tersebut kisah 10

Aku tidak lagi seperti dulu. Seorang pemalu, pendiam dan tidak berani untuk menjadi ketua. Ini disebabkan gara-gara aku membaca macam kura-kura. Sekarang aku di tingkatan 4. Aku mula diberi kepercayaan menjadi ketua kelas 4 Ibnu Khaldum. Itupun tak lama, bila aku dilantik menjadi pengawas sekolah. Aku masih ingat lagi bila kali pertama aku naik ke pentas sekolah untuk membaca doa perhimpunan sekolah. Aku melangkah longlai. Kakiku mengeletar. Tubuhku terasa ringan. Suaraku terketar-ketar. Aku tak tahu di mana silapku, bila aku selesai sahaja membaca doa, cikgu Nasir menepuk bahuku . Dia kata aku menangis ketika membaca doa. Biar betul. Sebenarnya aku takut. Sebab tu, suara aku bergetar dan putus-putus. Bila tamat waktu perhimpunan, aku dikerumuni oleh member-member, kutuk aku sebab aku baca doa sambil menangis. Kata mereka, ada di antara pelajar yang turut terisak-isak semasa aku membaca doa . Aku tak beritahu mereka yang sebenarnya aku takut naik pentas. Sejak itu, telah menjadi tugas rasmiku membaca doa waktu pagi dan waktu perhimpunan sekolah.
Walaupun aku menjadi pengawas sekolah, aku masih lagi membuat aktiviti lompat pagar sekolah bila tiba waktu rehat. Macam aku ceritakan sebelum ini, aku lompat pagar sekolah kerana balik ke rumah untuk makan dan minum. Emak aku tidak pernah memberi pitis belanja di sekolah. Aktiviti ini aku teruskan sehinggalah suatu hari aku ditangkap oleh Penolong Kanan 1 sekolahku, cikgu Daud. Dia tidak marah apabila aku terangkan kedudukan yang sebenarnya. Dia menasihatiku supaya menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lain. Bermula hari itu, aku tidak lagi lompat pagar sekolah pada waktu rehat. Sebaliknya setiap kali loceng rehat berbunyi aku akan 'menziarahi' perpustakaan sekolahku.
****************************
Di dalam kelas, aku dikira terror dalam subjek mata matematik tambahan. Cikgu yang mengajar subjek add math ini ialah seorang guru yang telah didatangkan khas dari Indonesia. Kami memanggilnya dengan pangilan 'Pak'. Bila cikgu ini masuk ke kelas; ketua kelas akan berdiri dan memberi salam,"Assalamualaikum Pak." Cikgu 'Pak' ini memang terkenal di sekolah kami. Bila dia menjerit,.. satu bangunan akan dengar. Cikgu 'Pak ' ini amat gemar meminta pelajar-pelajarnya menyelesaikan masalah latihan add math ni di papan hitam. Jadi, bila tiba waktu cikgu 'Pak' ini masuk ke kelas kami, maka rakan-rakanku akan cepat-cepat mengerumuniku untuk menyiapkan kerja sekolah yang telah diberikan. Bangga gak aku 10 sen, bila aku dijadikan bahan rujukan. Tapi yang paling kesiannya ialah bila tiba rakanku Zaidi disuruh oleh cikgu 'Pak' membuat latihan di papan hitam. Terketar-ketar tangan dia. Sampaikan boleh dengar bunyi kapur yang terhantuk kat papan hitam tu. Bila silap sahaja, terdengarlah perkataan yang paling popular yang selalu digunapakai oleh cikgu 'Pak' . "terketar-ketar macam kuda! Memalukan Kampung Banggol Peradong saja." ( sila baca ikut nada orang indonesia). Kebetulan kawanku Zaidi berasal dari kampung tersebut. Malah ada kawan-kawanku yang mengambil jalan mudah ponteng kelas bila tiba waktu add math ini. Lebih-lebih lagi bila homework tidak siap. Kesian...
Dalam kelas aku ini ada seorang pelajar perempuan yang sering mendahuluiku. Zaindun namanya. Kalau dalam ujian, sama ada dia dapat nombor 1 dan aku nombor 2. Kadang-kadang tu aku dapat nombor 1 , dia dapat nombor dua. Begitulah silih berlumba. Pernah satu hari aku didenda oleh cikgu Sulong gara-gara aku ingin mendahului dia. Ada ke patut asyik dia aje yang angkat tangan bila soalan dikemukakan oleh cikgu Sulong. Apa lagi, sekali tu.. bila cikgu Sulong soal aje, aku terus angkat tangan. "ehm.. Harun, apakah maksud perkataan polisi", ulang cikgu Sulong . Aku bangun dan jawab,"tak tahu cikgu!." Satu kelas gelakkan aku. Cikgu Sulong panggil aku ke hadapan kelas dan mendenda aku berlari satu bangunan kelas yang aku duduk itu dalam masa 1 minit. Boleh bayangkan, kelas aku di tingkat 2. Aku gagal. Denda tambahan, aku diminta oleh cikgu Sulong menghantar buku-buku latihan di atas meja guru ke bilik guru. Aduh, letihnya aku!

2 comments:

Anonymous said...

salam... ur life is so colourful.. great learning from ur experiences...

Keluduk said...

thanks, aku juga seperti mereka..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails