jemputan kahwin



Bila tiba cuti sekolah macam nie, banyaklah kad jemputan perkahwinan yang diterima. Sama ada dekat mahupun di luar daerah. Maknanya bila ada jemputan, maka kalau tidak ada keuzuran, kita kena pergilah. Jangan buat berbagai-bagai alasan untuk tidak pergi. Tidak baik berbuat begitu. Agama Islam mendidik kita untuk menghadirkan diri pada setiap jemputan. Di sana nanti akan ada keberkatan seperti dapat mengeratkan perhubungan sesama manusia. Tak kisahlah tentang bab hulur menghulur itu. InsyaAllah, tanpa kita sedar Allah akan menambah rezeki melalui jalan-jalan yang tidak terfikir oleh kita.

Cuma semasa kita makan tu, beringat-ingatlah sikit tentang penyakit yang telah sedia ada dalam tubuh kita. Silap-silap hari bulan, kita pula yang masuk hospital nanti. Maklumlah, bila dah berdepan dengan masakan panas-panas ditambah pula dengan hujan renjai yang turun, nafsu makan kita pun naik ke 270 darjah.

Bukan apa, cuma ingat pesanan Rasul kita; penyakit itu bermula dari perut. Macam kata nenek aku, nasihat kat orang ni senang. Tapi bila kena batang hidung sendiri, alamak...payahlah sikit! Buktinya perut aku dah makin menonjol ke depan mengalah orang perempuan mengandung 3 bulan. Nasib baiklah isteriku masih sayangkan aku. Kalau tidak, terpaksalah aku masuk rancangan the bigger losser.

Kepada pasangan pengatin yang melangsungkan perkahwinan mereka, aku ucapkan selamat berbahagia hingga akhir hayat.

banjir lagi..

...air bah yang telah masuk ke laman rumahku

Hujan turun lagi. Air sekitar rumah sudah mula melimpah ke garaj kereta. Dua buah kereta terpaksa aku tumpangkan ke rumah jiran yang kedudukannya lebih tinggi dari rumahku. Anak-anak tak henti-henti bermain air hujan. Sekejap naik ke rumah, ‘isi perut’ dan kemudian turun lagi ke laman rumah bermain air bah. Anakku yang bongsu begitu jelous kerana dia
tak boleh bermain air hujan kerana masih lagi berada di dalam pantang ‘Jawi’( bersunat). Setiap kali abang dan kakaknya keluar bermain air hujan setiap kali itulah dia akan bertanya bilakah lagi akan tamatnya perintah berkurung tersebut. Nasib baiklah dia ada geng kerana sepupunya juga turut sama ‘berjawi’.

Isteriku pula tak lengkang berada di dapur. Memasak apa yang patut. Katanya masa cuti inilah waktu ‘qada’ mana-mana tanggungjawab yang tertinggal pada waktu persekolahan dulu. Apa lagi aku pun tumpang sekalilah. Nampaknya tentu banyak baju-bajuku yang ‘mengecil’ nanti. Tak nak makan, takut isteri merajuk pulak. Tapi yang sebenarnya, aku yang pantang tengok. Tengok aje, terus makan. Ha!ha!ha! Bilalah aku boleh kuruskan badan, tak tahulah.

Dalam akhbar sinar hari ini, Kuala Terengganu telah diisytiharkan bahawa air bah telah sampai ke peringkat merah. Kecut perutku bila mendengar berita ini. Maklumlah rumahku berhampiran dengan anak sungai. Silap-silap hari bulan tak pasal-pasal pulak kami sekeluarga berpindah ke pusat pemindahan. Aku dan isteri telah membuat perancangan, kot-kot air bah masuk ke dalam rumah nanti. Dekat mana nak letakkan barang-barang yang terdapat di dalam rumah. Peti sejuk, set TV, perabot dan lain-lain lagi. Susah jugak membayangkannya. Tak tahulah mereka yang saban tahun rumahnya di landa air banjir sama ada banjir kilat mahupun banjir bermusim. Tentu mereka telah ‘lali’ memikirkannya. Tapi sepanjang 6 tahun berada di rumah kami, air banjir belum lagi masuk ke lantai rumah. Paling tidak pun hanya mencecah lantai koridor sahaja. Harap-harap tahun ini begitu jugalah. Semenjak semalam aku tidak lena tidur. Sekejap-kejap bangun, jenguk keluar lihat tanda paras air yang direka oleh aku dan anak keduaku. Bangga benar dia bila dia dtugaskan untuk melihat tanda paras air tersebut setiap 1 jam. Rumah adik iparku yang baru sahaja diduduki dua hari yang lepas telah menjadi ‘pulau’ bila disekeliling rumahnya telah ditenggelami air banjir. Untuk pergi ke rumahnya terpaksa mengharungi air separas paha. Dia lagi pening kepala kerana semua perabot di dalam rumahnya baru sahaja dibeli. Dia juga seperti kami, mendoakan hujan tidak berlarutan biarpun di langit masih lagi mendung gelap.

membacakah kita



Membaca merupakan satu aktiviti yang banyak manfaatnya. Ajaran agama juga menggalakan kita membaca. Masyarakat kini telah pun tahu kepentingan membaca. Namun sejauhmanakah aktiviti membaca ini menjadi amalan hidup kita? Adakah dengan membaca surat khabar, majalah semasa itu boleh dikira sebagai memenuhi tuntutan membaca? Jika jawapan ya, maka kita sebenarnya masih terlalu daif untuk mengakui bahawa kita ini sebenarnya masih jauh berada di dalam landasan membaca.

Sebenarnya adalah kita mencipta alasan untuk tidak membaca. Kita jadikan kesibukan bekerja dan bebanan tugas sebagai tempat untuk diluahkan segala alasan tersebut. Siapa yang rugi? Kita jugak. Jadi cara yang terbaik, kita mestilah bijak merancang dan bertindak mencari masa yang terluang untuk membaca apa sahaja bahan bacaan yang berfaedah. Kita dianugerahkan masa yang sama banyak 24 jam. Jesteru kenapa orang lain boleh melakukan aktiviti membaca sedangkan kita sebaliknya. Jawapannya hanya kita yang tahu jawapannya...!
Misalnya, selama ini kita banyak menggunakan masa terluang dengan berborak-borak kosong yang mungkin boleh mengundang dosa mengumpat. Apa kata masa tersebut kita gunakan untuk membaca seperenggan tulisan yang terdapat dalam pelbagai bahan bacaan. Cubalah! mungkin pada peringkat awal kita sukar untuk melaksanakannya. Tapi berdikit-dikit insyaAllah ia akan menjadi tabiat yang baik. Mulakan aktiviti membaca dengan bahan-bahan bacaan ringan yang menghiburkan seperti majalah-majalah masakan, URTV, Mangga dan sebagainya. Kemudiaan bila sudah melekat aktiviti dalam rutin kehidupan kita, barulah kita berpindah kepada membaca bahan-bahan bacaan yang lain pula.

Selain itu, kita juga seharusnya mengurangkan aktiviti ‘menonton wayang’ di rumah kita. Gantikan masa anak-anak menonton televisyen dengan mewujudkan budaya membaca. Kita bersama anak-anak bekerjasama untuk membincangkan buku-buku atau bahan-bahan bacaan yang telah dibaca. Apa kata kita tubuhkan kelab membaca dalam keluarga kita. Adakan perjumpaan di hujung minggu persekolahan dan kemudian adakan aktiviti perbincangan atau bercerita buku-buku yang dibaca. Tentu menarik kan! Selepas aktiviti tersebut, adakan sedikit jamuan. Tentu anak-anak tidak sabar menunggu ketibaan hujung minggu seterusnya.

Semoga dengan berbuat demikian, akan tersemailah generasi baru yang suka membaca.

cinta gila


....aku telah jatuh cinta kepada isteriku

Layakkah aku untuk membicarakan tentang cinta. Aku bukan seorang penulis novel yang pandai menggarap ayat-ayat cinta. Pun demikian aku seakan terpanggil untuk menulis jua tentang cinta. Apa yang aku tahu dan mengerti cinta itu adalah anugerah Ilahi yang suci. Dengan perasaan cinta ini, hidup kita akan dipenuh dengan pelbagai warna pelangi. Cinta boleh membuatkan seseorang itu bahagia. Cinta juga boleh membuat seseorang itu merana, kecewa, dan sanggup melakukan apa sahaja untuk cinta.

Aneh bukan? Tapi itulah hakikat sebuah cinta. Bila cinta mula berputik, maka dunia diterangi kebahagiaan. Perasaan merindu sering kali menujah jauh ke lubuk hati. Lantas terasa detik cepat berlalu bila bersama dengan pasangan kita. Atau masa terhenti bila menunggu ketibaan si dia.

Ah! Malas aku untuk menceritakan perasaan bahagia itu. Semua orang yang dah melalui pengalaman bercinta itu tahu dan mengerti apa yang aku maksudkan.

Cuma kali ini aku ingin memperkatakan tentang kekeliruan pelajar-pelajarku dalam menterjemahkan pengertian cinta. Percintaan dibangku sekolah merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Maklumlah ini adalah kali pertama menyayangi orang lain selain keluarga kita. Dan lebih manis dan menjadi kenangan terindah lagi sekiranya percintaan tersebut dapat kekal hingga ke jinjang pelamin. Tapi daripada pengetahuanku, percintaan ini jarang-jarang berlaku. Yang biasa berlaku adalah cinta kilat, cinta monyet dan macam-macam lagi istilah yang membawa maksud cepat jatuh cinta dan lagi cepat putus cinta. Aku juga pernah jatuh cinta semasa di bangku sekolah. Tapi sayang, cinta aku itu juga boleh dikategorikan dalam cinta monyet. ( Dalam entry yang lepas, aku pernah ceritakan kisah percintaanku dibangku sekolah ). Walaubagaimanapun ianya cukup indah untuk dikenang kerana cintaku dulu tidak disaluti dengan noda dan dosa seperti pelajar sekarang. Cinta pelajar hari ini menagih 'penyerahan' secara total. Bermula dengan pegang-pegang tangan, kemudian cium di pipi, menjalar dan terus menjalar... sehingga berlakunya noda!

Bagi mereka cinta itu memerlukan 'pengorbanan'. Dan yang terkorban itu sudah semestinya pelajar perempuan yang memang sifatnya menyerah. Begitulah perubahan ketara yang berlaku di zaman aku remaja dulu dengan sekarang. Cinta yang seharusnya disemai dengan perasaan kasih sayang yang suci dan indah telah dicemari dengan nafsu serakah. Puncanya kerana di dalam dada mereka tiada nilai-nilai asuhan agama. Kegagalan ibu bapa, guru-guru dan juga persekitaran dalam menerap nilai-nilai didikan agama telah menambah nilai buruk ini. Di bawah ini merupakan beberapa faktor yang menjadi pemangkin kepada nilai-nilai buruk cinta pelajar hari ini mengikut pandangan aku dan nenek aku:-

  • Ibu bapa yang terlalu sibuk mencari rezeki yang kononnya untuk menyara keluarga telah tanpa sedar menjadikan pekerjaan mereka sebagai satu alasan untuk kurang menpunyai masa untuk mendidik anak-anak. Hakikatnya rezeki yang dianugerahkan tuhan sudahpun memadainya, Tetapi kerana ingin kemewahan hidup mereka sanggup mengabaikan tanggunjawab yang telah diamanahkan kepada mereka iaitu anak. Tiada lagi ajaran membaca Al-Quran di rumah, sembahyang berjemaah malah yang lebih teruk tiada masa untuk makan bersama dengan anak-anak. Apatah lagi untuk bertanya khabar tentang permasalahan yang dihadapi oleh anak mereka.
  • Handset ( telefon bimbit ). Satu lagi alat komunikasi yang disalahgunakan oleh anak-anak. Kemudahan komunikasi ini telah diharamkan atau tidak dibenarkan sama sekali di bawa oleh anak-anak kita ke sekolah. Biarpun ada pro dan kontranya, namun Kementerian Pelajaran dengan beraninya menegaskan bahawa alat ini tidak dibenarkan dibawa ke sekolah bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingin berlaku. Bagiku, langkah ini adalah satu langkah bijak. Penggunaan handset lebih-lebih lagi handset yang mempunyai memory card merupakan satu penyebab utama kepada cinta gila yang aku maksudkan di atas. Handset jenis ini yang dilengkapi dengan 3gp mahupun mp3 memudahkan 'movie-movie l***h' tersebar dengan cepat. Ini memangkin pelajar untuk bermain cinta gila itu. Selain itu, penggunaan handset kepada pelajar-pelajar ini mendorong mereka untuk menjadi seorang yang suka bercakap bohong dengan ibu bapa mereka disamping mereka lebih mudah berjanji untuk buat date dengan pasangan mereka.
  • Basic agama Islam mereka longgar. Pelajar-pelajar kita hari ini tidak takut kepada dosa pahala. Bagi pelajar perempuan, mereka lebih takut 'mengandung' berbanding azab dosa daripada perbuatan mereka. Penghayatan ajaran agama Islam kurang malah tiada langsung dalam rutin seharian mereka. Solat hanya di sekolah. Itupun kerana guru yang mengawasi mereka. Sekiranya guru alfa dan kurang cakna mereka sanggup berada di dalam tandas berjam-jam daripada menunaikan solat di surau sekolah. Inilah lumrah pelajar-pelajar kita hari ini.
Apapun, marilah sama-sama kita berusaha dengan sungguh-sungguh untuk menyemai nilai-nilai kehidupan akhirat buat pelajar-pelajar kita. Biarpun kita cikgu matematik, guru sains, guru bahasa inggeris tetapi ambil sedikit masa untuk menyelitkan unsur-unsur Islam dalam pengajaran kita dengan memperingati tentang kesudahan kehidupan kita. Semoga dengan usaha kita itu, Allah melemparkan kesedaran buat anak-anak dididik kita tentang bahayanya cinta yang tidak diredhai oleh IIahi. Amim.!!!

sejauhmanakah kejujuranmu..

....kebahagiaan itu terbit dari saling mempercayai

“tak tahulah, saya yakin dan beri kepercayaan 100% kepada suami saya,” kata seorang guru perempuan apabila aku bercanda tentang kejujuran suaminya yang sentiasa outstation. Katanya lagi, “apa guna kita fikirkan yang bukan-bukan. Sekiranya berlaku juga perkara yang kita tidak ingin itu, kita hadapinya ketika itu. Jangan stress yang bukan-bukan.”

Wah..!!!, Terkejut beruk aku dengan lecture ringkasnya itu. Aku mengangguk-angguk kepala bila tahu tempoh perkahwinannya baru mencecah 4 tahun. Itulah berbezanya kita sesama manusia. Kalau aku di tempat dia, gerenti aku tak dapat nak tidur malam memikirkan orang yang kita sayang asyik keluar daerah sahaja. Tentu lama kelamaan suara-suara halus itu berbisik jua di cuping telinga aku...Tapi tuhan jadikan pasangan itu mengikut ketentuanNYA.

Timbul persoalan; sejauhmanakah kita memberi kepercayaan kepada pasangan kita. Kata nenek aku, seorang isteri tidak seharusnya memberi 100% kepercayaan kepada suaminya. Simpan 30% untuk mencuriga, cemburu, sangsi, dan berhati-hati dengan perubahan sikap dan tingkahlaku suami. Barulah sesebuah perkahwinan itu selamat. "Lelaki ni, kuat menyimpan rahsia bila sesama lelaki, dan pandai berlakon."kata nenek aku di hujung tangga buluh pondoknya. Dan selama itulah aku pegang kata-kata nasihatnya.

Ternyata pegangan aku itu meleset dan tidak sama langsung dengan pandangan rakan sejawatku itu. Katanya, "jodoh dan pertemuan itu telah ditentukan Tuhan Yang Maha Esa. Sekiranya jodoh kita panjang, maka sampai ke akhir hayatlah kita bersamanya. Begitulah sebaliknya. Yang penting kita dahulu harus jujur dan setia dengan pasangan kita. Barulah Allah kurniakan pasangan yang setia kepada kita." Ceramah pendek dan bermakna buatku. Aku tersengih tapi dalam hati pedih tak terkira.

Walaubagaimanapun, ada kebenaran di sebalik kata-katanya. Mungkin aku terpengaruh dengan cerita-cerita di majalah WANITA yang terlalu banyak menceritakan tentang kecurangan suami mahupun isteri. Lebih-lebih lagi pada era zaman yang serba punah keimanan ini.


Tapi,..aku masih lagi berpegang kepada satu perkara iaitu di luar sana terlalu banyak ruang dan penyebab kepada sebuah kecurangan. sama ada sumai mahupun isteri. Jesturu binalah sebuah rumahtangga bahagia dengan menjadikan rumahku syurgaku.


bersyukur atas pemberianNYA



Syukur kepada Allah kerana hari ini nampaknya cuaca baik. Langit cerah. Awan putih kecil berarak ke hulu. Mungkin petang nanti awan-awan ini akan berkumpul, mendung dan kemudian akan turun hujan. Apa pun, bukan aku seorang sahaja yang gembira dengan cuaca pagi ini malah burung-burung merbuk di belukar belakang rumahku jua turun galak menyanyi. Inilah kehebatan Allah, rahmatNYA bukan diturun kepada makhluk bernama manusia sahaja tetapi kepada semua ciptaannya; dari sebesar-besar saiz hingga sekecil-kecilnya. Cuma kita bersifat alfa dan tidak tahu bersyukur sahaja yang seringkali tidak memikirkan setiap kejadian tuhan yang berlaku disekeliling kita.

Jesturu untuk memujuk hati kita yang keras dan bebal ini, marilah sama-sama kita mengambil sedikit waktu yang diberikanNya bagi merenung kembali perjalanan hidup yang kita lalui sehingga saat ini. Dari seawal-awal ingatan kita mungkin bermula seusia 6 tahun hingga ketika kini; tentu banyak peristiwa, salur galur, pahit maung, masam-masam manis kehidupan kita yang telah dianugerahkan IILahi yang kita tidak bersyukur atas pemberianNYA.

TERLALULAH banyaknya pemberian rahmatNYA...!!!!

Perbezaan rentetan hidup di antara kita, sebenarnya memberi warna keindahan kehidupan. Miskin-kaya, tinggi-rendah, suka-duka, merana-bahagia, gembira-kecewa adalah rempah ratus kehidupaan yang tersirat dan tersurat pelbagai rahmat dan keindahan ciptaan tuhan. Di perhujung kehidupan hanya satu yang dinilai iaitu KETAKWAAN kita kepada Allah. Persoalannya bagaimanakah cara yang sebaik mungkin untuk kita mengurus kehidupan menuju ke arah ketakwaan kepada Sang Pencipta walau apa pun kedudukan dan status kita.

Bermula dari kita bangkit tidur sehingga kita kembali ke tempat tidur; cara berkomunikasi, cara kita berpakaian, cara kita bekerja, malah segala-galannya. Apakah urutan peristiwa seharian kita itu menepati jalan-jalan menuju ketakwaan. Tepuk dada, tanyalah iman kita.

Pun demikian, kita masih mengharapkan orang-orang yang berada disekeliling kita untuk memberi teguran ikhlas agar kita terus berada di landasan ketakwaan yang benar.

menjadi hero

....parit yang hampir meragut dua nyawa

Hari ini telah menjadi sejarah dalam hidupku. Apa tidaknya, hari ini dengan izin Allah, aku telah menyelamatkan dua nyawa daripada menjadi arwah. Kisahnya bermula bila aku sedang berehat-rehat kat rumah. Tiba-tiba anak keduaku menjerit meminta tolong menyatakan ada orang lemas di parit sebelah pagar rumahku. Aku bagaikan lupa diri berlari bergegas keluar dari rumah. Aku terus menuju ke tempat kejadian. Disana aku melihat dua orang budak lelaki sedang berpautan antara satu sama lain dan tenggelam timbul hanyut dibawa arus deras. Aku berlari ke tebing parit. Aku ingin terjun dan menyelamatkan mereka. Namun aku bimbang andainya mereka meronta-ronta dan akan menarik aku sehingga aku juga turut lemas. Dalam waktu genting itu, aku bertindak mencapai dahan kayu yang berada berhampiran denganku. Aku terjun ke dalam parit bersama dahan kayu tersebut. Aku menghulurkan dahan kayu itu ke arah mereka. Allahamdulillah, mereka sempat mencapai dahan kayu tersebut. Kemudian aku berenang ke tepi parit sambil menarik mereka ke daratan.

Syukur kepada Allah kerana keduanya berada dalam keadaan sedar. Muka mereka pucat dan tidak bermaya. Letih kerana sudah banyak minum air. Keadaan aku pula, semput dan tercungap-cungap kerana berlari hampir 50 meter dari rumahku. Ditambah pula berat seluar jeans yang basah. Cermin mata hadiah dari isteriku berjenama guci ( RM1500.00) hilang di bawa arus.

Bangga dan terharu perasaanku bila salah seorang budak lelaki yang lemas itu datang kepadaku lalu memelukku dan mengucapkan berkali-kali terima kasih. Seorang lagi, hanya duduk termenung dan berpeluk tubuh merenung tempat kejadian yang berlaku dengan sekelip mata. Hanya kata-kata penyesalan yang keluar dari mulutnya.Dia berjanji tidak akan mengulanginya lagi.


Kesan daripada kejadian ini, aku tidak dapat melupakan saat-saat genting ketika menyelamatkan mereka. Terutamanya bila aku mengambil masa beberapa saat untuk bertindak sama ada aku harus terus terjun menyelamatkan mereka tanpa mengambil kira keselamatan diriku sendiri atau mengambil langkah lain. Detik-detik membuat keputusan benar-benar menghantuiku. Aku takut ketika aku mengalihkan pandanganku daripada mereka untuk mengambil dahan kayu, mereka akan tenggelam untuk selama-lamanya.

Satu lagi yang meninggalkan igauan dalam mindaku ialah ketika pandangan sayu mata seorang budak lelaki yang hampir tenggelam tepat ke mataku ketika aku menghulurkan dahan kayu ke arahnya. Pandangannya memberi seribu makna yang mengheret aku untuk mengumpul segala kudratku untuk menyelamatkannya.

Apapun segala kejadian dalam ketentuanNYA.

ubi kayu rebus

...bestnya kenangan makan ubi kayu rebus

Pagi ini hujan turun lagi. Semenjak dua hari yang lepas, hujan turun waktu pagi. Ah, malasnya mahu mandi! Sejuk! Teringat zaman kecil dulu-dulu, kalau hujan begini ayah akan nyalakan unggun api di bangsal berhampiran rumahku. Unggun api itu biarkan berbara dan menyala sepanjang musim hujan. Ayah sengaja mencari kayu api yang besar-besar agar bara api tahan lama. Sudah menjadi kebiasaan ayah, selepas dia memotong rumput untuk lembu-lembunya dia akan memanaskan badan di unggun api tersebut. Aku pula, bagaikan diarah akan membakar ubi kayu atau merebus ubi kayu di unggun api itu. Sementara menunggu ubi kayu yang direbus itu masak, aku lihat ayah mentelengkupkan tapak tangannya ke arah asap dan selepas itu meletakkan tapak tangan tersebut ke dada dan di bawah ketiak secara bersilang. Kata ayah itulah caranya memanaskan badan yang sejuk menggigil. Aku mengambil batang buluh yang telah dipotong di kedua ruasnya. Aku dekatkan batang buluh yang dijadikan corong ke mulut dan kemudian meniup ke arah bara api yang hampir padam. Bara api itu kembali menyala. Dan sekiranya gagal juga, aku akan mengambil tudung periuk dan mengibas-gibas bara api itu sehinggalah bara api itu marak kembali. Bila ubi kayu rebus dah masak, kami akan mencicah ubi kayu itu dengan nyior muda parut. Supaya ubi kayu itu lebih enak, emak aku biasanya membancuh kopi pekat untuk menolak ubi kayu ke halkum. Ayah menggunakan masa ini untuk bercerita tentang kesusahan yang dihadapinya semasa zaman mudanya. Aku melopong dan kagum dengan ketabahan ayah. Dalam hatiku, aku ingin menjadi seperti ayah, supaya sifat sabar dan tabahnya akan mengalir ke dalam diriku.

Pagi ini, aku juga ingin anak-anakku merasai pengalaman sepertiku dulu. Sengaja aku ajak mereka mencabut ubi kayu yang aku tanam di tepi pagar rumahku di waktu hujan turun. Aku lihat anak bongsuku yang berumur 7 tahun bersemangat memegang batang ubi kayu. Berkerut wajahnya menarik keluar isi ubi kayu. Tapi tak berjaya. Datang pula anak lelakiku yang kedua cuba membantu adiknya. Tak berjaya juga. Sengaja aku membiarkan mereka dengan aktiviti itu. Kemudian datanglah ayahnya yang gagah perkasa membantu dan menerangkan teknik-teknik yang betul mencabut ubi kayu. Dengan power ultraman kami, akhirnya berjaya mencabut ubi kayu tersebut. Ketawa riang mereka. Aku pun turut tersengih melihat aksi mereka.Tanpa membuang masa, aku mengajar anak-anak lelakiku cara-cara untuk mengupas kulit ubi kayu dan membersihkannya. Selebihnya aku serahkan kepada emak mereka untuk merebus ubi kayu. Tapi sayang, mereka tidak ada pengalaman untuk merebus ubi kayu menggunakan unggun api, sebaliknya melihat emak mereka merebus ubi kayu menggunakan dapur gas. Tugasku rupanya belum selesai lagi bila diminta oleh isteriku untuk memarut nyior bagi dicicah dengan ubi kayu nanti.
Akhirnya kami anak beranak bersarapan pagi dengan ubi kayu bersama kopi ‘o’ kauw yang dibancuh isteriku.

benci, marah pada siapa

bencinya aku..!!!!

Pernahkah anda membenci diri sendiri. Atau paling tidak pun marah pada diri sendiri atas apa yang berlaku. Jika ianya pernah berlaku, menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena pada diri kita. Aku pernah! Malah terkadang perasaan itu terus datang tanpa dapat dikawal. Perasaan benci timbul bila tak tahu nak buat apa-apa. Contohnya macam idea yang nak aku tulis ini. Makin dipaksa makin jauh idea ini lari. Benci + geram dibuatnya. Apa boleh buat, kita adalah hambaNya yang bersifat lemah dan kerdil. Bukan setakat idea aje hilang, sekiranya Dia mahu berhentikan kerdipan alis mata pun kita tidak mampu menghalangnya.

Apa pun kita kena berusaha, berdoa dan bertawakal kepadaNya agar apa yang kita inginkan tercapai. InsyaALLah, lambat laum Allah akan memperkenankan usaha dan doa kita.

Tapi, kita juga adalah manusia yang bersifat lemah. Tidak dapat tidak, kita sering alfa dan jadi pelupa. Bila kita stress, kita tanpa sedar mengungkapkan kata benci pada diri kita. Pada andaian kita, ianya tidak melibatkan orang lain. Maka that ok. Yang menjadi mangsa kita tentunya benda yang ada di sekeliling kita. Atau benda yang kita pegang ketika itu. Kalau kertas, padahnya koyok le kertas itu. Kesian kertas, kalaulah Allah berikan kertas itu bersuara pasti disumpah seranahnya kita. Mengapa ya, terjadi demikian???

Jawabnya hanya kita sendiri yang tahu. Bagiku mungkin perkara-perkara berikut penyebabnya:-

1/ rosak bawang ditimpa jambak

Peribahasa yang merujuk kepada kesilapan yang dilakukan diri sendiri. Dalam kes aku ini, aku tidak dapat menulis kerana aku makin hari makin kurang membaca. Liat benar untuk membaca. Nak kata sibuk, tak! Mungkin kepala otak aku ini serabut. Banyak perkara yang hendak diurus sehinggakan aku tak cerakin satu-satu perkara dengan betul mengikut susunan kepentingannya. Sebab itu barangkali, bila tak berjaya melakukan sesuatu dengan sempurna.

Dan lagi satu yang aku lupa sangat-sangat ...yang kita sebagai seorang yang memegang teguh ajaran agama Islam seharusnya tidak membenci diri sendiri. Kita ditegah dan dilarang membenci diri kita apatah lagi membenci orang lain. Malah kita juga ditegur sekiranya merungut rasa limau yang kita makan itu tidak manis umpamanya. Seolah-olah kita mempertikaikan kebesaran Sang Penciptanya. Begitulah indahnya ajaran agama kita. Kita diasuh, dididik, diajar, dibimbing oleh ajaran kita supaya kita selalu hidup dalam perasaan kasih sayang, saling menghormati di antara makhluk samada sesama kita, binatang mahupun tumbuhan. Sebagai contohnya kita dilarang untuk memetik bunga atau mematahkan ranting tumbuh-tumbuhan tanpa tujuan.

Moga aku tak benci dan marah pada diriku lagi...



Fitnah memakan diri


FITNAH. Satu perkataan yang sudah biasa kita dengar. Malah kita telah mengetahui maksud dan maknanya. Walaubagaimanapun suka aku mengingati kembali maksud dan makna fitnah. Bukan apa, kita ini kadang-kadang lupa dan sengaja buat-buat lupa.

Fitnah menurut Kamus Dewan Edisi Baru muka surat 325 memberi maksud tuduhan ( khabar, kisah dll ) yang diada-adakan ( dibuat-buat ) untuk memburukan atau membencanakan seseorang dll. Dalam masyarakat kita, sejak daripada zaman Hang Tuah sampailah waktu aku menulis ini, fitnah telah menjadi sebahagian daripada darah daging masyarakat Melayu. Buktinya; lihat sahaja filem-filem melayu yang dihasilkan yang ditayangkan di pawagan mahupun di kaca TV, semuanya terselit unsur-unsur fitnah. Aku berilah beberapa contoh filem atau drama Melayu yang aku tonton yang mengandungi unsur-unsur fitnah ini. Filem seperti matinya seorang patriot( 1984), Puteri ( 1986), Suci dalam debu (1988), adik manja (1980), soal hati( 2000 ), gol & gincu( 2005) dan banya lagi filem-filem lain. (Ini aje yang terlintas kat kepala aku ketika ini) Persoalannya kenapa aku jadikan filem-filem melayu ini sebagai bukti yang masyarakat kita masih lagi kuat menfitnah. Ini kerana produser filem membuat filem berdasarkan kisah semasa yang berlaku dalam masyarakat kita.

Kita sebagai seorang melayu Islam, kita telah tahu kesan dan akibatnya bila suka menabur fitnah. Fitnah adalah satu dosa besar dalam ajaran agama kita. Bila dosa besar dan tidak sempat bertaubat tentunya tempat kita akhirnya ke neraka. Minta dijauhkan Allah hendaknya.

Menabur dan membuat fitnah adalah perbuatan yang tidak bertanggunjawab. Si Fitnah tentu mempunyai niat-niat tertentu untuk menjatuhkan atau memburukkan seseorang melalui kisah, khabar atau apa sahaja caranya. Melalui perbuatan tersebut, diharap agar orang yang dituju fitnah itu merana atau menerima akibat dari fitnah yang ditabur tersebut.

Dalam era yang serba pantas ini, banyak bentuk fitnah yang timbul. Kalau dulu-dulu, orang suka hantar surat layang atau surat terbang. Kini dengan kemajuan ICT, orang yang mempunyai hati busuk ini maju setapak, fitnah di hantar melalui SMS sahaja. Mereka ini tidak pernah berfikir atau renung sejenak, kesan dan akibat fitnah ini kepada masyarakat.

Pernah terjadi di tempat kerjaku, Pengetua menerima SMS yang berbaur fitnah dengan ayat-ayat yang biadap dan kasar yang mengatakan guru-guru di tingkatan 1 dan 2 tidak masuk ke kelas dan membiarkan pelajar-pelajar berkeliaran macam zoo. Rupa-rupanya SMS itu dihantar kepada Pengarah JPNT dan diforwadkan kepada pengetua. Apa lagi, pengetua yang ketika itu berkursus terus meminta pihak pengurusan menyiasat kes tersebut. Tak cukup dengan itu PPD dan timbalannya pun turun ke sekolahku untuk menyiasat kebenaran SMS itu. Geramnya aku....!!! Menyusahkan guru-guru sahaja.

Nampaknya seakan ada orang yang tidak puas hati, sakit hati, atau berdendam dengan tempat kerja aku ini. Pada aku tentu orang ni bukan calang-calang orang. Kata nenekku, orang cerdik pandailah. Orang kampung tak reti nak taip SMS dan bersusah payah cari nombor handset Pengarah JPNT.

Terkadang pelik + ajaib le ada orang-orang macam ini. Kalau benarlah seperti yang didakwanya. Apa kata pergi ke sekolah, berdepan dengan pihak pengurusan dan minta penjelasan sewajarnya mengapa perkara seperti yang didakwanya berlaku. Itu baru ‘gentelman’ kata orang Terengganu. Ini tidak, takut serupa tikus!!! Konon akulah orang cakna tentang pendidikan anak-anak melayu. Cehh.!!Kesian, terkadang orang yang suka membuat fitnah tidak sedar yang perbuatannya itu akan terkena pada batang hidungnya sendiri. Antaranya; hidupnya tidak tenang, mempunyai hati yang sentiasa resah. Sentiasa berdendam. Malah lebih teruk lagi sentiasa mencari punca ketidakpuasan hatinya. Dan yang paling aku takut sekali ialah tentang balasan akhirat yang bakal diterima oleh orang-orang yang suka menabur fitnah ini.

Jesteru aku mohon sangat-sangat, terutama kepada diri sendiri agar menjauhkan diri dari sifat-sifat tercela seperti ini. Ingatlah kita tidak selamanya berada di sini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails