Tersebut sebuah kisah

Masa aku jadi budak
Aku mula bersekolah di darjah satu di sebuah sekolah di daerah kelahiranku iaitu Sekolah Kebangsaan Belara. Hari ini sekolah tersebut telah bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Pulau Bahagia semperna nama kampung baru yang turut bertukar dari nama kampung Pulau Babi kepada Kampung Pulau Bahagia. Menurut kata ayahku, di kampung tersebut terdapat beberapa keluarga cina yang kebetulan kampung tersebut terdapat ramai babi liar.
Hari pertama persekolahan, emak masih lagi menemaniku, maklumlah aku anak bongsu dari tujuh orang adik beradik. Bila kelibat emak tidak kelihatan sahaja; aku terus menangis. Puas cikgu Latif memujukku. Emak mengambil masa selama dua bulan untuk berada bersamaku di sekolah. Bila difikirkan sekarang, teruknya aku ketika itu. Sebenarnya aku mempunyai sikap yang terlalu merendah diri. Kesannya sampai sekarang aku masih ada sifat tersebut. Maklumlah aku ketika itu bercakap pelat. Terlalu pelat... sehinggakan aku hendak menyebut nama sendiri pun orang lain tidak faham dan bertanya acapkali. Ditambah pula, aku tidak ada rambut di atas kepala. Botak!!! Bukan kerana penyakit tetapi aku tidak boleh ada rambut, bila ada rambut sahaja aku akan demam dan selsema berpanjangan. Itu semua adalah takdir tuhan. Sampai sekarang pun aku masih kekal dengan rambut nombor satu. Selain itu, aku terlalu takut kepada seorang guru perempuan. Cikgu Bahasa Inggeris. Aku masih ingat lagi namanya; cikgu Zaharah. Kenangan yang paling aku tak lupa ialah bila dia memukulku dengan pembaris makmal yang panjangnya lebih kurang satu meter, lebarnya 7 sentimeter. Patah dua pembaris tersebut. Kuingat lagi apabila dia meminta aku membaca tulisan yang ditulis di bawah gambar cawan yang dilukisnya.
“Harun, what is this?”. Suaranya yang garang menerjah ke telingaku. “this is...eerm,eeerm, eermmm.” Sambil aku mengaru kepala yang tak gatal. ‘Prakk..’ Terasa perit dan berbahang di belakangku. Apa yang kulihat pembaris ditangannya patah dua. Semua mata kawanku tertumpu ke arahku. Ada genangan air di kelopak mataku. Aku pejam; membiarkan air mata tertumpah di pipi. Sepantas kilat juga kusapu air jernih itu dengan telapak tangan kiriku. Dalam hati, tuhan sahaja yang tahu betap aku takut dan benci cikgu Zaharah. Aku benci cigku..!!!
Tiga faktor inilah yang telah menyebabkan aku ‘tenggelam timbul” pergi sekolah. Darjah satu berlalu meninggalkan tahun. Menjenguk lagi tahun baru, darjah dua. Masuk darjah dua sehari, aku masih lagi tidak pandai membaca, hanya reti membaca suku kata KVKV seperti S U S U, T A L I dan sewaktu dengannya. Masuk hari kedua, ketiga dan seterusnya aku tidak pergi lagi ke sekolah. Aku nekad tidak mahu bersekolah lagi. Jenuh mak ayah dan guru memujuk aku. Aku buat tidak peduli. Walaupun kadang-kadang perit juga belakangku dilibas ayah dengan lidi penyapu. Ketika itu aku lebih rela menolong ayah di sawah. Aku sanggup bangun pagi, potong rumput untuk makanan kerbau dan lembu ayah. Biarlah badanku penuh dengan kotoran selut, darah lintah daripada menahan kutukan kawan-kawan di sekolah. Masih termiang ditelingaku bila kawan-kawan memanggil aku dengan gelaran “botak Chin”.( kerana kepalaku botak, botak chin adalah gelaran kepada seorang penjenayah terkenal pada era 1978 kerana merompak bank). Bila aku di kelas sahaja, kawan-kawan akan: “yea yea, botak chin datang! Botak chin datang! Botak chin datang!”...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails