Hidup ibadat adalah sebuah buku agama yang sesuai dibaca oleh umat Islam yang dahagakan ilmu agama. Buku ini ditulis dengan gaya bahasa yang mudah difahami. Kandungannya banyak menyentuh tentang amalan-amalan wajib dan sunat yang perlu kita amalkan sepanjang kehidupan.
Dinyatakan juga amalan-amalan solat sunat yang terkadang kita jarang lakukan dalam kehidupan kita. Disertakan jua doa-doa, wirid-wirid selepas solat untuk diamalkan. Apa yang menarik tentang buku agama ini ialah disertakan juga soalan-soalan lazim yang sering ditanya oleh umat Islam berkaitan dengan permasalahan dalam kehidupan seharian kita. Jawapan bagi soalan-soalan tersebut juga menarik dengan merujuk kepada hujah-hujah sunnah dan ayat-ayat Al-Quran.
Beli dan bacalah buku ini..pasti ianya banyak membantu kita dalam melayari kehidupan kita sebagai seorang yang beragama Islam.
Dalam menghabiskan cuti sekolah ini, dah tiga kali anak perempuanku khatam buku mini novella di bibirnya ada cinta sebabnya takde buku cerita lain yang nak baca. Katanya best jugaklah jalan ceritanya. Aku pun dulu-dulu lagi dah baca buku ini. Bila dah habis baca baruku 'lelong' buku ini kat anak-anakku. Bimbang takut berebut dengan aku pulak.
Jalan cerita yang bersahaja. Susunan ayat-ayat yang mudah dan ringkas lebih memudahkan para pembaca memahami jalan ceritanya. Penulis memilih nama-nama watak utama yang mudah diingat dan tidak lekang dek panas seperti Kael, Widuri, Miza dan yang lainnya memudahkan pembaca mengingati setiap watak tersebut.
Biarpun jalan ceritanya mudah diduga kerana ianya mirip siri scitom di TV si Ugly Betty tetapi penulis bijak mengadaptasinya sesuai dengan nilai-nilai ketimuran. Memasukkan kisah perkampung orang asli cukup menguatkan lagi penulis ini kaya dengan pengetahuan tentang masyarakat orang asli yang mahir dengan selok belok pokok hutan.
Tahniah diucapkan kepada penulis kerana berjaya menghasilkan mini novella ini yang sesuai untuk semua peringkat umur. Harganya yang berpatutan merancakkan lagi dunia pembacaan para remaja khususnya. Semoga terus berkarya buat penulis.
MasyaAllah. Terkejut beruk aku bila satu petang jumaat ketika aku hendak ke Maidin Mall Kuala Terengganu, aku melihat beratus-ratus buah motor mat rempit berbaris-baris di sekitar jalan dari Kampung Durian Burung, Kubang Jambu sampailah Wakaf Beruas. Biarpun ada beberapa orang anggota polis trafik yang berkawal di beberapa tempat, tetapi mereka buat tidak peduli. Malah ada di antara mereka yang begitu biadap dan samseng dengan sengaja membuat bising dengan enjin motor mereka apabila melintasi beberapa orang anggota polis trafik tersebut. Kalaulah aku berada di tempat anggota polis tersebut, tak tahulah apa akan jadi kepada aku dan mat-mat rempit ini. Mahu aku terenjang motosikal mereka. Tapi aku percaya, anggota polis trafik ini telah mendapat latihan untuk mengawal emosi mereka bila berdepan dengan situasi begini. Lagi satu mungkin sekiranya anggota polis trafik ini tersilap bertindak boleh menyebabkan para remaja ini bertindak di luar batasan.
Aku geram bercampur marah apabila melihat kehadiran beratus-ratus motosikal ini yang aku sendiri tidak tahu apa tujuannya. Apa tidaknya, mereka ini seperti kata kerajaan; samseng jalanan yang tidak pernah akur pada peraturan jalan raya. Menghalang laluan, menyesakkan jalan raya, memotong dan meluru tanpa sebab sebab. Kalau terjadi sesuatu seperti perlanggaran kecil ataupun barangkali rebah di antara mereka. Tentu mereka bertindak yang bukan-bukan. Mencari salah siapa. Silap-silap hari bulan, di 'katak' dan pukul anggota polis tersebut. Mereka ni bukannya belajar sivik. Kalau ada pun hanya kat sekolah dulu. Mereka bukan boleh berfikir dengan waras. Pakai ikut perasaan aje. Buat dahulu baru fikir kemudian. Yang susah dan menangis tak keluar air mata adalah mak ayah mereka juga. Mak dan ayah mana yang sanggup melihat anak mereka berada dalam jail!!
Aku mengaru kepala yang tak gatal. Bertanya pada diri sendiri dari manalah mereka ini mendapat motosikal. Nak harapkan duit gaji mereka. Rata-rata aku lihat kebanyakannya adalah budak-budak sekolah atau baru lepasan sekolah. Mana ada duit untuk membeli motosikal tersebut. Tentu mereka 'mengamuk' atau pandai memujuk ayah mereka untuk membeli motosikal. Atau paling koman pun tentu buat lembik tengkuk dengan mak mereka.
Yang hebatnya lagi, mat-mat motor ini ada pembonceng setia mereka. Terdiri daripada anak-anak perempuan yang seusia mereka. Pakaian mereka, tak payah aku ceritalah... mata mengantuk pun boleh segar mergar.
Tak tahulah kat mana silapnya anak-anak remaja kita ini. Fikir-fikirlah sendiri. Malas benar nak mencari silap siapa. Dah terang lagi bersuluh. Kata nenek aku," tepuk dada, terasa sakit."
Tiada apa yang nak aku tulis malam ini. Aku klik 'next blog' berulang kali. Membaca beberapa blogger yang menarik. Terasa kerdilnya aku dalam dunia maya ini. Ternyata ramai 'budak sekolah' yang telah mempunyai blog sendiri. Meluahkan apa yang terlintas dalam bahasa yang mereka sendiri faham. Andainya pejuang Bahasa Melayu membaca gaya bahasa yang terdapat dalam kebanyakan blog ( mungkin termasuk blog aku ) hari ini tentu mereka pengsan. Terlalu banyak bahasa teringkas hasil dari kemajuan telekomunikasi. Itu belum lagi bahasa rojak yang lintang pukang.
Biarpun aku bukan seorang pakar Bahasa Melayu seperti Dato' Nik Safiah Karim, tapi tetap rasa terkilan dengan 'keborokkan' yang terdapat penulisan Bahasa Melayu. Apatah lagi bahasa percakapan yang sudah pastinya hancur lebur. Mungkin seperti kata Perdana Menteri kita yang ingin jadikan negara kita 1Malaysia. Maka bahasa pun mestilah mempunyai elemen 1 Malaysia. Sekejap cakap Bahasa Melayu, sekejap tulis dalam Bahasa Cina + BI+Kadazan = haru biru.
Kesian cikgu-cikgu Bahasa Melayu di sekolah yang bersembur air liur menerangkan tatabahasa yang betul. Mana 'kata kerja'nya, kata nama, frosa dan sebagainya. Alih-alih bahasa SMS juga yang ditulis dalam peperiksaan.
Kepada pihak berkenaan, aku rasa kena buat sesuatu. Biarpun lambat tindakan macam kura-kura. Tapi sekurang-kurangnya berbuat juga akhirnya seperti mana Bahasa papan iklan yang tidak selesai hingga kini.
Salam sayang buat remaja yang berada di luar alam maya sana. Izinkan aku untuk meluahkan apa yang telah sekian lama terpendam di dada ini. Bukan niatku untuk mendabik dada menceritakan apa yang telah pernah aku lalui semasa seusiamu. Tidak sama sekali! Tapi apa yang aku ingin sampaikan cuma satu; supaya adik remaja sekian tidak seperti terasa pedih dan menyesal sepanjang hidup.
Adik remaja,
Aku dulu pun seperti kalian, suka membantah dan memberontahapa sahaja yang tidak selera dengan kemahuan dan kehendakku. Cakap mak dan ayah adalah bahasa orang tua. Aku merasakan mereka seakan-akan tidak memahami gelora dan gelodah di jiwa orang yang seperti kita. Bahasa kita bahasa kebebasan. Tidak mahu terikat dengan peraturan yang dibuat oleh mereka. Kita menjadi boring dan terkadang sakit hati bila setiap kali balik lewat ke rumah; kita dileteri. Mereka bimbang tak tentu pasal tentang kita. “Alahai...mak, ayah. Kita dah besar lah. Pandailah kita jaga diri.”bongkak dan sombongnya jawapan kita waktu itu. Akhirnya kita lebih suka lepak di rumah member-member kita yang sekepala dengan kita. Bila berkumpul bersama mereka, kita seakan lupa pada tanggunjawab kita sebagai seorang anak; yang perlu menolong, membantu ayah emak kita. Sekurang-kurangnya bila kita berada di rumah kita boleh juga menolong apa yang patut di antaranya menjemur kain di ampaian, membasuh pinggan mangkuk di dalam sinki atau apa sahaja yang boleh mengembirakan mereka.
Tapi yang lebih hebat lagi bila kita berkumpul sesama geng, kadang-kadang kita ‘sengaja’ melupakan tanggunjawab kita sebagai muslim. Sembahyang ke mana ! Adat sopan santun hilang dengan hilai ketawa yang entah apa-apa entah....bercakap perkara-perkara yang sia-sia. Isu yang dibicara tidak mendidik kita. Kita lebih cenderung kepada perka yang mengembirakan nafsu dan hati kita. Hal motosikal umpamanya. Hal feksyen terkini. Dengan stail rambut yang mengalah zaman trojan dahulu. Terkadang landak pun terkejut beruk melihat stail rambut kita. Remaja perempuan pula suka menceritakan tentang teman lelaki mereka. Tentang handset yang diberikan percuma oleh si dia. Top4 free. Dan macam-macam lagi. Itulah kita hari ini. Sebenarnya adik remaja, kita tiada bezanya. Dulu aku pun macam adik remaja juga. Cuma bezanya zaman aku dulu, tiada orang pakai handphone macam remaja hari ini. Melepak tetap ada. Tidur rumah member sudah semestinya. Dan banyak lagi kesamaan zaman aku remaja dulu dengan zaman lening ni. Cuma bentuk sahaja yang berbeza. Yang pasti, kita tetap melukai hati dan perasaan orang tua. Yang mahu melihat anak-anak mereka bahagia di kemudian hari. Yang mahu anak-anak mereka jadi orang berguna kepada agama, bangsa dan tanah air.
Tapi ketika itu kita tak nampak apa yang telah mereka nampak. Kita tidak rasa apa yang telah dilalui oleh mereka dalam membesarkan kita. Cuma yang kita tahu, kita telah senang dan berada dalam kemewahan. Hidup kita ibarat sepucuk pistol yang tidak tahu ke mana hala tuju sasarannya.
Adik remaja yang kusayangi
Percayalah adik remaja, akan ada di antara kita yang berjaya dan tersedar dari lamunan yang menghayalkan itu. Allahamduillah.... sekurang-kurangnya mereka cepat terjentik kesedarannya. Tapi masih ramai lagi di antara kita yang terus hanyut diulit mimpi palsu yang tiada kesudahannya. Bila terjaga; segalanya sudah terlambat dan menyesal sepanjang hayat.
Moga-moga kita terdiri dari mereka yang beruntung itu...semoga!!!
Hampir satu minggu akutak dapat ‘berinternet’ dengan laktop aku. Wireles internet rosak. Kena panahan kilat dan petir semasa banjir baru-baru ini. Hidup tanpa internet macam ada sesuatu yang tak kena. Nampaknya aku pun kena virus komputer seperti rakan sekerja aku yang tak dapat lekang dari teman rapatnya Alwiz-nama laktop barunya. Aku pun rasa-rasa nakberi nama jugaklah laktop aku ni. Tolong cadangkan namanya!
Alangkah bagusnya jika aku dapat luangkan masa membaca Al-Quran, berzikir, bertadmid, bertasbih sebagaimana aku dapat luangkan masa ‘berbual’ dengan laktop aku ni. Begitulah sifat manusia yang bersifat lemah, mudah hanyut dan alfa. Nasib baiklah sambil aku klik-klik laktop dapat juga aku mendengar suara mengaji Al-Quran dari laktop. Sekurang-kurangnya telinga ini sentiasa dapat mendengar orang membaca ayat-ayat suci Al-Quran.
Sebenarnya setiap daripada kita telah dianugerahkan oleh Allah masa yang sama banyak; 24 jam. Terserah kepada kita untuk menguruskan masa tersebut. Jika kita bijaksana dalam menguruskannya maka beruntunglah kita. Sebaliknya, rugi dan tersangat malanglah kepada sesiapa yang hanyut dan mensia-siakan masa tersebut. Ini kerana seperti kata perpatah Arab, masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya maka pedang tersebut akan memotong kepala kita. Mungkin bangsa Arab suka berperang barangkali. Sebab itu mereka mengungkapkan perumpamaan demikian. Manakala bangsa Melayu mengambarkan masa itu seperti emas. Emas! Suatu benda yang amat bernilai dan paling berharga dalam masyarakat kita. Malah ada orang yang sanggup merompak dan membunuh untuk mendapatkan emas. Barangkali atas nilai yang tinggi inilah, maka orang melayu juga mengungkapkan masa itu begitu berharga dan bernilai.
Ajaran agama Islam juga menekankan kepentingan masa ini. Di antaranya kita diingatkan mengunakan masa muda dengan sebaik mungkin kerana bila kita berada di alam yang satu lagi ( alam akhirat ) Allah akan bertanya kepada hambanya, “di manakah usia muda dihabiskan.” Ketika itu kita akan terkontang-kanting tak tahu nak jawab apa. Silap guna masa muda jawabnya kena azablah kita. Dan azab yang paling ringan pun adalah seperti bunga api neraka yang terkena tapak kaki sehingga mendidih otak kita. Minta dijauhkan malaikat 44.
Ops!!.. sebenarnya aku bukan nak jadi ustaz, tapi sekadar untuk mengingatkan diri sendiri supaya aku nie tidak terlalu ralit dengan laktop aku. Dan aku percaya di luar sana masih ada lagi orang yang lebih parah terkena virus komputer ini. So, ingat-ingatlah...pandai-pandailah kita mengurus masa.
Air mata yang bergenang di kelopak mata membawa seribu makna yang tersendiri. Walaupun air mata senonim dengan perempuan, namun ada kalanya air mata juga jatuh berderai dari mata lelaki. Aneh bukan! Bila lelaki menangis. Tentu tak manco. Tak jantan. Tapi itulah hakikatnya...
Biarpun cuba ditahan air mata dari mengalir di pipi gersang ini, tapi makin ditahan makin deras ia mengalir. Makin cuba disembunyikan makin sebak dan berat terasa di hati. Rasa sebak dan sedu bagaikan karan elektrik yang mengalir ke jantung dan seterusnya memaksa mata menghasilkan air jernih. Bencinya aku dengan keadaan ini...
Aku cuba memujuk agar tidak berkecil hati dengan apa yang berlaku. Aku cuba kumpul segenap kekuatan agar ianya tidak mengalir lagi. Bibirku tak lengkang mengungkap tasbih dan bertahmid agar menerima peristiwa itu dengan seadanya. Tapi aku tewas dengan bisikan hati untuk menolaknya. Air mata ini terus mencurah-curah seiring dengan hujan renjai di luar tingkap keretaku. Kuatnya kuasa bila hati kita ‘terasa’.
Bayangan peristiwa itu terus menerjah ke mindaku. Bagaikan video yang tidak pernah ada kesudahan. Diulang-ulang tanpa jemu. Ombak yang menggulung ganas di tepi pantai Teluk Ketapang ini seakan-akan sama kejamnya dengan apa yang aku alami sekarang.
Kali ini aku biarkan air mata mengalir tanpa henti. Biarkan...sekurang-kurangnya ia dapat menyucikan mata putih yang kian merah. Biarkan terasa hati ini menguasai diri!! Biarkan... Bila tiba waktunya pasti mata ini kekeringan airnya.