belajar pondok

Keputusan exam SPM sudah berada di tangan. Dapat Argreat A27. Bahasa Inggeris tak payah ceritalah. Gagal! Add math dan matematik moden cemerlang. Begitu juga dengan mata pelajaran sains; semua kepujian. Aku bersyukur dengan keputusan SPMku walaupun dibandingkan dengan kawan-kawan, aku masih lagi yang tercerot. Aku sudah berkira-kira untuk memohon masuk ke U. Itu adalah impianku sejak aku mula boleh membaca semasa tingkatan 2 lagi. Dengan bantuan abang keduaku, aku dapat membeli borang permohonan kemasukkan ke U. Universiti yang aku pohon ialah UTM ( Universiti Teknologi Malaysia) dan juga Universiti Sains Pertanian.

Dalam masa seminggu selepas permohonan, aku menerima kad yang menyatakan borangku sedang diproses. Sementara aku mendapat keputusan tersebut, aku telah mendapat tawaran ke tingkatan 6 di SMKPM. Kali ini aku ditawarkan dalam aliran sains. Aku berbincang dengan emak dan ayah, samada mereka mengizinkan aku untuk belajar di tingkatan 6. Mereka tak kisah. Mereka hanya mengikut apa pilihanku.

Jarak yang jauh dari rumah ke sekolah baruku ini adalah cabaran baru yang harus kutempuh. Antara alternatif yang perlu aku ambil untuk sampai ke sekolah ialah, aku menaiki sebuah bas sekolah yang hanya dinaiki oleh pelajar-pelajar perempuan sahaja iaitu bas sekolah Sekolah Menengah Khairah. Hanya sebuah bas ini sahaja yang melalui kampungku. Itupun hanya tigaperempat sahaja perjalanan ke sekolahku. Selebihnya aku terpaksa pula naik teksi untuk ke sekolah. Boleh bayangkan, selepas solat subuh aku cepat-cepat menunggu bas di wakaf di penghujung jalan kampungku. Pada mulanya, hanya aku seorang sahaja naik bas berkenaan. Tapi kemudian..lepas seorang-seorang pelajar perempuan bas berkenaan sehingga penuh. Malunya aku bila aku naik turun dari bas berkenaan. Terpaksa melalui di celah-celah pelajar perempuan ini. Tebal muka..!!!

Bila pulang sekolah pula, aku menaiki bas sekolah untuk 1/4 perjalanan. Selebihnya aku akan buat macam cerita orang putih, genggam tapak tangan dengan ibu jari keluar dan tunjuk arah perjalanan yang aku nak pulang kepada kenderaan yang lalu lalang. Harap-harap ada yang baik hati untuk menumpangkan aku menaiki kenderaan mereka. Kalau tidak ada aku terpaksa berjalan kaki.

Pernah terjadi suatu hari, aku buat macam stail yang sudah-sudah... adalah sebuah van yang baik hati untuk menumpangkan aku. Apa lagi sepantas kilatlah aku masuk ke perut van. Tapi, dalam perjalanan tersebut van tersebut berhenti-henti untuk mengambil orang lain. Dan bila penumpang turun, dibayarnya harga tumpangan tersebut. Sah... van ini adalah kereta sapu atau lebih dikenali dengan panggilan prebet sapu. Aku mula resah dan duduk pun tak tenang. Sekejap-kejap aku chek dalam poket aku, hanya ada 30 sen. Bila sampai persimpangan menuju ke kampung ku, aku minta diturunkan aku. Aku hanya membayar dengan duit yang ada. 30 sen! Aku terangkan kepada pemandu van tersebut yang aku ingatkan dia hanya mahu menumpangkan aku. Nasib baik dia terima. Lega!! Mungkin dia tengok aku pakai baju sekolah kot, sebab tu dia tak kisah. Terkadang ada juga rasa tberkeceil hati dengan emak aku, tapi apa boleh buat, aku hanya seorang anak. Ada ke patut diberinya duit hanya $1.00 setiap hari untuk ulang alik ke sekolah.

Aku bertahan selama dua minggu sahaja. Selepas itu aku serik taubat... tak akan naik lagi bas berkenaan dan pulang dengan kaedah orang putih tu. Aku berbincang dengan rakanku Roslan Mansor untuk menumpang di rumah saudaranya di Kampung Dusun Melintang dekat Bukit Besar. Jarak dari rumah tersebut ke sekolahku lebih kurang 8 KM sahaja.

Aku dan kawanku Roslan Mansor sudah seminggu tinggal di rumah di rumah saudarahnya. Rumah itu dua tingkat. Kami tinggal di tingkat atas manakala di bahagian bawah adalah bengkel mengecat kereta. Kami tak payah bayar sewa, cukuplah menjadi 'jaga' bagi bengkelnya di bawah. Malah kami diberi upah kerana menjadi 'jaga' tersebut.

Roslan seorang kawan yang kuat beribadat dan kuat dengan pegangan agama. Darinya aku banyak belajar tentang hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam. Pernah satu hari dia menyatakan yang dia tidak lama bersekolah. Dia akan pergi belajar ke sekolah Pondok. Di sekolah pun dia banyak berbicara tentang perjuangan agama Islam. Aku juga turut tertarik untuk mengikuti jejak langkahnya ke sekolah pondok. Aku luahkan hasratku untuk belajar di pondok kepada ayah. Ayah menasihatiku untuk meneruskan sekolah sehingga tamat. Aku seorang anak yang patut. Aku turuti 'perintah' ayah.


********************************

Teringat lagi semasa minggu suai kenal, kelas 6 bawah Omega iaitu kelasku telah diminta oleh senior-senior tingkatan 6 Atas untuk membuat satu skesta komedi pentas. Apa lagi. aku telah dipilih oleh rakan-rakan untuk menjadi sultan Melaka manakala seorang pelajar perempuan cina iaitu Oi Mei Mei menjadi pemaisuriku. Oi Mei Mei seorang yang mempunyai saiz badan yang besar. Bila bergandingan denganku yang kursus melidi...jadi kelakarlah. Lakonan komedi yang diarah oleh rakanku Nasir berjaya menguit hati para pelajar dan guru SMKPM.

Pada minggu pertama persekolahan, bilangan pelajar kelasku terlalu ramai; mencecah 40 orang sekelas. Bila masuk minggu empat dan seterusnya, bilangan beransur-ansur kurang kerana ramai di antara mereka yang telah mendapat tawaran dari U, maktab, pusat pengajian yang lain seperti politeknik dan sebagainya. Daripada bilangan tersebut sekarang hanya tinggal 25 orang sahaja termasuk aku.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails