gelaran baru

Tinggal dua hari lagi aku akan bertolak ke maktab. Ayah telah pun menyewa kereta jiranku bagi menghantarku ke maktab. Aku tiada apa yang hendak siapkan. Hanya dokumen dan sijil-sijil persekolahanku sahaja. Abang keduaku menghadiahkan sehelai seluar dan juga sehelai baju kemeja berlengan panjang. Katanya sesuai denganku yang bakal bergelar guru. Abangku yang ketiga pula menghadiahkan aku sebuah tilam untuk aku tidur nanti, kerana menurut surat panggilan ke maktab tersebut, asrama tidak disediakan. Bangga juga aku bila abang-abang akhirnya memberi kata semangat dan dorongan.

Bagiku; inilah kali pertama aku keluar dari negeri Terengganu. Terasa bagai katak keluar dari dunia tempurung. Sedih ada, gembira pun ada. Tentu aku nanti rindu kepada kambing lembu. Ah...selamat tinggal dunia kambingku..

Dalam kereta aku ditemani oleh ayah, abang keduaku dan juga pemandu kereta sewa. Menyusuri jalan pantai terasa indah sekali. Memang benar kata orang luar Terengganu yang negeri Terengganu adalah sebuah negeri yang mempunyai pantai yang panjang bermula di Daerah Kemaman hinggalah ke Besut. Dalam perjalanan aku banyak diam. Mataku tak terkedip melihat keluar tingkap kereta. Memerhati permandangan dan persekitaran. Memang sah aku berada dalam dunia katak..!!

Pendaftaran sebagai guru pelatih berjalan lancar. Aku dibawa oleh Bas Maktab Perguruan Teruntum ke tempat penginapan. Bangunan tiga tingkat, terletak di hadapan Stadium Darul Makmur Pahang. Aku ditempatkan di tingkat dua, mempunyai empat bilik. Satu bilik dikongsi bersama 3 orang. Bilikku berkongsi bersama dengan 2 orang rakyat kedah. Seorang aku panggil abang Mus kerana dia lebih tua dariku dan seorang lagi sama baya denganku; Zaidi.

Latar belakang mereka cukup berbeza walaupun datang dari negeri yang sama. Abang Mus seorang yang berbadan tegap, berkulit gelap dan berjamban. Suka membaca buku-buku yang berkaitan dengan sains. Mempunyai penyakit was-was setiap kali ambil wuduk dan juga bila hendak mengangkat tabir waktu nak solat. Pernah mendapat training jadi askar.

Zaidi pula seorang anak bongsu dari tujuh adik berada. Anak orang berada. Berkulit cerah dan berlesung pipi. Yang paling penting ketika itu dia merupakan adik ipar kepada penyanyi Syed Sobri. Heboh satu maktab pada hari pendaftaran gara-gara kemunculan penyanyi tersebut. Tapi dia tak sombong. Suka bercakap tentang agama. Cukup bijak berbahasa Inggeris. Waktu belajar kami berada di dalam bilik kuliah yang berbeza.

Minggu pertama di sini aku kena banyak sabar. Karenah abang-abang senior cukup membuatkan aku meluat. Dengan nama gelaran mereka yang perlu aku ingat seperti King of Senior.., King of zam-zam dan bermacam-macam lagi. Malam-malam pula aku terpaksa tidur lewat kerana seringkali didatangi oleh abang-abang senior ke rumah sewa dengan bermacam deraan dan rangging. Ada ke patut, aku disuruhnya meniup lampu neon sehingga padam, tabik spring dan lebih teruk lagi aku diminta berlakon dan memegang watak seorang perempuan; Aminah namanya. Aku masih ingat lagi aku disandingkan dengan rakan sebilikku Zaidi dan abang Mus menjadi jurunikahnya. Pada awalnya aku ingin membantah, tapi Zaidi lebih terdahulu mengenyit matanya sebagai isyarat supaya aku tidak bertindak melulu. Memang benar tekaan Zaidi, rupa-rupa abang-abang senior hanya ingin menguji guru-guru pelatih yang baru patuh dan taat kepada arahan-arahan yang diberikan. Ini dapat dilihat apabila tamat sahaja minggu orientasi, mereka amat baik dan peramah terhadap kami.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails