berarak lagilah kita



صَـلَّى اللهُ عَـلَى مُحَمَّد صَـلَّى اللهُ عَـلَيْهِ وَسَـلَّم
Pertama sekali aku minta maaf banyak-banyak, kerana terpanggil juga untuk turut sama membicaraan isu perarakan Maulidur Rasul. Memang isu ini menjadi sensasi sejak dua menjak ni. Maklumlah, apabila sesuatu isu itu telah ‘terkeluar’ dalam media arus perdana sudah tentu ianya menjadi kupasan setiap lapisan masyarakat. Maka lahirlah ramai ustaz yang tak bertauliah mengupas dan 'bersembang' tentang isu ini yang akhirnya menambah kerancakkan dan kekeliruan. Dan aku adalah salah seorang daripadanya. Inilah kemurnian yang diajar oleh Islam yang perselisihan pendapat atau pandangan itu merupakan satu rahmat.

Seharusnya kita bersyukur kepada Allah kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat kita menyambut hari kelahiran junjungan Rasullulah S.A.W. untuk ke sekelian kalinya. Sambutan kelahiran yang saban tahun kita ikuti dengan bacaan selawat dan salam ke atas Rasullulah disertai dengan perarakan besar-besaran sama ada peringkat negeri mahupun peringkat jabatan. Dalam perarakan tersebut kita berselawat sambil membawa sepanduk-sepanduk yang memuji kebesaran nabi kita.
Bagi aku, isu perarakan itu tidak perlu diperbesar-besarkan. Itu hanyalah satu medan atau cara umat Islam menyatakan rasa cinta dan sayangnya kepada Nabi Besar kita Muhammad S.A.W. Masih banyak lagi cara-cara atau kaedah-kaedah yang boleh diamalkan oleh generasi baru umat Islam seperti mengadakan kuliah selepas solat, ceramah, tayangan perdana dan sebagainya. Malah boleh difikirkan aktiviti-aktiviti yang sesuai yang boleh mendidik masyarakat untuk mengenal siapa dia Rasullulah s.a.w. Aku percaya sekiranya dibuat kajian secara rambang tentang tarikh kelahiran dan kewafatan baginda. Sudah tentu ramai orang yang tidak ingat dan tidak tahu. Generasi baru kini lebih mengingati tarikh idola penyanyi mereka lagi berbanding baginda!
Justeru apa yang penting ianya terletak kepada individu muslim itu sendiri untuk mengagungkan rasa cintanya kepada junjungan besar kita seperti memperbanyak selawat setiap hari jumaat mahupun hari-hari lain dalam kehidupannya.
Malah lebih unggul lagi kiranya kita dapat melahirkan rasa sayang dan cinta kudus kita kepada junjungan nabi dengan mengamalkan setiap sunnah dan mematuhi setiap perintah yang telah diamanahkan kepada kita. Semoga kita sentiasa berada dalam naunganNya.



Jangan Bersedih

Malam tadi aku benar-benar tidur lewat. Sampai dinihari. Mata ini benar-benar payah untuk dipujuk supaya lelap. Tak tahu kenapa. Tapi menurut nenekku, orang yang payah untuk tidur adalah disebabkan oleh banyaknya dosa yang telah dilakukan pada masa lalu. Aku renung sekejap kata nenekku itu. Ada benarnya. Sebabnya, sepanjang malam itu, mindaku bagaikan kaca TV menayangkan movie lewat malam. Selepas satu-satu kisah silam yang terungkai. Aku cuba off kan mindaku. Tapi gagal… dosa silam terus menghambat lewat malamku.

Aku mencapai sebuah buku yang tersusun di rak. Aku membacanya. Moga-moga mata ini boleh mamai dan akhirnya boleh terlelap. Tapi, mata ini makin cerah dan gagah. Maklumlah buku ‘La tahzan’(jangan bersedih- don’t be sad) dapat menghentikan mindaku dari terus merungkai dosa-dosa silam. Buku ini yang ditulis oleh Dr Aidh Abdullah AlQarni yang diterjemah oleh panel penterjemah dan disemak oleh YBhg. Datuk Abu Hasan Din Al Hafiz ( Pegawai Agama Islam Negara) dapat menemukan penyelesaian bagi kemelut yang aku hadapi pada malam ini.

Kandungan “relakan apa yang telah terjadi” dapat mendamaikan hatiku yang sedang resah dan gundah ketika ini.

Firman Allah S.W.T :

“(Kami jelaskan yang sedemikian itu ) agar kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu. [Al Hadid:23]

Di bawah ini diperturunkan beberapa petikan dari buku tersebut agar dapat sama-sama kita jadikan sebagai renungan:

JANGAN BERSEDIH: Sesungguhnya rasa sedih akan selalu mengganggumu dengan kenangan masa lalu, akan membuatmu khuatir dengan segala kemungkinan di masa yang akan datang, dan akan menyia-nyiakan kesempatanmu pada hari ini.

JANGAN BERSEDIH: Sesungguhnya rasa sedih hanya akan membuat hati menjadi kecut, wajah menjadi muram, semangat akan padam dan harapan akan menghilang

JANGAN BERSEDIH: Kerana kesedihan hanya akan membuat musuh gembira, membuat kawan bersedih, membuat orang yang mendengki senang dan membuat hakikat-hakikat yang ada berubah.

JANGAN BERSEDIH: Sesungguhnya rasa sedih sama dengan menentang qadha dan menyesali sesuatu yang pasti, jauh dari sikap lembut dan benci terhadap nikmat.

JANGAN BERSEDIH: Sesungguhnya rasa sedih tidak akan pernah mengembalikan sesuatu yang hilang dan semua yang telah pergi, tidak akan membangkitkan orang yang telah mati, tidak mampu menolak takdir dan tidak mendatangkan manfaat.

JANGAN BERSEDIH: Sesungguhnya rasa sedih itu datang dari syaitan dan kesedihan itu adalah rasa putus asa yang menakutkan, kefakiran yang menimpa, putus asa yang berlanjutan, depresi yang harus dihadapi dan kegagalan yang menyakitkan.

Firman Allah:

“Bukanlah Kami telah melapangkan untukmu dadamu. Dan Kami telah menghilangkan darimu beban. Yang memberatkan punggungmu. Dan Kami tinggikan bagimu sebutan ( nama)mu. Ini kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai( dari suatu urusan) kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan ) yang lain. Dan hanya kepada Rabbmullah hendak kamu berharap. [Al-Insyirah:1-8]

alahai cikgu..


Bencinya aku pada diri sendiri. Dahulu aku pernah berjanji untuk tidak menampar lagi pelajar. Hari ini tanpa diduga. Tangan kiriku hinggap jua pada pipi seorang pelajar lelaki gara-gara bercakap dan bergurau senda sepanjang solat zohor. Teringat kembali peristiwa hampir 10 tahun yang lalu, bila aku menampar seorang pelajar lelaki gara-gara aku menyuruhnya menadahkan tangan ketika doa pulang sekolah dibacakan. Dan kes tersebut telah menjadi kes polis apabila ayahnya membawa lawi ayam untuk menerobos perutku. Sejak itu aku cukup berhati-hati agar peristiwa tersebut tidak berulang.

Tapi siapa sangka dalam sabar aku selama ini, tiba-tiba ia meletup dan peristiwa itu pun berlaku. Nasib baik kali ini ianya tidak menjadi kes masuk paper kalau tidak, tentu gawat sekolahku jadinya. Itulah asam garam menjadi seorang guru. Silap-silap hari bulan boleh jadi sakit jiwa dibuatnya.

Sebab itu aku seringkali berpesan kepada anak buah supaya jangan ambil bidang perguruan sebagai opsyen pekerjaan. Guru hari ini tidak seperti guru di zaman ayah tok nenek kita , yang dihormati dan disanjung oleh masyarakat. Guru hari ini boleh digari di hadapan murid-muridnya persis seperti seorang penjenayah. Betul salah kemudian kira…! Yang penting keluhan ibu bapa perlu diutamakan untuk menaikkan sokongan politik.

Alahai guru… memang benar untuk memujuk hati yang kecewa ini; alasan balasan akhirat diwar-warkan. Dipujuknya hati dengan mengatakan tugas seorang guru itu mulia. Disematnya hadis Nabi S.A.W :

Bila telah matinya anak adam, terputuslah segala amalan kecuali tiga perkara iaitu doa anak yang soleh, sedekah jariah serta ilmu yang dimanfaatkan.

Kata nenekku, nak mengubah minda manusia ini adalah kerja susah.Payah. Liat. Kena banyak bersabar. Kita tidak boleh ajar, didik hari ini untuk lihat hasilnya esok. Tapi tungguuuuuuuuuuuuu…… mungkin mengambil masa sampai tua untuk mereka berubah. ( Harap-harap mereka berubah biarpun ada yang tidak berubah-berubah dari kecil sampai tua)

Atas kesedaran pesanan neneklah maka aku cuba buat yang terbaik untuk mendidik, memberi ilmu kepada murid-muridku seperti mana aku mendidik, membimbing anak-anak aku. Aku berharap dengan aku berbuat demikian, guru-guru lain yang mengajar anak-anaku akan berturut sama macam aku .

Moga suatu hari nanti, murid-murid yang kutampar mereka itu akan berjaya dalam hidup mereka. Amim..

perjalanan hidup

Kisah 1

Cuti 2 hari sempena Tahun Baru Cina ini macam-macam peristiwa berlaku. Hari pertama cuti, aku dikejutkan dengan berita kematian sepupu lelaki isteriku yang meninggal dunila akibat kemalangan Jalan raya. Motosikal yang dinaikinya dilanggar dari belakang oleh seorang pegawai polis yang membawa kereta dengan lajunya. Kadang-kadang hairan gak aku bila pegawai polis sendiri tidak mematuhi peraturan had laju. Tapi dengan senario politik tanah air kita sekarang, tahap kehairanan aku tu tidaklah tinggi sangat dengan apa yang berlaku. Apa tidaknya bila ada Datuk Matuk sendiri yang jadi kaki rasuah, menjadi perancangan segala aktiviti yang tidak bermoral dan macam-macam lagi. Bila melibatkan nyawa manusia, ianya menjadi tragis buat keluarga yang terlibat. Sebagai contohnya sepupu isteriku itulah; tinggalkan seorang isteri dan 10 orang anak yang masih memerlukan kasih sayang dan perhatian ayahnya. Biarpun kita dapat memujuk hati yang terluka dan kecewa dengan menganggapnya sudah suratan takdir tapi jauh di sudut hati…masih ‘berbekas’ dengan apa yang terjadi. Kerana semua itu adalah disebabkan kecuaian dan ‘kegilaan’ orang lain. Kita yang menanggung kesannya. Apa pun kita yang masih hidup ini seharusnya mengambil iktibar atas kematian manusia di sekeliling kita. Hari ini adalah hari mereka, suatu hari, suatu ketika dan suatu saat akan tiba jua hari kematian kita. Adakah kita 'bersedia' mengadapNYA

Kisah 2

Kata perpatah; yang jauh kita dekat-dekatkan dan yang dekat kita mesra-mesrakan. Aku telah diundang oleh mak saudara isteriku untuk sama mengikuti rombongan peminangan anaknya di Kampung Padang Setar, Kuala Berang. Apa yang menarik perhatianku ialah tentang jamuan yang dihidangkan kepada kami selepas proses peminangan tersebut. Kerabu pucuk putat bersama sayur rebung pokok kelapa sawit cukup menaikkan selera makanku yang tengah lapar. Gulai ayam bersama masakan lain aku tolak ke tepi. Dah lama aku tak ‘bersemangat’ makan lagu tu. Hari tu, aku betul-betul ikut nafsu makan!

Kisah 3

Dalam 2 hari cuti ini jugalah adik iparku mengadakan jamuan sempena ‘naik’ rumah barunya. Letih menolong. Tetapi seronok. Bila melihat ramai saudara yang datang menjeguk ke rumah barunya. Sekaligus mereka juga dapat menjenguk ke rumahku. Maklumlah rumah adik iparku sebelahan dengan rumahku. Yang terhiburnya bila anak-anak sedara yang begitu aktif menolong mengangkat pinggan mangkuk, gelas dan kemudiannya mereka membuat pasukan membasuhnya. Sekurang-kurangnya mereka boleh belajar sesuatu dan mencari pengalaman dalam komunikasi di antara mereka.


malam pertama di syurga


Malam ini aku berkesempatan untuk menyambung kembali bacaan buku ‘malam pertama di syurga’ yang telah aku beli 3 atau 4 bulan yang lepas. Selepas beberapa bab dibaca, aku simpan buku ini di rak dan sambung rutin harian sehingga terlupa yang buku ini belum habis dibaca.

Buku ini yang ditulis oleh penulis Adil Akhyar,SH,LL.M yang diterbitkan oleh Pustaka Azhar merupakan sebuah buku yang sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat yang cintakan ilmu. Dengan membawa petikan ayat-ayat Al-Quran dan al-hadis yang berkaitan dengan gambaran keindahan syurga dapat memikat hati-hati yang lalai untuk ‘merasa’ tenang dan teringin sekali mencari usaha untuk sama-sama menjadi ahli syurga nanti.

Buku yang setebal 230 muka surat ini mengandungi 32 bab yang menceritakan tentang perjalanan pertama manusia selepas mati hinggalah kepada kehidupan dalam syurga. Juga diberi tips-tips yang bagus untuk diamalkan bagi melengkapkan diri menjadi ahli syurga. Rasanya berbaloi membeli buku ini dengan harga RM15.00 di pasaran kerana terlalu banyak ilmu yang dapat dikutip selepas membaca buku ini.

Jom kita pakat baca buku ini…

pakat membaca


Anda membaca tak hari ini? Membaca…,bagus!! Apa yang anda baca? Surat khabar? Majalah? Buku pelajaran? Atau apa…

Pernahkah anda menjadi resah bila suatu hari anda tidak membaca? Pernah…, BAGUS!! Ini menunjukkan bahawa tabiat membaca itu telah mula menyerap ke dalam minda anda. Dan lama kelamaan pasti ianya menjadi budaya membaca dalam hidup anda. Tahniah! Teruskan membaca. Cuma alangkah bagusnya jika kita jua turut sama membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Sekiranya kita membaca lebih dari 10 ayat Al-Quran sehari, insyaAllah kita akan menjadi tenang dan terus tenang. Kata nenek aku seharusnya zaman aku ini bukan sekadar membaca Al-Quran tetapi telah pergi selangkah lagi iaitu memahami apa yang telah dibaca itu. Katanya lagi, ketika zaman nenekku, membaca Al-Quran ini telah menjadi budaya pada setiap rumah selepas waktu solat maghrib. Menurut nenekku, andainya kita melalui rumah-rumah di kampung pada waktu itu, pasti kedengaran suara anak-anak sedang membaca Al-Quran. Barangkali atas didikan itu maka hidup pada zaman nenekku begitu harmoni dan damai. Lahirnya anak-anak yang begitu patuh dan taat kepada kedua ibu bapa.

Tapi zaman telah berubah…

Kesibukan kerja dan mencari rezeki untuk menyara anak-anak dijadikan alasan untuk tidak membaca Al-Quran. Tapi yang anehnya masih mempunyai waktu untuk menatap dan membaca helaian demi helaian akhbar arus perdana. Kononnya untuk mengetahui isu-isu semasa agar diri tidak ketinggalan zaman. Walhal bahan bacaan tersebut penuh dengan berita palsu dan tidak benar. Cerita yang sejengkal ditulisnya depa-depa.

Bersyukurlah kepada mereka yang telah dipilih oleh Allah untuk terus berada di jalan yang benar. Mereka yang mengingati pesan junjungan Rasulullah S.A.W iaitu:

Aku meninggalkan kepadamu satu perkara, selagi kamu mengikutinya,

kamu tidak akan sesat, iaitu Kitab Allah.

Akhirnya marilah kita sama-sama tanamkan satu hasrat untuk memperbanyakkan budaya membaca terutama membaca Al-Quran. InsyaAllah


kenangan terindah

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Begitulah yang telah terjadi kepada dua orang rakanku yang akan bertugas di tempat lain mulai esok. Sedihnya rasa! Kemesraan yang terjalin sekalian kali tiba-tiba direntap pergi. Segala gurau senda pastinya akan termiang di telinga. Hanya senyum kelat yang akan terukit nanti.

Cikgu Adnan

Buat cikgu Adnan selamat bertugas di tempat baru SMK Seri Nilam. Biarpun jaraknya tidak jauh dari tempat aku bertugas. Tapi aku rasa cikgu Adnan payah untuk datang saja-saja melawatku. Dia yang aku kenali di awal tahun 2006 yang baru bertukar dari SMK Jerangau cukup berbeza dengan apa yang aku kenali sekarang. Dulu; semasa datang ke sekolahku, tempurung kepala di bahagian dahinya boleh dimasukan segenggam penumbuk. Cukup ngeri. Kesan daripada perlanggaran kereta yang dialami beliau. Selepas itu beliau menjalani pembedahan kulit kepala dengan memasukkan tembaga nipis sebagai ganti tempurung kepala yang telah remuk. Kesan jangka panjangnya beliau telah kehilangan daya bau.

Memandangkan sikap beliau yang agak pendiam menyebabkan beliau kurang ‘rapat/mesra’ dengan cikgu-cikgu lain. Walaubagaimanapun sesiapa yang sudah lama rapat dan berkawan dengan beliau mendapati beliau seorang yang suka bergurau dalam nada selamba. Kadang-kadang aku sendiri pun ‘terkena’ dengan gurauan beliau. Kah!kah!kah! (sedihnya… bila semua itu akan hilang nanti). Beliau juga seorang guru yang senang memberi bantuan dan pertolongan apabila diperlukan.

Cikgu Mohd Tamizi bin Harun

Aku sempat bersamanya selama 3 tahun sahaja. Seorang yang bersifat seperti ayah kepadaku. Banyak memberi nasihat yang cukup berguna dalam meneruskan kehidupan sebagai seorang guru. Pertukaran ke tempat baru adalah satu kehilangan besar buatku. Apa tidaknya beliau memiliki kemahiran mendengar yang cukup baik. Segala telatah dan peil aku yang gila-gila dapat diserap dengan selamba oleh beliau. Seorang guru yang cukup baik dengan pelajar-pelajarnya. Pendekatan berhemah yang membuatkan pelajar-pelajar begitu menyayangi beliau. Pertuturan dan percakapan yang teratur dan berhati-hati membuatkan aku malu pada sendiri. Maklumlah aku ni banyak cakap dan ‘nano’ tak tentu hala. Dalam diam, aku cuba untuk menjadi seperti beliau untuk meneruskan khidmat sebagai seorang guru yang cemerlang dan gemilang. InsyaAllah

setiakah kita

Hai kisah kecurangan pasangan lagi.! Di illustrasi kulit majalah Al-Islam pun ada. Di Ilustrasi kulit majalah Feminin pun ada kisah ni. Dan yang menariknya di dada akhbar harian metro pun ada juga kisah kecurangan pasangan suami isteri ini. Mungkin telah menjadi trend zaman ini.

Sebenarnya kisah kecurangan ini telah lama berlaku. Sejak turun temurun lagi. Cuma ianya tidak dihebahkan. Sekarang cerita ini telah diberi nafas baru. Apa pun kecurangan tetap perbuatan yang keji dan haram di sisi ajaran agama kita, Islam. Malah tetap dijanjikan balasan buat mereka sama ada pihak suami mahupun isteri. Di akhiratnya mereka makan daging yang amat busuk sedangkan daging yang baik ada di sisi mereka. Balasan gelii, jijik dan meloyakan.

Persoalannya kenapa ianya tetap berlaku? Adakah mereka ini tidak takut kepada balasan Tuhan. Takut!!! Tapi tetap melakukan! Takut dan kesal bila diri sudah berada dalam keadaan normal dan tenang. Takut dan marah pada diri sendiri bila segalanya telah berlaku. Dan tidak takut bila ianya sudah menjadi kebiasannya dalam kehidupan.

Alam rumahtangga merupakan realiti kehidupan yang sebenarnya. Andainya semasa kita bercinta dahulu kita boleh ‘melakonkan’ watak-watak baik, alim dan romantis. Tetapi alam perkahwinan mendedahkan sebaliknya. Masa dan tempoh perkahwinan membuat kita membuktikan siapakah kita sebenarnya. Segala keburukan pasangan kita terdedah dengan sendirinya. Segala asyik maksum semasa bercinta juga akan beransur hilang kiranya kita tidak bijak dalam merencana bahtera perkahwinan. Kita mula mengutip, menghitung dan kemudiannya mengumpul segala kelemahan dan keburukan pasangan kita. Menunggu waktu yang sesuai untuk menjadi bom jangka. Meletup dan merungkai segala-galanya…

Kemudian bermulalah episod bermasam muka. Si suami mula merasakan rumah yang selama ini bagaikan syurga mula bertukar menjadi lubang neraka. Hilang sudah segala detik manis berjabat tangan dengan tok kadi. Segala pukulan kompang dan nyanyian selawat ke atas nabi telah hilang rentaknya menjadi nyanyian dangdut di kelab malam. Wajah isteri yang manis di malam pengantin juga turut pudar dan silih berganti dengan wajah orang kedua.

Si isteri pula berwajah duka. Bedak dan gincu yang menjadi hiasan muka telah hilang serinya. Kepada teman sekerja lelaki dicurahkan segala derita di hati. Memohon pengertian dan simpati dari teman yang sudi mendengar. Kemudian dari simpati bertukar sayang dan rindu. Maka bermulalah babak baru, SMS di malam kirim hingga dinihari. Kemesraan mula terjalin. Pertemuan demi pertemuan mula diatur. Dan akhirnya…

alibri

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails