan Juliet,"ambil mataku, letaklah di matamu, akan kau tengok Dara dan Juliet itu cantik."

seperti kata orang tua-tua,"...

Nasi lemak, buah bidara
sayang selasih hamba lurutkan
Buang emak, buang saudara
kerana kekasih aku turutkan


Hebatnya perasaan halus anugerah Ilahi ini. Perasaan mencintai dan dicintai. Ramai gadis yang kecundang kerana menuruti perasaan ini. Ramai jejaka yang menderhaka kepada kepada kedua orang tuanya kerana pilihannya tak direstui. Dan ramai jua orang-orang tua yang hanyut dibuai kembali perasaan ini.


Alangkah indahnya ketika diulit perasaan ini... menyintai dan dicintai.

Berasa Hati

sebesar mana lagi hati ini yang tinggal...

Berasa hati atau kecil hati sering terjadi kepada setiap insan yang bergelar manusia kecuali Junjungan Nabi Muhamad s.a.w. Aku sendiri tidak tahu sebesar mana lagi hati yang tinggal kerana seringkali berlaku kecil hati. Bila berkecil hati, secara tanpa sedar kita mula menanam bibit-bibit rasa marah, benci dan ingin membalas dendam. Datang dalam urat darah kita bisikan-bisikan halus yang menerjah ke lubuk hati untuk memaksa air mata keluar dari kelopaknya tanpa dipaksa. Terjentik rasa pilu dan sebak di dada kita. Spontan inspirasi wajah berubah. Dari suasana ceria bertukar mendung. Dari senyuman berubah monyok dan masam. Kemudiannya kita mula membina sejuta alasan untuk mempertahankan tindakan dan pelakuan kita yang menyebabkan berlakunya peristiwa 'berasa hati' tersebut. Sesusulannya timbullah perasaan menyalahkan orang lain. Jauh sekali kita memujuk diri agar menerima dengan lapang dada dan penuh ketenangan peristiwa 'berasa hati' itu.

Hebatnya... bila kita 'berasa hati'.

Diri kita yang selama ini seorang yang pemaaf, tiba-tiba menjadi pendendam. Diri kita yang selama ini suka menolong, akan bertukar menjadi 'aku-aku, kau-kau'. "Biar padam muka kau kerana telah melukakan hatiku." begitulah barangkali bisikan hati kita ketika 'berasa hati'. Ketika itu, hilang sudah segala pengetahuan dan ajaran mulia rasul kita supaya menjadi seorang pemaaf. Kisah-kisah teladan junjungan baginda yang bersifat pemaaf telah menjadi sejarah dan nostalgia. Tempatnya kini telah diganti dengan perasaan 'berasa hati' dan perasaan marah + dendam yang meruap-ruap. Biarkan...

Terserahlah kepada kita bagaimana hendak menangani perasaan 'berasa hati' ini.! Ada orang bila ada perasaan seperti ini, cepat-cepat ambil wuduk dan mendirikan solat sunat taubat. Ada orang yang suka bersendirian, membiarkan perasaan itu bermaharajalela dalam dirinya... menangis tersedu sedan di dalam bilik tanpa diketahui oleh orang lain. Ada juga yang menulis di blog seperti aku ini... berkongsi 'berasa hati' dengan mereka yang mengerti dan memahami perasaan ini. Walau apa pun caranya, yang penting ianya membawa kebahagian kepada kita... persetankan mereka yang membuat aku 'berasa hati'.



Perutusan Hari Raya

Perutusan Hari Raya Mursyidul Am PAS
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mon | Sep 21, 09 | 6:42:45 am MYT

Assalamu'alaikum wa Rahmatullah,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu." (Surah Al Baqarah : 185)




Setelah kita berpuasa, bertarawikh, berqiyamullail, bertadarus, bersedekah, berzikir dan sebagainya sepanjang Ramadhan, Allah S.W.T menyuruh kita bertakbir dalam berhari raya.

Takbir ialah sebutan Allahu Akbar yang bermaksud "Allah Adalah Yang Terbesar". Manakala yang lainnya adalah yang paling kecil dan mesti dipinggirkan apabila bertembung dengan Kehendak Allah S.W.T.

Malangnya ramai orang yang menyebut Allahu Akbar sebagai satu tradisi sahaja. Inilah masalah besar yang berlaku di kalangan umat Islam sejak kebelakangan ini.

Hari Raya bukanlah tradisi ciptaan orang Arab, bukan juga tradisi ciptaan orang Melayu. Bahkan ia merupakan kehendak agama.

Antara nikmat berhari raya ialah kita boleh makan dan minum setelah sebulan penuh tak boleh makan harta sendiri. Nikmat ini tak dapat dirasai oleh orang yang tidak berpuasa. Orang yang perutnya kenyang sepanjang tahun, tak terasa sedikit pun kemanisan nikmat ini.

Apabila disebut hari raya, buka saja anak kecil bahkan orang tua dan orang sakit pun turut berseronok sama. Islam minta kita bersukaria dengan amalan ziarah dan bermaafan antara satu sama lain.

Pada hari raya kita tak dibenarkan berpuasa sekalipun puasa itu sendiri adalah ibadat. Tapi dalam persoalan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya, kita tak boleh buat pandai-pandai.

Apabila Allah Ta'ala minta kita mengerjakan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya mengikut cara dan masa yang telah ditentukan.

Begitu juga dalam kita berhari raya, tak boleh kita buat ikut pandai sendiri. Kita berseronok dalam lingkungan yang dikehendaki oleh Allah. Sebab itu kita tak boleh berhari raya dengan pakaian, pergaulan, makan minum dan hiburan yang terlarang dan berunsur maksiat.

Berapa ramai anak-anak mengalami putus jari tangan, buta mata, muka melecur dan sebagainya akibat bermain mercun tanpa kawalan pada setiap tahun.

Berapa ramai pula yang terlibat dengan kemalangan maut pada setiap musim perayaan akibat kelalaian dan tidak memperdulikan peraturan jalanraya sehingga mengorbankan ramai orang yang tidak bersalah.

Apabila hari raya, memang menjadi fitrah manusia suka berseronok. Tapi Islam mengajar kita mengikut peraturan tertentu supaya sambutan hari raya menjadi ibadat yang mendatangkan pahala. Antara jadual berhari raya, kita disunatkan mandi sebelum pergi ke masjid.

Kalau kita mandi biasa, tubuh kita saja yang bersih. Tapi apabila kita niat bahawa mandi sunat hari raya, bukan tubuh kita saja yang bersih dan berbau sedap bahkan kita dapat pahala.

Sesetengah orang tak berapa minat sangat nak cari pahala. Apa yang dia minat ialah cari duit dan harta saja. Kepada orang-orang sebegini, dia kena faham bahawa pahala adalah mata wang (currency) yang sangat berguna apabila kita masuk kubur. Apabila kita masuk kubur, kita tidak mati seratus peratus.

Yang mati dan hancur menjadi debu hanyalah jasad kita. Roh dan jasad kita akhirnya akan dibangkitkan kembali di akhirat nanti.

Sebagaimana jasad manusia di dunia ini berkehendak kepada makan minum. Untuk memenuhi keperluan fizikal di dunia ini, kita terpaksa gunakan wang untuk membeli makanan, minuman dan pelbagai keperluan lain.

Tapi apabila saja kita masuk ke dalam kubur, semua jenis mata wang dunia ini tidak laku lagi. Duit Amerika tak laku. Mas jongkong pun tak laku. Yang lakunya ialah pahala.

Pahala adalah aset dan mata wang yang kita sangat perlukan semasa berada di dalam kubur dan di Padang Mahsyar. Salah satu cara untuk kita mendapat pahala selain daripada berpuasa, bertadarus, bertarawikh ialah dengan kita berhari raya menurut cara yang telah ditunjukkan oleh Islam.

Kita diminta membayar zakat fitrah untuk membantu golongan fakir miskin. Tentunya oarng yang tidak berkemampuan tidak ramai.

Jadi, apabila semua orang yang berkemampuan membayar zakat fitrah, kita boleh fikir sendiri betapa banyaknya harta yang diberikan kepada fakir miskin yang membolehkan mereka tumpang berseronok sama.

Pada hari raya kita diminta memakai pakaian cantik, seboleh-bolehnya pakaian yang belum dipakai lagi. Kalau pakaian sudah dipakai pun tak apa, asalkan halal dan bersih. Kita tetap juga akan mendapat pahala.

Kita juga diminta membawa anak-anak ke masjid, ke surau, ke musalla untuk bertakbir mengagungkan Allah S.W.T dan seterusnya untuk mengerjakan sembahyang sunat hari raya demi untuk bersyukur di atas hidayah kurniaan Allah kepada kita dan juga untuk bertaqarrub kepada Allah 'Azza Wa Jalla.

Sembahyang sunat Aidilfitri ada bacaannya sepertimana yang dibacakan oleh Rasulullah S.A.W. Dalam sembahyang sunat Aidilfitri, Rasulullah S.A.W membaca Surah Qaaf dalam raka'at yang pertama dan Surah Al Qamar pada raka'at kedua. Kedua-dua Surah ini menyentuh tentang Kiamat.

Ketika umat Islam sedang berseronok, tiba-tiba Nabi kita membacakan Surah yang menceritakan tentang kedahsyatan huru-hara yang pasti akan berlaku pada Hari Kiamat nanti. Sekaligus ia bermaksud bahawa segala nikmat hidup di dunia ini pasti akan disoal dan akan dikenakan pembalasan.

Siapa pun yang hidupnya di dunia ini, apabila selaras dengan kehendak Al Quran akan dimasukkan ke dalam syurga. Apabila tak selaras dengan kehendak Al Quran, baik dalam masalah politik, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, rumah tangga dan sebagainya dia akan masuk neraka. Wallahua'alam._

Esok Hari Raya

Saling bermaaf-maafan adalah amalan mulia

Esok hari raya. Kuliah subuh pagi ni yang disampaikan oleh Ketua Hakim Makhamah Syariah Kuala Terengganu masih lagi menyentuh tentang hari-hari terakhir kelebihan ramadhan. Beliau menyarankan mana-mana ahli-ahli jamaah yang hadir pada pagi ini yang belum mengambil kesempatan atas kelebihan bulan ramadhan masih mempunyai peluang 1 hari lagi. Bermula subuh sehingga terbenamnya matahari. Beliau juga menyentuh tentang budaya orang kita yang pada akhir-akhir ramadhan ini duk sibuk mengemas rumah, membeli pakaian, membuat kuih dan sebagainya. Bukan sebaliknya memperbanyakkan amal ibadat mengambil kelebihan bulan ramadhan yang terakhir.

Beliau juga menerangkan cara-cara yang sepatutnya menyambut hari raya dengan mempelbanyakkan tabir dan tahmid. Membanyakkan sedekah, dan saling zairah-mengziarahi di antara kita. Sebab itulah kita disunatkan pulang dari masjid mengikut jalan yang berbeza dari jalan ke masjid tadi supaya kita dapat berjumpa dengan orang lain di sepanjang jalan pulang tersebut.

Di rumah; aku melihat isteri dan anak-anakku mengambil bahagian masing-masing dalam mengemas rumah. Naya pulak aku tengok. Bersungguhnya mereka nak menyambut hari raya. Supaya mereka tak berkecil hati, aku capai alat mesin rumput dan potong rumput di halaman rumah biarpun rumput itu masih belum panjang lagi. Aku mahu mereka tahu yang aku juga bersemangat seperti mereka. Dan lagi satu aku tak mahu mereka jadi sepertiku dulu. Pada hari raya yang tiada baju raya, kasut raya, apatah lagi songkok dan baju melayu. Aku hanya ada baju melayu apabila aku hendak masuk ke maktab perguruan sahaja. Biasanya bila sudah sahaja solat sunat hari raya, aku banyak lepak rumah mak saudara kerana di sana aku ada sepupu yang senasib denganku. Aku malu untuk pergi ke rumah kawan-kawan kecuali rumah sahabat karibku Ahmad Rizal. Hari selebihnya aku banyak berada di dangau ( pokok kecil ) di tepi sawah. Melayang perasaan melihat liuk lingkup bunga-bunga padi ditiup angin. Sesekali aku mengaju bunyi burung pipit.

rindunya

aku merindui kalian...


Rindunya aku pada rakan-rakan lama. Rakan semasa sekolah, semasa di maktab perguruan dan juga semasa di universiti. Tika hujan turun di waktu-waktu senja begini mengamit segala rindu kepada mereka. Oh..rindunya. Pada teman sekolah dulu, di mana kalian... aku rindu kamu semua

i. Ahmad Rizal

Rindu pada Ahmad Rizal yang khabarnya sudah menetap di Johor Bharu. Bekerja dan berkahwin dengan orang sana. Kenangan semasa study di rumahmu masih kuat dalam ingatan ini. Teringat kebaikkan ibumu yang sentiasa membancuh Kopi O panas buat kita mentelaah pelajaran. Dan yang paling hebat tentang gelagat kita yang ala-ala profesor gila dulu. Mencipta sesuatu dari pengetahuan fizik yang ciput. Nyaris-nyaris bilikmu terbakar akibat kerja gila kita. Dan bila kita hendak melepaskan tension belajar, kita akan sama-sama pergi mandi di parit tali air berhampiran kampung kita. Kita berlumba-lumba menyelam dan mengumpul siapa yang paling banyak mendapat 'etok''. Seperti dalam pelajaran, kau juga yang menang. Kau tahu Rizal, aku amat sedih bila kita terpisah apabila kau dapat tawaran ke Universiti Malaya. Kau beruntung Rizal, lahir sebagai anak ketua kampung yang memahami kepentingan pelajaran. Mula-mula masuk U dulu, kau begitu ghairah menghantar surat menceritakan kesukaran belajar di sana. Kemudian surat-suratmu beransur kurang dan akhirnya tiada langsung. Aku kehilangan seorang kawan baik.

ii. Nasir

Kau seorang pelajar yang dikagumi di sekolah. Menjadi ketua murid. Aku dari dahulu lagi cemburu melihatmu. Cemburu bila kau mempunyai ramai peminat. Ramai kawan. Malah kau juga pandai melukis. Aku masih ingat lagi, kau paling top bila cerita cintamu tersebar dengan rakan kelas kita, si Noriza tu. Cemburu aku bertambah, bila kau merupakan pasangan yang paling romantis. Siapa dalam kelas kita yang tak tahu tentang kehebatan cinta kalian. Berbalah, bertengkar kemudian berdamai kembali. Tapi sayang... cinta kalian tidak sampai ke jinjang pelamin. Kalian berpisah apabila kau dapat tawaran ke Universiti Malaya manakala si Noriza mendapat keputusan yang kurang baik.

Tapi aku terkejut melihat perubahanmu bila pulang bercuti dari U. Kamu benar-benar perubah. Penampilanmu jauh berbeza. Cara bercakap, berpakaian dan yang anehnya kau mula menghisap rokok. Dulu... kau adalah seorang yang cukup anti dengan rokok. Aku pun kau marah apabila aku berjinak-jinak dengan merokok saat aku kecewa tak dapat tawaran U sepertimu. Dan dengar khabarnya, kau akhirnya dibuang dari universiti.

Tapi nasib masih menyebelahimu, apabila lagi sekali kau diterima masuk ke maktab perguruan dan akhirnya menjadi cikgu. Begitulah, takdir manusia di tangan tuhan.


iii. Noriza

Kisahmu cukup hebat dari dulu sampai sekarang. Aku pernah melihat kau menangis di saat kau bermasam muka dengan si Nasir. Kau benar-benar cintakan Nasir. Tapi sayang...seperti mana kata cikgu Abdullah; bila perempuan bercinta, mereka akan bercinta dengan penuh perasaan dan boleh menganggu tugas-tugas kita sebagai seorang pelajar. Kau telah buktikan kata-kata cikgu Abdullah itu. Kau gagal dalam peperiksaan SPM. Kau terkontang-kanting sendirian bila Nasir dapat masuk U dan mula melupakan dirimu. Tapi kau beruntung juga, kerana emak kau seorang guru, ayah seorang pengurus maka dapat membiayai persekolahanmu di sekolah swasta. Akhirnya kau berjaya menjadi seorang guru.

Tapi sayang...lagi sekali mendung datang dalam hidupmu. Kau lagi sekali membuat kesilapan. Kali ini kamu memilih suami orang sebagai pasangan hidupmu. Emak dan ayahmu cukup marah dengan tindakanmu. Kerana terlalu marah, mereka tidak mengaku kau sebagai anaknya. Tapi kau nekad dengan keputusanmu. Seperti zaman sekolah dulu, kau begitu setia dengan cintamu....

iv. Adnan

Aku tidak mengenal sepenuhnya dirimu. Maklumlah kau berada di kelas yang berbeza denganku. Kelas aliran sains pertanian manakala aku berada di dalam aliran sains. Aku mengenalmu bila kau sering berada di perpustakaan. Kau pun tahu perpustakaan adalah rumah keduaku. Kita berkenalan di sana. Menceritakan latar belakang masing-masing. Kita mempunyai ciri-ciri yang hampir sama... anak petani.

Kisah kau yang paling aku tak dapat lupa ialah bila mana surat cinta kau kepada Juliana di rampas oleh cikgu Zulkifli, cikgu disiplin kita. Biarpun kau tulis dalam kod rahsia namun cikgu Zul masih lagi mampu menterjemahkannya dalam perhimpunan mingguan sekolah. Aku melihat mukamu merah padam menahan malu. Sejak itu, kau mula bersikap pendiam. Kurang bercakap denganku.

Dan tanpa aku sedari, air mataku menitis apabila aku mendapat tahu kau telah meninggal dunia. Kau terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa pulang dari peperiksaan SPM. Tuhan sahaja yang tahu, betapa aku ingin menziarahimu ketika itu. Tapi kau sendiri tahu.. keadaanku...

Dari kejauhan ini aku sedekahkan al-fatihah buatmu. Moga rohmu berada dalam golongan yang dirahmati dan di redhai tuhan. Percayalah suatu hari nanti aku juga aku pergi ke alam barumu..






Malam Tujuh Likur

Menyalakan pelita malam tujuh likur adalah amalan bidaah

Setiap kali tiba bulan ramadhan, masyarakat melayu Islam akan memasang pelita bagi menyambut malam tujuh likur. Persoalannya, apakah pandangan agama mengenai amalan memasang pelita bagi menyambut malam tersebut?

Nabi S.A. W bersabda: " Sesiapa yang melakukan perkara yang baru dalam urusan agama sesuatu yang bukan daripadannya, maka ia ditolak. ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walaupun sejarawan dan budayawan menjelaskan perkara ini bersifat budaya, persoalannya mengapa tradisi ini terbatas pada bulan Ramadhan saja. Tentu ada sebab yang menjadikan masyarakat mengamalkan sesuatu budaya itu.

Jesturu pada pandangan aku yang daif tentang bab-bab agama ini ialah amalan memasang pelita pada malam tujuh likur ini adalah amalan bidaah. Amalan ini boleh membawa kita kepada maksud Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 106:

"Dan ( orang yang beriman kepada Allah), kebanyakkannya mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mempersekutukan-Nya dengan yang lain."


Maka marilah kita tinggalkan amalan menyalakan pelita pada malam tujuh likur ini kerana tiada asasnya dalam sunnah Nabi apatah lagi ayat al-Quran. Amalan yang sia-sia ini boleh membawa kita kepada pembaziran malah membuang masa sehingga menjejaskan penumpuan kepada amal salih yang perlu diutamakan.

tiada lagi bersahur..

Tinggal seminggu hari lagi kita berpuasa. Insya-Allah sekiranya kita dipanjangkan umur, kita akan dapat menyambut hari raya bersama-sama. Namun jauh di sudut hati, terasa sedih dan pilu kerana bulan yang penuh berkat dan keampunan ini akan berakhir. Banyak perkara yang berlaku di bulan Ramadhan ini tidak akan berlaku pada bulan-bulan lain. Tiada lagi solat tarawih, ibadat bersahur jauh sekali. Aku mengharapkan moga Allah tidak putarbelitkan hatikku untuk kembali ke tahap yang lama.

Dalam keghairahan untuk menyambut Hari Raya Aidifitri nanti, kita seakan 'ditenggelamkan' oleh budaya baru yang wujud dalam masyarakat melayu iaitu kita pergi shoping di saat-saat akhir dengan alasan jualan mega raya akan membuat potongan harga gila-gila. Maka berduyun-duyunlah masyarakat melayu Islam yang memenuhi pasar raya seperti Maidin, Giants dan pusat-pusat membeli-belah yang lain. Dalam keseronokan itu, kita mengambil mudah tentang wabak yang sedang menular H1N1 yang berlaku di sekeliling kita. Dan yang lebih hebat lagi kita sanggup tinggalkan solat Isyak dan solat tawarih. Sedangkan Baginda S.A.W telah menunjuk contoh teladan supaya 10 malam terakhir ramadhan ini kita semakin kuat beribadat, mengharapkan malam Lailatul- Qadar

Marilah sama-sama kita saling menperingati semoga malam-malam terakhir ramadhan ini akan bertemu dengan malam Lailatul Qadar yang mana pada malam tersebut amalan kita bersamaan dengan 83 tahun tahun 4 bulan.


Selamat Menyambut Hari Raya Aidifitri...
Maaf Zahir dan Batin.

cerita lama

Selamat Berbuka Puasa

Surat khabar Minggu Mingguan masih lagi di tangan. Semenjak dua minggu bulan puasa ini, jarang benar aku membaca surat khabar. Sebelum ini, sesudah solat isyak aje, menjadi kebiasanku membelek surat khabar. Nak juga tahu tentang perkembangan yang berlaku di sekeliling.

Kali ini aku tertarik dengan colum Tan Sri Mazlan Nordin; tokok wartawan 2001 yang membicarakan Kenangan Ramadhan ketika zaman Jepun (Mingguan Malaysia 6 Sept 2009). Antara diceritakan beliau ialah tentang keadaan masyarakat Tanjong Malim, Perak yang dalam suasana peperangan berbuka puasa di masjid. Menurut beliau, hanya sekitar 20 orang sahaja yang datang bersembahyang dan berbuka di masjid tersebut. Kebanyakkan mereka terpaksa melalui seorang askar Jepun yang berjaga di bawah pohon besar dan rendang berhampiran dengan jambatan yang menghubungkan negeri Selangor dan Perak itu. Sesiapa yang melintas mesti membongkok memberi hormat kepadannya. Jika tidak, yang dianggap salah laku akan ditampar, disepak dan dihentak dengan buntut senapang.

Apa yang sedih dan menyentuh hatiku ialah, tiap seorang yang membawa makanan sendiri dan menghulurkan makanannya kepada orang lain. Dengan itu kesemua menikmati pelbagai sajian walaupun tiada ada kari ayam atau daging rendang. Yang biasa dibawa ialah ubi kayu atau pisang rebus bercampur sedikit nasi.

Begitulah harmoni dan damainya masyarakat dahulu. Bila aku ceritakan kembali kepada pelajarku tentang kesusahan, kepayahan dan ketabahan masyarakat dulu mengharungi bulan puasa. Apa kata mereka, " zaman dah berubah cikgu, itu dulu, lening lain". Sedihnya hatiku bila mendengar jawapan mereka. Apa tidaknya, mereka lahir aje sudah berada dalam suasana senang lenang. Tidak ada lagi yang berada dalam kegelapan pelita. Tidak ada lagi keluarga mereka yang terpaksa membasuh di sungai, di telaga. Semuanya petik jari jari sudah terang benderang rumah mereka. Ada elektrik. Ada paip air. Itulah anak-anak merdeka; tidak mengerti perjuangan orang-orang terdahulu. Sebab itulah aku sokong seribu peratus, kerajaan kita mewajibkan mereka lulus subjek sejarah dalam peperiksaan mereka. Biar mereka tahu tentang kesukaran orang-orang dahulu berusaha, berkorban untuk kesenangan mereka hari ini.

Satu lagi cadangan aku supaya ibu bapa ini rajin-rajinkan diri mereka untuk meluangkan masa bersama anak-anak, duk pakat cerita tentang kepayahan masyarakat dahulu mengharungi dan membesarkan ibu bapa mereka. Sekurang-kurangnya mereka tak 'gong' kepala merasakan mereka sudah senang lenang. Biar mereka faham yang mereka juga berasal dari cucu cicit orang-orang yang terdahulu...

gelaran baru

Tinggal dua hari lagi aku akan bertolak ke maktab. Ayah telah pun menyewa kereta jiranku bagi menghantarku ke maktab. Aku tiada apa yang hendak siapkan. Hanya dokumen dan sijil-sijil persekolahanku sahaja. Abang keduaku menghadiahkan sehelai seluar dan juga sehelai baju kemeja berlengan panjang. Katanya sesuai denganku yang bakal bergelar guru. Abangku yang ketiga pula menghadiahkan aku sebuah tilam untuk aku tidur nanti, kerana menurut surat panggilan ke maktab tersebut, asrama tidak disediakan. Bangga juga aku bila abang-abang akhirnya memberi kata semangat dan dorongan.

Bagiku; inilah kali pertama aku keluar dari negeri Terengganu. Terasa bagai katak keluar dari dunia tempurung. Sedih ada, gembira pun ada. Tentu aku nanti rindu kepada kambing lembu. Ah...selamat tinggal dunia kambingku..

Dalam kereta aku ditemani oleh ayah, abang keduaku dan juga pemandu kereta sewa. Menyusuri jalan pantai terasa indah sekali. Memang benar kata orang luar Terengganu yang negeri Terengganu adalah sebuah negeri yang mempunyai pantai yang panjang bermula di Daerah Kemaman hinggalah ke Besut. Dalam perjalanan aku banyak diam. Mataku tak terkedip melihat keluar tingkap kereta. Memerhati permandangan dan persekitaran. Memang sah aku berada dalam dunia katak..!!

Pendaftaran sebagai guru pelatih berjalan lancar. Aku dibawa oleh Bas Maktab Perguruan Teruntum ke tempat penginapan. Bangunan tiga tingkat, terletak di hadapan Stadium Darul Makmur Pahang. Aku ditempatkan di tingkat dua, mempunyai empat bilik. Satu bilik dikongsi bersama 3 orang. Bilikku berkongsi bersama dengan 2 orang rakyat kedah. Seorang aku panggil abang Mus kerana dia lebih tua dariku dan seorang lagi sama baya denganku; Zaidi.

Latar belakang mereka cukup berbeza walaupun datang dari negeri yang sama. Abang Mus seorang yang berbadan tegap, berkulit gelap dan berjamban. Suka membaca buku-buku yang berkaitan dengan sains. Mempunyai penyakit was-was setiap kali ambil wuduk dan juga bila hendak mengangkat tabir waktu nak solat. Pernah mendapat training jadi askar.

Zaidi pula seorang anak bongsu dari tujuh adik berada. Anak orang berada. Berkulit cerah dan berlesung pipi. Yang paling penting ketika itu dia merupakan adik ipar kepada penyanyi Syed Sobri. Heboh satu maktab pada hari pendaftaran gara-gara kemunculan penyanyi tersebut. Tapi dia tak sombong. Suka bercakap tentang agama. Cukup bijak berbahasa Inggeris. Waktu belajar kami berada di dalam bilik kuliah yang berbeza.

Minggu pertama di sini aku kena banyak sabar. Karenah abang-abang senior cukup membuatkan aku meluat. Dengan nama gelaran mereka yang perlu aku ingat seperti King of Senior.., King of zam-zam dan bermacam-macam lagi. Malam-malam pula aku terpaksa tidur lewat kerana seringkali didatangi oleh abang-abang senior ke rumah sewa dengan bermacam deraan dan rangging. Ada ke patut, aku disuruhnya meniup lampu neon sehingga padam, tabik spring dan lebih teruk lagi aku diminta berlakon dan memegang watak seorang perempuan; Aminah namanya. Aku masih ingat lagi aku disandingkan dengan rakan sebilikku Zaidi dan abang Mus menjadi jurunikahnya. Pada awalnya aku ingin membantah, tapi Zaidi lebih terdahulu mengenyit matanya sebagai isyarat supaya aku tidak bertindak melulu. Memang benar tekaan Zaidi, rupa-rupa abang-abang senior hanya ingin menguji guru-guru pelatih yang baru patuh dan taat kepada arahan-arahan yang diberikan. Ini dapat dilihat apabila tamat sahaja minggu orientasi, mereka amat baik dan peramah terhadap kami.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails