hancur luluh hati ini

Berada di dalam aliran sains di tingkatan 6 membuatkan aku benar-benar diuji. Cikgu Lee Luang Chen, cikgu kimia aku memang seorang guru yang baik hati dan prihatin dengan pelajarnya. Sifat keibuannya telah menyemai rasa minat aku untuk menjadi seorang guru. Begitu juga dengan cikgu Biologiku, cikgu Ramlah. Dia bersungguh-sungguh dalam melakukan eksperimen. Masih teringatlah lagi bila aku diminta membuat pembedahan ke atas seekor katak. Katak-katak yang aku jumpa di tepi longkang dimasukkan ke dalam klorofom untuk 'pengsankan' katak tersebut. Ketika itu aku bantah tindakan cikgu Ramlah kerana menganiayai katak-katak tersebut. Tapi setelah diterangkan oleh cikgu Ramlah bahawa katak-katak tersebut merasa 'bangga' kerana mati begitu daripada mati katak, baru aku faham. Aku kagum dengan mereka. Lantas aku memohon untuk memasuki maktab perguruan.

Dalam masa itu, aku pernah dipanggil temuduga oleh pihak UTM dan Universiti Pertaniah Malaysia. Doaku moga aku dapat masuk U macam rakan-rakanku yang lain. Doaku dimakbulkan Allah. Aku ditawarkan masuk ke Universiti Pertanian Malaysia dibawah Diploma Pertanian. Namun aku ditempatkan di cawangan UPM, Bintulu Sarawak. Gembira bukan main aku, akhirnya aku dapat juga masuk U. Tapi remuknya hatiku, bila ayah dan emak aku bantah sekeras-kerasnya agar aku tidak pergi ke Sarawak. Macam-macam alasan diberikan termasuk menakut-nakutkan aku dengan cerita-cerita tahyul kononnya ramai dah orang yang kena sihir bila berada di sana. Aku menangis dalam hati. Aku memberontak dalam diam. Aku tidak lagi pergi ke sekolah. Aku mula menghisap rokok. Frust... betul-betul frust, setelah aku berusaha bersungguh-sungguh, tapi ini jadinya...dan yang paling menyakitkan hati bila alasan yang diberikan mereka kepada orang kampung bila bertanya kenapa aku menolak tawaran UPM ialah aku tidak mahu berjauhan dengan mereka. Maklumlah anak bongsu kata mereka.

Tanpa pengetahuan keluarga, aku mohon untuk jadi polis. Lagi sekali,... bila sampai surat temuduga untuk jadi polis, ayah dan emak melenting. Kata mereka biar keturunannya tak jadi polis. Jadi polis akan disumpah dan dikeji orang kerana menghalang orang ramai mencari rezeki kerana polis seringkali mengadakan sekatan jalanraya!!!. Ya Allah....kenapalah mereka..!!! Aku seorang anak yang patuh.. aku turuti apa kata mereka biarpun hati ini remuk redam, hancur luluh.

Aku mula kurang tidur di rumah. Aku banyak menghabiskan masa di Markas Tarbiyah agama yang berada berhampiran dengan rumahku. Di sana aku botakkan kepala, pakai semutar ( serban) di kepala. Aku pujuk hati ini dengan banyak mengingatiNya.

Tuhan itu Maha Kaya dan Pengasih...akhirnya permohonan aku menjadi guru diterima. Aku ditawarkan ke Maktab Perguruan Teruntum, Kuantan Pahang. Aku terang sebaik mungkin kepada ayah dan emak agar kali ini membenarkan aku pergi ke sana. Syukur kepada Allah, mereka terbuka hati untuk membenarkan aku menjadi cikgu. Berakhirlah episod sedih, dan kecewa, sakit hati...dan berakhirlah juga kisahku sebagai seorang pelajar dengan tidak tamat di tingkatan 6 atas.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails