sepinya ramadhan


Ramadhan semakin di penghujung harinya. Bagaimana perasaan kita? Sayu. Sedih. Gitu-gitu.. Barangkali ada yang gembila bila mengetahui Ramadhan sudah mula nak sampai ke garisan penamatnya. Maklumlah selepas itu kita akan menyambut perayaan Aidiladha pula.

Itulah bezanya iman kita jika dibandingkan dengan orang-orang yang soleh. Mereka meratapi pemergiaan bulan Ramadhan ini dengan perasaan sayu, sedih, dan berdukacita. Dimalapkannya cahaya rumah mereka sebagai tanda bersedih atas kehilangan bulan yang penuh rahmat ini. Kita?? Sambut kedatangan 1 syawal dengan bunyi-bunyian mercun dan bunga api. Dihiasi rumah dengan pelbagai lampu neon. Dinding rumah dicat baru. Langsir ditukar malah ada yang siap tukar perabot lagi. Siap diatur acara-acara tertentu pada hari raya pertama, kedua dan seterusnya. Malah lebih hebat lagi rumah terbuka sepanjang syawal atau sepanjang tahun.

Akhir Ramadhan dipandang sepi. Masjid-masjid hilang serinya. Yang tinggal hanya satu saf terdiri dari sepuluh orang. Itupun mereka yang dah lanjut usianya. Orang muda dan belia-belia lebih ramai yang berada di pusat-pusat membeli belah. Kata mereka; waktu begini harganya rendah dan murah. Mereka lupa dengan janji Allah tentang jual beli yang lebih menguntungkan. Tentang kelebihan sepuluh terakhir Ramadhan-dibebaskan hambaNya daripada azab api neraka.

Lemahnya iman kita..., keberkatan Ramadhan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Bukan kita tidak tahu; Tahu. Malah guru-guru sekolah kita dah beritahu dan jelaskan tentang kelebihan dan kemuliaan di bulan Ramadhan ini. Tapi kita tidak amalkannya! Kita sekadar menahan lapar dari terbitnya fajar sadiq hingga tergelincirnya matahari. Berpuasa tidak lebih dari sekadar adat yang telah diturun temurunkan oleh datuk nenek kita. Malah ada lagi mereka yang tidak bersolat tetapi tetap berpuasa. Maka jadilah kita seperti mereka yang berpuasa tetapi hanya dapat hanyalah lapar dan dahaga sahaja. Semoga Ramadhan kita kali ini lebih baik dari Ramadhan yang lepas. Dan doa kita moga kita masih ada untuk Ramadhan pada tahun hadapan

Amim...

bilakah insaf itu datang..

Hello!! Bagaimana dengan perjalanan hidup kita hari ini? Semua ok. Atau kita rasakan hari ini adalah tidak jauh bezanya dengan kelmarin. Pergi kerja dan kemudian pulang semula ke rumah. Melakukan aktiviti yang hampir sama setiap hari. Dan akibatnya, tanpa sedar terpancur kata-kata “bosaaan....giler hari ini.”. ( dipinjamkan dari tulisan seorang anak muridku dalam facebooknya ).

Kenapa kita bosan dan kemudian sanggup menjadi gila ya? Menurut kamus dewan edisi baru; pengertian bosan merujuk kepada sudah tidak suka lagi, jemu dan definisi gila pula ialah hilang akal. Bermakna ada orang yang hilang akal kerana jemu atau tidak suka pada apa yang berlaku seharian dalam hidupnya. Adusss....!!! Dahsyat sungguh mereka ini!!!!!!

Bolehkah aku katakan kepada mereka yang pernah mengucapkan perkataan seperti "bosan gila hari ini" mempunyai jiwa yang kosong. Pada mereka seperti ini ambillah masa untuk menginsafi diri tentang usia kita. Lupakah kita yang hari ini kita lebih tua dari semalam? Lupakah kita yang kita tidak dapat mengambil masa yang telah berlalu meninggalkan kita? Opss... kita terlalu takut dengan perkataan TUA. Baiklah aku gunakan perkataan ‘meningkat dewasa’. Kerana ada di antara kita yang masih tak dewasa biarpun ianya telah terlajak dewasa. (mungkin aku le tu ). Bukan apa, bila kita sentiasa happy sokmo ( selalu gembira ) tanpa sedar yang masa itu cepat berlalu. Terasa diri sentiasa muda biarpun orang lain dah panggil kita ‘pakcik’. Itulah alasan yang dapat diberikan bila ada orang tanya aku apakah petua awet muda.

Persoalannya, sampai bilakah kita akan terus merasa muda dan remaja?? Tidak cukupkah apabila kita melihat diri kita di cermin sentiasa pagi. Melihat raut-raut wajah yang kian berubah. Garis-garis kulit yang kian kendur. Warna-warna kulit yang kian gelap dan kehitaman. Lihatlah dengan mata hati kita, ke manakah hilangnya cahaya keimanan di wajah kita? Calit-calit kesejukan wajah seorang bayi telah hilang di seri wajah kita dek dosa-dosa yang kita lakukan. Jesteru marilah setiap kali kita berwuduk, menyapu air di muka kita; kita mohon pada Tuhan Semesta Alam agar mengugurkan setiap dosa-dosa mata, dosa-dosa mulut dan semua dosa-dosa anggota wuduk kita.

Aku berpesan kepada diri sendiri mahupun pembaca blog aku nie agar bukalah pintu hati untuk menyedari bahawa usia muda itu hanya datang sekali dalam hidup kita di dunia yang fana ini. Gunakan ianya dengan penuh keinsafan agar di hari TUA nanti kita tidak menyesali dalam mengimbaunya.

Amim...Ya Rabbil.

esok... mungkin hariku

Semalam aku menziarahi seorang kawan lama ayah yang terlantar sakit di rumahnya. Abang Mat kelihatan kursus melidi di perbaringan. Di bahagian tepi katil di sudut sebelah kanan di atas meja kecil berpusing lembut kipas angin ke arah mukanya. Penyakit strok yang menyerang sebelah kanan badannya membuatkan abang mat tidak dapat bergerak. Badannya yang dulu gemuk kini hanya tinggal tulang. Kalau tidak kerana adanya kulit sudah pasti sudah kelihatan tulang rangkanya. Salamku dijawab dengan kerdipan mata sambil jari jemarinya menunjukkan di kerongkongnya. Aku melihat di leher terdapat balutan kain kasa. Menurut isterinya, abang Mat terpaksa di bedah di kerongkongnya kerana tidak mampu menelan. Satu tiub plastik tersumbat di hidung sebagai saluran makanan cecairnya.

Ditemani seorang isteri yang setia, yang juga mengalami sakit darah tinggi dan juga penyakit kencing manis dapat juga menjadi pengubat luka abang Mat. Semasa aku berada di hujung katil sambil aku mengurut perlahan kaki kirinya, kulihat matanya berkaca. Tidak dapat menahan kelopak matanya mengeluarkan cecair jernih. Disapunya air mata tersebut dengan tangan kirinya.

Mungkin juga abang Mat terkenang kembali kenangan yang pernah kami kutip bersama. Dulu- bila kami berjumpa, topik hangat yang paling kami suka ialah tentang suasana politik tanah air yang semakin keruan. Tapi kini, bercakap pun tidak mampu!!

Itulah putaran kehidupan. Terlalu pantas masa berlalu. Hari ini kita sihat, esok entahlah!!! Segalanya terserah kepada Yang Maha Kuasa. Yang pasti hari ini kita sihat dan muda. Esok... usia kita pasti meningkat biarpun kita sendiri menafikannya.

Tapi sayang, ramai di antara kita seakan alfa tentangnya.

dan masa pun berlalu



Pernahkah kita membuat rentetan ke belakang hidup kita? Kenang kembali apa yang telah berlaku pada 10 tahun yang lepas atau lebih dari itu lagi. Di mana kita waktu itu? Bagaimanakah rupa kita waktu itu? Berubah wajah kita? Atau telah ternampak garis-garis kendur di muka kita. Kenalkah kawan sekolah kita dulu andainya mereka melihat kita sekarang?

“Dulu, kau kurus dan tinggi, Arung. Lening kau makin besar dan bulat. Sampai dok cam dan kenal aku dibuatnya.”kata seorang kawanku tak lama dulu.

“Apa taknya, lening aku ada orang yang jaga. Senang hati.” Terang aku seringkasnya. Itulah lelaki. Saiznya akan membesar secara mendadak selepas kahwin. Ingatkan isteri yang ‘membesar’ dulu; rupa-rupanya aku dulu yang bulat dan gempal.

Dan masa berlalu dengan pantas. Meninggalkan kita tanpa kita perasan akan kehilangannya. Hanya tahu apabila melihat tumbesaran anak-anak kita semakin hari semakin mencecah saiz kita. Hati dan perasaan kita terkadang masih lagi terasa seperti dulu! Mahu riang. Mahu enjoy bersama-sama member-member. Masih mahu melakukan aktiviti-aktiviti kegemaran kita seperti bermain badminton, bola sepak dan sebagainya biarpun kudrat kita sudah menurun dan tidak kuat seperti dulu...

Dan terjentik diri sejenak bila...

Mendengar rakan-rakan lama kita satu-satu meninggalkan kita berjumpa dengan Sang Penciptanya.

Rupa-rupanya aku sudah berumur...!!!

Guru Oh guru


Selamat Hari Guru diucapkan buat semua cikgu-cikgi yang berada di merata tempat di bumi Allah ini. Semoga ketibaan 16 Mei ini, akan dapat menyunting sedikit semangat yang kian lesu ditekan oleh bebanan kerja.

Dan pastinya bila tiba hari guru ini cikgu-ckgu akan menyanyikan sebuah lagu wajib iaitu Kami Guru Malaysia. Waktu ini; murid-murid akan bertepuk tangan kerana bangga guru mereka menyanyi secara live di hadapan mereka.

Tapi sayang dalam duk semangat menyanyi lagu tersebut ada guru-guru yang beragama Islam tidak sedar dan perasan tentang lirik lagu yang boleh membawa kepada penyelewengan aqidah kita sebagai seorang yang beragama Islam. Lirik lagu tersebut ialah:

....rukun negara kita,
panduan hidup kami semua

Menurut yang aku tahulah, panduan hidup kita sebagai seorang muslim ialah kitab Al-Quran dan juga al-hadis. Jadi kepada guru-guru di luar sana, sebelum menyanyi lagu tu, apa kata tanya dulu ustaz-ustaz supaya hidup kita tidak terpesong. Maklumlah zaman leningkan macam-macam boleh berlaku kekeliruan.

selamat menyambut hari guru..


Selamat Hari Ibu


Biarpun aku tahu mak aku tak pandai nak buka blog apatah lagi nak membaca tapi aku nak gak mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan happy mother days. Sekurang-kurangnya mereka yang membaca blog aku ini akan teringat kat emak mereka tentang ketibaan hari ibu. Pahtu cepat-cepatlah ucapkan selamat hari ibu kat ibu mereka.

Dan kalau boleh bukan hanya menunggu hari ini aje untuk mengingati mereka, tapi tiap-tiap hari kena ingat kat mereka. Kerana menurut orang alim sekiranya ibu kita dah mula merindui kita, maknanya kita dah berdosa kerana tidak menjenguh mereka. Sekarang ini bukannya susah untuk menghubungi mereka, call aje dah dapat dengar suara ibu.

Kata orang alim lagi, kita begitu mudah mendapat pahala tanpa melakukan apa-apa hanya dengan menggunakan anggota mata kita aje. Antaranya melihat ayat-ayat Al-Quran, melihat Kaabah, melihat wajah ibu kita dan opss... aku lupa satu lagi. So, oleh kerana ibu kita berada di kampung yang jauh dengan kita; apa kata kita cetak gambar ibu kita besar-besar pahtu kita gantung dekat depan pintu besar kita seperti yang biasa dilakukan dalam filem-filem hindustan tu.Bukan ape, sekurang-kurangnya anak kita dapat ingat wajah tok nenek mereka. Manalah tahu, kot-kot bila kita buat lagu ni, anak-anak kita nanti akan turut sama melakukan perkara yang sama kat kita suatu hari nanti. Bak kata hukum karma; kalau kita berbuat baik dengan orang tua kita, InsyaAllah anak-anak kita juga akan berbuat baik kepada kita. Begitulah sebaliknya. Tak gitu...

Itu hanyalah satu cara dari beribu-ribu kaedah untuk mengingati jasa dan segala kebaikkan yang telah dilakukan oleh ibu kita. Sebenarnya jasa dan kebaikkan ibu kita tu, tak terbalas oleh kita. Seperti satu kisah yang berlaku di zaman syaidina Umar Al Khatab dulu,..( kalau tidak silap lah) pernah Syaidina Umar melawat-lawat ke sebuah pasar, dan terlihatlah oleh khalifah ini akan seorang pemuda yang sedang mendukung seorang perempuan tua di belakangnya sambil menjual barangan. Sesekali perempuan tua ini mengeluarkan najis dan kemudiannya dengan sabar pemuda ini membasuh dan mendukungnya kembali. Apabila ditanya siapakah perempuan tua yang didukungnya, maka pemuda ini mengatakan yang perempuan tua tersebut adalah ibunya yang telah uzur dan tiada siapa yang hendak menjaga di rumah. Sebab itulah dia membawa ibunya ke pasar bersama-sama dengannya. Syaidina Umar menegaskan biarpun begitu taat dan baik pemuda tersebut dalam menjaga ibunya tetapi belum mampu lagi membalas jasa-jasa ibunya.

Persoalannya adakah kita sebaik dan setaat pemuda tersebut dalam menjaga ibu kita yang telah uzur. Tepuk dada,..tanyalah iman di dada.

bacalah..

'Street Vendetta'

Pelik sungguh tajuk novel ini. Bunyi macam novel orang putih aje. Tapi setelah aku belek rupa-rupanya novel berbahasa Melayu. Ditulis oleh seorang penulis muda yang mula mencipta nama di arena penulisan tanah air cik Mazni Aznita. Bila membaca novel ini, barulah faham kenapa penulis memilih tajuk tersebut sebagai judul buku novelnya. Rupa-rupanya kisah... baca sendirilah kalau nak tahu.

Tahniah diucapkan kepada penulis yang telah berjaya mengambil secebis kisah kehidupan untuk diadaptasikan ke dalam bentuk penulisan.

Novel ini bolehlah diketogarikan sebagai novel cinta. Namun novel ini ada sedikit kelainannya berbanding novel cinta lain, kerana jalan ceritanya cukup santai dan mempunyai unsur-unsur komedi yang mencuit hati.

Gaya bahasa ringkas, padat dan bersahaja seakan-akan kita berada di dalam cerita novel ini menjadikan kita ralit dan ingin terus membaca sehingga ke akhir cerita. Watak utama-Anabella adalah gadis biasa telah diujudkan oleh penulis bagi menggambarkan yang gadis-gadis seperti ini juga mempunyai kisah hidup yang unik untuk ditengahkan dalam penulisan novel.

Secara keseluruhannya, novel ini adalah sebuah novel yang ceria, riang dan menyeronokan. Tak menyesal kiranya anda cuba membacanya.

bacalah...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails