terlukakah mereka

... doakan buat ibu bapa kita

Semalam aku terklik chanel tv9, siaran langsung rancangan 'Halaqah' yang diadakan di sebuah sekolah menengah di Taiping Perak. Tajuk perbincangan agama Halaqah itu ialah 'Si Tanggang'. Ahli panel terdiri daripada ustaz Shahzan dan Prof Madya sharifah siti apa tah, aku dah lupa namanya. Memang menarik cerita dan kupasan yang disampaikan oleh kedua ahli panel. Boleh menitiskan air beb !!... Sedih + terharu bila mengenangkan betapa kita sebagai seorang anak banyak melukakan dan menghiris hati serta perasaan kedua orang tua kita.

"Maafkan aku wahai ibu dan ayah, terlalu banyak dosaku pada kalian"

Terasa yang selama ini, biar sebanyak mana budi dan tanggungjawab yang telah kita lakukan kepada kedua ibu bapa kita; rupa-rupanya masih lagi tidak terbalas jasa mereka. Malahan kita terkadang dialfakan sejenak dengan kesibukan kerja kita, sehingga kita lupa untuk menghubungi mereka bertanya khabar. Lebih teruk lagi, kita langsung tidak mengziarahi mereka. Oh... layakkah kita menjadi seorang anak yang soleh dan solehan.

Kata orang alim; Allah akan redha kita dengan rehdanya kedua ibu bapa kita. Betapa Allah meletakkan tempat dan kedudukan yang tinggi taraf ibu bapa. Dan kata nenekku, sekiranya kita berbuat baik kepada kedua orang tua kita, maka suatu hari nanti anak kita pula akan berbuat baik kepad kita. Begitu jugalah sebaliknya. Jadi sementara kedua ibu bapa kita masih ada lagi ini, marilah kita berbuat sesuatu seperti:

1/ mendoakan kesejahteraan dan keampunan kedua ibu bapa kita

2/ sentiasa bertanya khabar dan mengziarahi mereka.

3/ Bila pergi jenguk tu, pandai-pandai le bawa buah tangan buat mereka. Jangan jadi sebaliknya, mereka pula yang isi penuh bonet kereta kita dengan kelapa, buah pisang, nangka dan sebagainya.

4/ Ucaplah selalu kata sayang buat mereka. Hanya ketika mereka masih hiduplah maka kita boleh ucap sayang dan berterima kasih kepada mereka. Bila mereka tiada....buat apa lagi!!!

5/ Sekiranya ibu kita telah meninggal dunia, doakan mereka. Lakukan perkara-perkara yang mereka suka semasa mereka hidup seperti menghormati rakan-rakan mereka dan sebagainya.


Dan yang penting, sekiranya kita masih lagi tidak melakukan kelima-lima tips di atas, marilah kita pakat berubah dan 'wat selalu' agar kita tidak dipanggil 'si tanggang'.

sifat tercela

....penyakit hati melahirkan sifat-sifat yang tercela

Hari ini aku dapat cuti MC lagi. Dalam seminggu dua ini, demam + batuk + selsema masih lagi tak kebah-kebah. Mungkin ini adalah ujian Allah untuk menghapuskan dosa-dosa yang pernah aku lakukan. Semoga...! Dalam menghabiskan sehari berehat di rumah, aku membaca sebuah buku agama " 200 sifat tercela" yang dikarang oleh Abu Bakar Yacub jilid yang diterbitkan pada tahun 1977. Lama sudah buku ini tersimpan di rak buku tidak disentuh. Aku sempat baca dua muka surat sahaja kerana mata mengantuk kesan makan ubat batuk dan ubat selsema. Apa pun, tanpa sedar isi bacaan benar-benar terkena pada batang hidung sendiri. Baru tahu selama ini banyak rupanya sifat-sifat tercela yang aku miliki. Begitulah kita, bila kita merasa diri kita sempurna. Di bawah ini aku perturunkan beberapa sifat tercela yang terdapat pada diri kita. Ulasannya adalah pandangan peribadi aku sendiri yang tiada kaitan dengan penulis buku agama tersebut.

1/ Menyangka dan menganggap serta merasa 'sempurna diri'

Sifat 'sempurna diri' sebenarnya merupakan sifat yang dimiliki oleh Allah. Kita tidak sempurna. Malah terlalu jauh untuk menjadikan diri 'sempurna diri'. Sekiranya kita merasa diri kita telah sempurna menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena pada diri kita. Bila keadaan ini berlaku, akan wujud sifat-sifat tercela yang lain dalam diri seperti 'keras hati', 'tergopoh dalam tindakan' dan sifat-sifat tercela yang lain yang sewaktu dengannya. Masih banyak kelemahan dan keburukan pada diri kita yang perlu diperbaiki dari masa ke semasa. Jesturu kita perlu sentiasa menilai dan membuat refleksi diri sejauh manakah kebaikan yang ada dalam diri kita.

2/ Malas, segan belajar dengan anggapan 'sudah pandai/ sudah mengetahui'

Kata orang pandai; semakin kita banyak belajar, semakin kita merasakan kekurangan ilmu. Sebaliknya bagi orang-orang yang malas belajar ni macam-macam alasan yang diberikan. Malah lebih teruk lagi bila mereka dengan megahnya berkata," aku pandai dah." Macam anak-anak didik aku kat sekolah. Bila aku suruh mereka buat latihan; mereka dengan selamba jawab yang mereka dah pandai. Sabau aje le...

3/ Ucapan salam

Aku tidak tahu yang tidak mahu mendahulukan ucapan salam ketika berjumpa dengan rakan seagama itu adalah sifat-sifat tercela. Ingat biasa je... mulai hari ini aku akan cuba untuk memberi terlebih dahulu salam kepada rakan-rakan bila berjumpa. Bukan niat hati nak sombong mahupun takbur, tapi gitu-gitulah, kadang-kadang jadi berat mulut untuk ucap salam. Mungkin orang lain menganggap dirinya lebih dari yang lain, lebih besar, lebih berpangkat, lebih kaya dan tidak setaraf dengan orang lain, maka biarlah orang lain mengucap salam dahulu kepadanya. Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W lebih dahulu mengucapkan salam terhadap yang berjumpa dengan baginda. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhary & Muslim, sabda Baginda:

orang yang berkenderaan hendaklah lebih dahulu memberi salam kepada orang yang berjalan kaki dan sedangkan orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang banyak.

Sabda Baginda lagi;

orang yang muda memberi salam kepada orang tua,
orang yang berjalan kepada yang duduk-duduk, dan
orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang banyak.



semoga kita sama-sama menginsafi diri. Amim...!

Tetamu Allah



Musim haji telah tiba lagi. Beberapa orang rakan setugasku akan berangkat ke tanah suci Mekah bagi melengkapkan rukun Islam yang ke 5. Beruntungnya mereka kerana telah sampai 'seru' menjadi tetamu agong Allah. Dalam hati, terasa kerdilnya diri ini kerana masih lagi tidak mampu untuk sama-sama menjadi tetamu Allah. Kata salah seorang sahabatku, sekiranya kita benar-benar bertekad untuk pergi ke tanah suci, InsyaAllah, Allah akan bukakan pintu rezeki untuk kita. Persoalannya apakah aku telah bersedia untuk menjadi tetamu Allah.

Aduh ! Terasa terkena pada batang hidung sendiri untuk menjawab persoalan tersebut. Bila dihitung dari segi kebendaan mungkin dah cukup. Rumah sudah ada, kereta buruk-buruk dah ada, pitis belum ada, tapi boleh dicari dan disimpan. Kudrat sudah ada, kuat dan sihat. Yang tak ada dan kurang....Ilmu. Tapi kata tok Imam masjid kampungku, tidak perlu ilmu agama yang tinggi untuk menunaikan ibadat haji. Cuma perlu tahu cara-cara yang betul untuk menunaikan ibadat tersebut. Tabung haji boleh mengadakan kursus tersebut!

Aduh, makin sakit hati ini. Tiada alasan. Benar!!!

Cuma mungkin.... jauh di sudut hatiku, takut pada bayang-bayang dosa semalam yang telah aku lakukan. Aku takut dengan cerita-cerita aneh dan pelik yang berlaku di tanah suci Mekah. Bimbang + risau = takut. Bimbang bila Allah menunjukkan kekuasaanNya mendedahkan segala keburukan dan dosa-dosa ini. Risau dosa-dosa yang terpalit pada diriku belum diampunkan oleh Allah sebelum aku menginjak kaki ke tanah suci. Hasilnya, ketakutan itu menguasai diri setiap kali ada impian untuk menjadi tetamu Allah.

Ampunkan aku ya Rabbi...

Bila kita merasa jemu

.......boringnya aku hari ini

Pernahkah anda merasa jemu dan bosan dengan pasangan anda? Jika pernah, bagaimanakah cara anda mengatasinya? Ada atau tidak terlintas di hati anda untuk bercinta lagi? Aku!! Secara jujur aku katakan perasaan itu tetap ada. Lebih-lebih lagi ketika aku 'berjawa' dengan pasanganku. Atau paling tidak pun bila aku ditinggalkan keseorangan. Tapi itu tidak bermakna aku membuat hal-hal yang bukan-bukan. Aku masih cinta dan sayangkan pasanganku. Cuma aku katakan perasaan jemu dan bosan itu tetap aku.

K
enapa ya, perkara ini terjadi?

Banyak sebabnya. Terpulang kepada individu itu sendiri. Bagiku mungkin kita terlalu lama mengulangi aktiviti-aktiviti yang hampir sama pada setiap hari. Waktu kerja; kita dengan hal tempat kerja. Balik rumah; berdepan dengan pasangan kita dan anak-anak. Rutin itu berulang sampai kita anggap kita bahagia bila di rumah kita tidak bertengkar mahupun bermasam muka dengan pasangan kita. Lama kelamaan kita sudah tak kisah dengan apa yang berlaku kepada pasangan kita. Dan yang paling kita takuti kita mula mencari keburukan dan kelemahan pasangan kita. Begitulah sebaliknya.

Sebab itulah, pakar hiasan dalaman rumah selalu berpesan agar perabot-perabot selalu dialih kedudukannya setiap waktu supaya kita tidak sampai jemu dan bosan dengan kedudukan yang sama sejak kita mula masuk rumah sampailah kita tua.

Terkadang pasangan kita ( sama ada isteri mahupun suami ) alfa dan lalai dengan cabaran dan godaan yang harus ditempohi oleh pasangan kita semasa berada di dunia luar rumah. Sikap memberi kepercayaan 100% kepada pasangan kadang-kadang boleh membawa padah. Jesturu kita perlu menyemai sedikit rasa sangsi atau lebih baiknya disebut perasaan 'cemburu' kepada pasangan kita agar kita lebih berhati-hati dengan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku. Biarlah pasangan kita mengatakan kita cemburu daripada berlaku kudis dikemudian hari. (Itu adalah kata-kata seorang sahabat aku di tempat kerja)

Salah satu lagi sebab kenapa kita akan merasa jemu dan bosan dengan pasangan kita ialah bila mana kita mempunyai waktu-waktu terluang yang banyak sangat. Bila kita tidak pandai mengurus waktu dengan bijak mulalah kita mencari perkara-perkara yang bukan-bukan. Lebih-lebih lagi bila ada member-member kita yang sekepala dengan kita. Maka makin cepatlah merebaknya. Hari ini peluang-peluang untuk mencari pasangan baru terbuka luas di hadapan kita. Kata nenek aku, tepuk dada tanya iman. Semuanya terletak di atas pilihan kita.

Jadi, bagaimana untuk mengelak supaya perkara ini tidak berlaku ke atas pasangan kita.

1/ Cari kebaikan pasangan kita

Bila dah timbul perasaan jemu dan bosan kepada pasangan kita, maka salah satu cara yang diajar oleh ayahku ialah dengan melihat kebaikan dan kelebihan yang terdapat pada pasangan kita. Kalau perlu buat list; kita buat senarai. Mana lebih banyak; sifat yang baik atau sebaliknya. Menurut kajian nenek akulah, tentu yang senarai kebaikan mengatasi keburukan. Bak kata raja lawak kita si Nabil itu, "lu pikirlah sendiri."

2/ Imbas kembali detik bahagia kita

Bila fikir baik-baik, tentu payahnya kita hendak membina sebuah perkahwinan. Ramai pihak yang terlibat. Bermula dari adat merisik, bertunang dan sampailah kepada majlis kenduri perkahwinan. Kalau 1000 orang jemputan, 1000 orang itulah yang menjadi saksi kebahagiaan kita menjadi raja sehari. Sayang rasanya kita bila terlalu cepat merasa jemu dan bosan dengan pasangan kita. Mungkin sebabnya terlalu kecil jika dibandingkan dengan apa yang telah berlaku diawal perkahwinan kita.

Aku rasa cukuplah 2 tips itu dahulu. Cuba amal dan renung-renungkan sekurang-kurangnya ianya memberi masa untuk kita berfikir, layakkah kita merasa jemu dan bosan dengan pasangan kita. Sekiranya berlaku juga, ajak-ajaklah pasangan kita berbual dan membuat perubahan. Semoga perkahwinan kita utuh selamanya.



Begini akhirnya

Maaf le kali ini aku publish lain sikit dari biasa. Baru nak cuba-cuba menulis, entah jadi entah tidak. Atau mungkin sangkut kat sini aje. Apa pun kata nenek aku, segalanya bermula dari tatih. So, bila bertatih itu tentu aje ada yang sangkut-sangkut. Kepada yang membaca tulisan ini, bolehlah tegur yang mana patut.

********

Dia masih lagi berdiri di tepi tingkap rumahnya. Memandang keluar melihat air hujan yang turun membasahi daun-daun pisang di tepi pagar rumah. Kedua tangannya memegang kekisi tingkap. Renungannya menimbusi daun-daun pisang. Sayu-sayu masih terdengar suara memanggil namanya. Bila dia amati suara tersebut; yang kedengaran hanyalah renyai-renyai air hujan menitis ke longkang. “astafirullah ha azim..,”dia mengucap kalimah tanpa sedar. Diucapnya kalimah tersebut berulang kali. “aku mengelamun rupanya,”monolog Haikal sendirian. Dia tahu peristiwa itu masih lagi menghantuinya. Rasa bersalah pada diri sendiri masih menebal. “Maafkan abang, isteriku. Maafkan abang.”


“Abang, boleh tak esok saja kita pergi ke rumah ayah. Ifa tak rasa tak sedap badanlah bang. Anak dalam kandungan ni asyik menendang dari pagi tadi lagi,” Ifa berbicara lembut kepada suaminya. Dia tahu suaminya dah sebulan tak menjenguk ayahnya di kampung. Pekerjaannya di tengah laut menghalang dia dari melakukan rutin biasa hujung minggu ke rumah ayahnya. Haikal menjeling ke perut isterinya. Dia menghampiri isterinya dan mengosok-gosok perut Ifa. “Besok kita pergi ke rumah toki ya Allia,” berbisik Haikal pada anak dalam perut isterinya sambil tersenyum. Bangga Ifa mendapat suami seperti Haikal. Seorang suami yang penyayang dan penyabar. Lima tahun tanpa anak langsung tidak mengugat perkahwinannya. Malah tidak ada sekumit bicara dari lidah Haikal yang menyentuh tentang anak.

Berubahlah untuk diri kita

...suatu kisah anak durhaka yang diceritakan ustaz

Sedih bercampur marah perasaanku bila ustaz menceritakan tentang kebaidapan dua orang pelajar lelaki menyumpah seorang guru lelaki yang memotong pendek rambutnya yang panjang dan berwarna perang. Sampai hati mereka bila mengungkapkan perkatan b**i, b***k dan sebagainya di tujukan kepad guru berkenaan. Andainya guru tersebut mendengarnya tentu dia kecil hati dan amarah yang amat sangat. Gagalkah aku mengajar sivik kepada mereka. Ustaz mengeluh dan mengaru kepala yang tak gatal. Kenapalah pelajar-pelajar hari ini begitu kurang menghormati guru. Terasa sia-sia segala ajaran dan dididikan yang diberikan selama ini.

Tak dapat digambarkan suasana di rumah mereka. Cara mereka bercakap dengan mak ayah. Cara mereka menunjukkan ketidakpuasan hati mereka. Barangkali menghempas pintu bilik dah jadi perkara biasa bila memprotes arahan mak ayah. Atau paling tidak pun, mereka mendiamkan diri bila nama mereka dipanggil oleh mak ayah. Lebih-lebih lagi waktu mereka menonton TV/Video.

Bukan mereka tidak tahu, akibat atau kesan dari pelakuan mereka tersebut. Ustaz/zah di sekolah tadika hingga sekarang telah berbuih mulut menceritakan dosa pahala seorang anak yang menderhaka kepada mak ayah. Tapi mereka ini mempunyai hati-hati yang telah mati. Apa tidaknya, boleh mereka wat der ( bahasa terengganu ) wat dono aje bila nama mereka dipanggil oleh orang tua mereka.

Berubahlah wahai pelajar-pelajar yang mempunyai mata hati. Ingatlah suatu hari nanti anda pula yang akan mengambil tempat kami. Anda pula yang akan menjadi seorang ayah, seorang ibu, seorang guru dan seorang orang tua. Hari muda tak selama kekal abadi. Masa akan pergi meninggalkan kita tanpa kita sedari. Hari ini kita lebih tua dari hari semalam (kelmarin).

Dan yang penting tiada orang lain yang mampu untuk mengubah diri anda melainkan anda sendiri. Biarpun turun malaikat dari langit datang mengajar anda, sekiranya anda tidak mahu belajar, maka tiada gunanya. Berubahlah demi kebaikan anda sendiri.

hujan turun lagi

air hujan yang melimpah berhampiran rumahku

Hari ini hujan turun lagi. Makin hari, makin jelas negeri kesayanganku, telah masuk musim tengkujuh. Harga ikan dah mula naik. Alasan yang diberikan oleh peniaga ikan ialah nelayan sukar ke laut. Macamlah mereka ( peniaga ikan ) yang turun ke laut. Geram jugak hatiku bila mereka menggunakan alasan demikian. Apapun kita sebagai pengguna nak tak nak terpaksa juga membelinya. Hajat hati nak bertukar selera ke ikan air tawar seperti ikan keli, ikan puyu, ikan haruan. Tapi dalam keluargaku hanya golongan lelaki sahaja yang makan ikan air tawar.

Sejak hujan turun ini, saban petang aku akan menjenguk anak parit yang berada di sebelah pagar rumahku. Timbul juga perasaan risau melihat air semakin naik. Maklumlah hujan setiap petang turun. Tahun lepas hanya sejengkal lagi lantai koridor rumahku hendak di naiki air. Garaj kereta telah ditenggelami air. Aku terpaksa memindahkan kereta ke rumah jiran yang kedudukkannya lebih tinggi dari rumahku.

Anak-anakku memang seronok bila hujan turun. Bukan apa, mereka suka mandi hujan. Kadang-kadang aku pun tumpang sekaki mandi hujan. Sambil itu, aku minta tolong mereka bersihkan longkang-longkang rumah sekali. Sebenarnya aku nak awasi mereka, takut-takut kerana terlalu asyik bermain hujan mereka pergi ke tepi parit pulak. Bimbang + takut kerana setiap kali tiba musim-musim hujan begini ada sahaja cerita anak-anak yang lemas.

Bila cerita tentang hujan , aku teringkat kat emak dan ayah di kampung. Waktu-waktu begini adalah waktu-waktu yang sukar bagi mereka. Lembu-lembu yang perlu ditambat di kandang. Kambing-kambing yang perlu diberi makan daun-daun kayu. Kerja-kerja itu memerlukan kudrat dan terpaksa berbasah air hujan. Pernah aku suarakan kepada ayah supaya tidak payah lagi memerlihara kambing dan lembu. Tapi kata ayahku, pekerjaan tersebut sudah menjadi darah daging dan juga untuk mengisi masa lapangnya. Aku diam dan akur dengan kata-katanya. Jauh di sanubariku aku bersyukur kepada Allah kerana masih lagi mempunyai emak ayah yang masih sihat.






LinkWithin

Related Posts with Thumbnails