surat untuk kalian..

As Salam

Teman,

Terasa benar diri ini kerdil apabila ingin membicarakan tentang kesilapan yang membawa kepada dosa kepada manusia dan Sang Maha Pencipta. Tapi aku percaya, masih ada orang lain yang sama turut dikejar oleh bayangan penyesalan yang tak sudah-sudah..

Rasanya tidak perlu aku ceritakan secara detail tentang kesilapan 'dosa' yang aku buat itu; kerana agama Islam tidak menggalakan kita untuk menceritakan keburukan diri sendiri apatah lagi orang lain. ( maafkan aku...kerana menggunakan agama untuk menutup keburukanku). Tapi yang pasti aku telah melakukan dosa...!!!

Teman,

Memang benar seperti apa yang telah dialami oleh Saidina Umar Al-Khatab yang menangis terisak-isak mengenangkan dosa yang telah beliau lakukan sebelum Islam. Takut nanti di dunia akhirat akan ditunjukkan kepada kita segala dosa yang telah kita kerjakan di dunia yang fana ini. Aku pun takut teman...malu dengan apa yang telah aku lakukan itu! Syaidina Umar melakukan dosa sebelum masuk agama Islam dan Allah telah mengampunkannya sedangkan aku.... melakukan dosa sudah dalam beragama Islam. Ya Allah...ampunkanlah dosaku!!!

Teman-teman yang baik hati,

Sekiranya kau masih seperti ku dulu...Cukuplah! Berhenti dan berubahlah...!! Biarlah aku seorang yang sentiasa dikejar dan dikejar oleh penyesalan yang tidak sudah-sudah. Ketahuilah teman, dosa-dosa itu akan menghambat kita walau di mana kita berada. Waktu ini mungkin kalian berasa seronok dan enjoy dengan apa yang telah kita lakukan. Tapi percayalah teman... hidup kita tidak selalunya indah. Usia kita akan bertambah, tubuh badan kita jua turut berubah. Ketika itulah, dosa-dosa kelmarin akan datang menjenguk kita walaupun kita cuba untuk melupakannya. Aku telah merasai kepedihan dan keperitan dalam melupakan dosa silam.

teman-temanku,

Sementara pintu taubat masih terbuka menunggu kita. Marilah...kupimpin tangan kalian ke pintu penyesalan. Semoga dosa-dosa yang telah kita lakukan itu; Allah ampunkan bersama keberkatan bulan Ramadhan yang mulia ini. Marilah temanku...

temanmu yang pernah melakukan dosa



tanya mata hati kita


Sudah melekatkah sifat lebah pada diri kita ??

Dalam menunggu waktu berbuka puasa, aku luangkan waktu untuk mendengar siaran radio RMT klasik. Lama benar aku tak buka chanel ini, melainkan chanel THR aje. Bukan apa aku suka dengar lagu-lagu rock belanda 80 an. Chanel radio lain kurang memutarkan lagu-lagu macam tu.

Ketika itu seorang ustaz sedang menyampaikan ceramah ramadhan yang telah menyentuh sanubariku. Tentang iktibar dari kejadian Allah iaitu lebah. Menurut ustaz tersebut, lebah seekor serangga yang banyak memberi manfaat kepada manusia. Selain menghasilkan madu yang telah diketahui kelebihannya oleh manusia; sifat atau perangai lebah juga seharusnya dijadikan contoh oleh manusia.

Berikut adalah tulisan dan pandangan aku sendiri tentang kupasan dari ceramahan di dalam radio tersebut.

Bagaimana ya..! Sesekali elok juga kita perhatikan perjalanan hidup lebah. Lebah bila cerah mentari sahaja, ia akan terbang mencari manisan di pelbagai jenis bunga. Kalau ada bunga yang baik dan bagus, ia menghisap manisan bunga tersebut tanpa merosakkan kuntuman bunga-bunga itu. Sambil itu, di kakinya akan terlekat spora-spora atau debunga yang kemudiannya dibawa oleh sang lebah tadi ke bunga-bunga yang lain pula. Maka tanpa disedari oleh lebah-lebah tersebut, ia telah membawa kebaikan dengan mencepatkan proses persenyawaan debunga pokok-pokok yang disinggahinya. Manisan pelbagai bunga ini telah dibawa pulang ke sarang lebah-lebah , dikumpulkan dan kemudiannya dikenali sebagai madu.

Cuba kaitkan pula dengan perjalanan hidup kita. Sejauhmanakah kita membawa kebaikan kepada orang di sekeliling kita sepanjang kehidupan kita seharian. Adakah usaha-usaha yang kita lakukan itu memberi manfaat kepada diri kita atau orang lain. Tanya kepada mata hati kita, adakah kita dapat mengambil madu lebah tanpa merosakkan sarangnya..???

fikir...fikirkan lah.

Terima kasih Allah


"Ya Allah, ampunkan dosa muslimin dan muslimat."

Hari ini telah masuk hari ke 4 kita berpuasa. Sedikit sebanyak aku ingin menyatakan sesuatu yang bermakna untuk renungan diri sendiri dan sesiapa yang berminat; iaitu tentang terima kasih Allah. Ramai orang mungkin termasuk aku jarang mengaitkan sesuatu kejadian itu dengan Allah. Kalau seorang pelajar itu berjaya dalam peperiksaannya,contonya mendapat 10A1, maka dia menyatakan kejayaan itu dapat dicapai hasil dari usaha belajar dengan bersungguh-sungguh melalui teknik-teknik yang betul. Atau juga mungkin mengaitkan usaha guru dan juga emak ayah.

Jarang benar kita mengucapkan terima kasih Allah kerana telah memberi kejayaan tersebut. Atau kalau ada pun akhir-akhir ucapan kita. Kenapa begitu ya...??

Memang itulah sifat kita yang kian alfa dan hanyut dengan dunia kita sendiri. Kebahagiaan dan kesenangan yang kita miliki ini membuatkan kita seakan-akan lupa pada sang PenciptaNya. Jesteru kita kurang malah tidak langsung mengambil sedikit masa untuk mengucapkan terima kasih Allah yang telah mengurniakan kebahagian dan kesenangan itu.

Jadi, sempena bulan yang maha berkat ini, aku mengambil kesempatan untuk menasihati diri sendiri dan juga orang di alam maya sana untuk sama-sama mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih Allah...

hancur luluh hati ini

Berada di dalam aliran sains di tingkatan 6 membuatkan aku benar-benar diuji. Cikgu Lee Luang Chen, cikgu kimia aku memang seorang guru yang baik hati dan prihatin dengan pelajarnya. Sifat keibuannya telah menyemai rasa minat aku untuk menjadi seorang guru. Begitu juga dengan cikgu Biologiku, cikgu Ramlah. Dia bersungguh-sungguh dalam melakukan eksperimen. Masih teringatlah lagi bila aku diminta membuat pembedahan ke atas seekor katak. Katak-katak yang aku jumpa di tepi longkang dimasukkan ke dalam klorofom untuk 'pengsankan' katak tersebut. Ketika itu aku bantah tindakan cikgu Ramlah kerana menganiayai katak-katak tersebut. Tapi setelah diterangkan oleh cikgu Ramlah bahawa katak-katak tersebut merasa 'bangga' kerana mati begitu daripada mati katak, baru aku faham. Aku kagum dengan mereka. Lantas aku memohon untuk memasuki maktab perguruan.

Dalam masa itu, aku pernah dipanggil temuduga oleh pihak UTM dan Universiti Pertaniah Malaysia. Doaku moga aku dapat masuk U macam rakan-rakanku yang lain. Doaku dimakbulkan Allah. Aku ditawarkan masuk ke Universiti Pertanian Malaysia dibawah Diploma Pertanian. Namun aku ditempatkan di cawangan UPM, Bintulu Sarawak. Gembira bukan main aku, akhirnya aku dapat juga masuk U. Tapi remuknya hatiku, bila ayah dan emak aku bantah sekeras-kerasnya agar aku tidak pergi ke Sarawak. Macam-macam alasan diberikan termasuk menakut-nakutkan aku dengan cerita-cerita tahyul kononnya ramai dah orang yang kena sihir bila berada di sana. Aku menangis dalam hati. Aku memberontak dalam diam. Aku tidak lagi pergi ke sekolah. Aku mula menghisap rokok. Frust... betul-betul frust, setelah aku berusaha bersungguh-sungguh, tapi ini jadinya...dan yang paling menyakitkan hati bila alasan yang diberikan mereka kepada orang kampung bila bertanya kenapa aku menolak tawaran UPM ialah aku tidak mahu berjauhan dengan mereka. Maklumlah anak bongsu kata mereka.

Tanpa pengetahuan keluarga, aku mohon untuk jadi polis. Lagi sekali,... bila sampai surat temuduga untuk jadi polis, ayah dan emak melenting. Kata mereka biar keturunannya tak jadi polis. Jadi polis akan disumpah dan dikeji orang kerana menghalang orang ramai mencari rezeki kerana polis seringkali mengadakan sekatan jalanraya!!!. Ya Allah....kenapalah mereka..!!! Aku seorang anak yang patuh.. aku turuti apa kata mereka biarpun hati ini remuk redam, hancur luluh.

Aku mula kurang tidur di rumah. Aku banyak menghabiskan masa di Markas Tarbiyah agama yang berada berhampiran dengan rumahku. Di sana aku botakkan kepala, pakai semutar ( serban) di kepala. Aku pujuk hati ini dengan banyak mengingatiNya.

Tuhan itu Maha Kaya dan Pengasih...akhirnya permohonan aku menjadi guru diterima. Aku ditawarkan ke Maktab Perguruan Teruntum, Kuantan Pahang. Aku terang sebaik mungkin kepada ayah dan emak agar kali ini membenarkan aku pergi ke sana. Syukur kepada Allah, mereka terbuka hati untuk membenarkan aku menjadi cikgu. Berakhirlah episod sedih, dan kecewa, sakit hati...dan berakhirlah juga kisahku sebagai seorang pelajar dengan tidak tamat di tingkatan 6 atas.

belajar pondok

Keputusan exam SPM sudah berada di tangan. Dapat Argreat A27. Bahasa Inggeris tak payah ceritalah. Gagal! Add math dan matematik moden cemerlang. Begitu juga dengan mata pelajaran sains; semua kepujian. Aku bersyukur dengan keputusan SPMku walaupun dibandingkan dengan kawan-kawan, aku masih lagi yang tercerot. Aku sudah berkira-kira untuk memohon masuk ke U. Itu adalah impianku sejak aku mula boleh membaca semasa tingkatan 2 lagi. Dengan bantuan abang keduaku, aku dapat membeli borang permohonan kemasukkan ke U. Universiti yang aku pohon ialah UTM ( Universiti Teknologi Malaysia) dan juga Universiti Sains Pertanian.

Dalam masa seminggu selepas permohonan, aku menerima kad yang menyatakan borangku sedang diproses. Sementara aku mendapat keputusan tersebut, aku telah mendapat tawaran ke tingkatan 6 di SMKPM. Kali ini aku ditawarkan dalam aliran sains. Aku berbincang dengan emak dan ayah, samada mereka mengizinkan aku untuk belajar di tingkatan 6. Mereka tak kisah. Mereka hanya mengikut apa pilihanku.

Jarak yang jauh dari rumah ke sekolah baruku ini adalah cabaran baru yang harus kutempuh. Antara alternatif yang perlu aku ambil untuk sampai ke sekolah ialah, aku menaiki sebuah bas sekolah yang hanya dinaiki oleh pelajar-pelajar perempuan sahaja iaitu bas sekolah Sekolah Menengah Khairah. Hanya sebuah bas ini sahaja yang melalui kampungku. Itupun hanya tigaperempat sahaja perjalanan ke sekolahku. Selebihnya aku terpaksa pula naik teksi untuk ke sekolah. Boleh bayangkan, selepas solat subuh aku cepat-cepat menunggu bas di wakaf di penghujung jalan kampungku. Pada mulanya, hanya aku seorang sahaja naik bas berkenaan. Tapi kemudian..lepas seorang-seorang pelajar perempuan bas berkenaan sehingga penuh. Malunya aku bila aku naik turun dari bas berkenaan. Terpaksa melalui di celah-celah pelajar perempuan ini. Tebal muka..!!!

Bila pulang sekolah pula, aku menaiki bas sekolah untuk 1/4 perjalanan. Selebihnya aku akan buat macam cerita orang putih, genggam tapak tangan dengan ibu jari keluar dan tunjuk arah perjalanan yang aku nak pulang kepada kenderaan yang lalu lalang. Harap-harap ada yang baik hati untuk menumpangkan aku menaiki kenderaan mereka. Kalau tidak ada aku terpaksa berjalan kaki.

Pernah terjadi suatu hari, aku buat macam stail yang sudah-sudah... adalah sebuah van yang baik hati untuk menumpangkan aku. Apa lagi sepantas kilatlah aku masuk ke perut van. Tapi, dalam perjalanan tersebut van tersebut berhenti-henti untuk mengambil orang lain. Dan bila penumpang turun, dibayarnya harga tumpangan tersebut. Sah... van ini adalah kereta sapu atau lebih dikenali dengan panggilan prebet sapu. Aku mula resah dan duduk pun tak tenang. Sekejap-kejap aku chek dalam poket aku, hanya ada 30 sen. Bila sampai persimpangan menuju ke kampung ku, aku minta diturunkan aku. Aku hanya membayar dengan duit yang ada. 30 sen! Aku terangkan kepada pemandu van tersebut yang aku ingatkan dia hanya mahu menumpangkan aku. Nasib baik dia terima. Lega!! Mungkin dia tengok aku pakai baju sekolah kot, sebab tu dia tak kisah. Terkadang ada juga rasa tberkeceil hati dengan emak aku, tapi apa boleh buat, aku hanya seorang anak. Ada ke patut diberinya duit hanya $1.00 setiap hari untuk ulang alik ke sekolah.

Aku bertahan selama dua minggu sahaja. Selepas itu aku serik taubat... tak akan naik lagi bas berkenaan dan pulang dengan kaedah orang putih tu. Aku berbincang dengan rakanku Roslan Mansor untuk menumpang di rumah saudaranya di Kampung Dusun Melintang dekat Bukit Besar. Jarak dari rumah tersebut ke sekolahku lebih kurang 8 KM sahaja.

Aku dan kawanku Roslan Mansor sudah seminggu tinggal di rumah di rumah saudarahnya. Rumah itu dua tingkat. Kami tinggal di tingkat atas manakala di bahagian bawah adalah bengkel mengecat kereta. Kami tak payah bayar sewa, cukuplah menjadi 'jaga' bagi bengkelnya di bawah. Malah kami diberi upah kerana menjadi 'jaga' tersebut.

Roslan seorang kawan yang kuat beribadat dan kuat dengan pegangan agama. Darinya aku banyak belajar tentang hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam. Pernah satu hari dia menyatakan yang dia tidak lama bersekolah. Dia akan pergi belajar ke sekolah Pondok. Di sekolah pun dia banyak berbicara tentang perjuangan agama Islam. Aku juga turut tertarik untuk mengikuti jejak langkahnya ke sekolah pondok. Aku luahkan hasratku untuk belajar di pondok kepada ayah. Ayah menasihatiku untuk meneruskan sekolah sehingga tamat. Aku seorang anak yang patut. Aku turuti 'perintah' ayah.


********************************

Teringat lagi semasa minggu suai kenal, kelas 6 bawah Omega iaitu kelasku telah diminta oleh senior-senior tingkatan 6 Atas untuk membuat satu skesta komedi pentas. Apa lagi. aku telah dipilih oleh rakan-rakan untuk menjadi sultan Melaka manakala seorang pelajar perempuan cina iaitu Oi Mei Mei menjadi pemaisuriku. Oi Mei Mei seorang yang mempunyai saiz badan yang besar. Bila bergandingan denganku yang kursus melidi...jadi kelakarlah. Lakonan komedi yang diarah oleh rakanku Nasir berjaya menguit hati para pelajar dan guru SMKPM.

Pada minggu pertama persekolahan, bilangan pelajar kelasku terlalu ramai; mencecah 40 orang sekelas. Bila masuk minggu empat dan seterusnya, bilangan beransur-ansur kurang kerana ramai di antara mereka yang telah mendapat tawaran dari U, maktab, pusat pengajian yang lain seperti politeknik dan sebagainya. Daripada bilangan tersebut sekarang hanya tinggal 25 orang sahaja termasuk aku.

di manakah nilainya...

Marah betul ustazah hari ini. Kalau diikutkan hati, dia mahu pulas-pulas telinga pelajar lelaki yang menjawab kurang ajar tu. Tapi dia masih lagi boleh bersabar. Mungkin gelaran dia sebagai seorang guru agama membatasi perlakuannya. Diluahkan perasaan marah itu kepada rakan sejawat termasuk aku. Nak tak nak, terpaksa le aku tadah telinga sekali. Tapi apa yang dikatakan oleh ustazah itu ada benarnya. Ada ke patut... pelajar panggil cikgu dengan panggilan nama. Macam kawan dia aje!! Dah lah tu cikgu-cikgu ni ada gelaran pulak pada mereka. Tak patut betul....!!!

Macam mana lah nak berkat ilmu yang dipelajari, kalau cikgu sendiri tak dihormati. Sebab tu.. bila cikgu habis mengajar sahaja, pelajar dah lupa apa yang telah disampaikan oleh cikgu. Bila tiba waktu nak periksa, baru terhengeh-hengeh mencari cikgu meminta agar ilmu dihalalkan. Betul ke cara tu....???

Cuba kita lihat orang-orang yang berjaya, dulu dan sekarang. Mereka cukup menghormati guru. Mereka belajar cara-cara adat-adat menjadi seorang pelajar. Belajar cara-cara menghormati guru. Cara bercakap dengan cikgunya, tutur katanya, tingkahlakunya, kelakuannya dan macam-macam lagi. Pendek kata, bila berdepan dengan cikgunya, segala-galanya sedap mata memandang!!!

Kata orang alim," walau sehuruf alif, bar, tar disampaikan kepada kita, orang itu kita anggap sebagai cikgu kita."

Begitu tingginya nilai cikgu kepada kita. Bak kata Allahyarham Sasterawan Negara; Usman Awang.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Kita....!!! Sejauh manakah kita menghormati guru. Sebenarnya cikgu ni tak pernah minta balasan dari usaha gigih cikgu memberi ilmu kepada anak didiknya. Malah cikgu akan lebih gembira dan bahagia berbanding dari ibu bapa sekiranya anak didiknya berjaya di dunia dan di akhirat.

Jadi, marilah sama-sama kita menghormati cikgu kita. Semoga ilmu yang kita dapat dari cikgu kita akan kita ingat sampai bila-bila...

Lagi cerita H1N1

Gaya seorang pelajar memakai mask

Negara kita sekarang tengah bergelut dengan sindrom H1N1. Saban hari di dada akhbar menceritakan tentang kadar kematian rakyat negara kita yang semakin meningkat akibat H1N1. Sekolah aku juga tidak terkecuali. Dua hari lepas, heboh satu sekolah tentang ada pelajar yang telah dijangkiti H1N1 ini. Ada yang kata 4 orang pelajar dan ada yang kata sampai 11 orang pelajar. Mana satu yang cerita yang benar pun tak tahu. Terlalu cepat berita ini tersebar. Cerita yang betulnya ialah ada pelajar dari kelas 2B di blok F yang disyaki mempunyai siptom-siptom H1N1. Itu aje!!

Kesan dari penyebaran cerita itu, telah ada pelajar dan guru yang mengambil langkah bijak seperti memakai mask ketika berada di dalam kelas. Aku pun salah seorang dari mereka. Pakai topeng. Tapi tak bertahan lama. Aku sendiri remas dan tak best bila pelajar tak dengar suaraku.

Tapi yang kelakarnya, bila ada pelajar yang malas belajar tu, datang bertanya bila lagi pihak sekolah akan bertindak untuk menutup sekolah. Mereka ini sebenarnya tak tahu prosedur tutup sekolah. Mereka ingat tutup sekolah tu, macam tutup kedai bila tamat waktu niaga. Ini kerana mereka tahu, bila H1N1 melanda sesebuah sekolah..sekolah tersebut akan ditutup.

Dalam suasana kalut tu, ada jugalah suara-suara yang tak best didengar. Antaranya ada cikgu yang tak berani masuk ke kelas 2B, bimbang kot-kot dijangkiti H1N1 ni. Kalau benar cerita itu..janganlah gitu cikgu, tak baik lagu tu.. membiarkan pelajar duduk di kelas tersebut sedangkan kita tak masuk. Apa kata bawa pelajar-pelajar kelas tersebut ke tempat lain. Paling kormang pun, bawa mereka bersidang di bawah pokok. Ada juga manfaatnya. Tak gitu cikgu...!!!

Malah yang paling-paling hot suara yang aku dengar ialah bila ada suara-suara sumbang yang berani mengatakan pengetua tak buat laporan ke JPN. Ini sudah kes naya nie...tuduh tanpa bukti. Kan ! kan !! ada yang kena ni...

Dalam suasana yang diuji begini, kita seharusnya bertenang. Bawa banyak bersabar dan berdoa. Kita berilah kepercayaan dan keyakinan kepada pihak berkenaan untuk bertindak dengan sebaiknya. Tugas kita... kita jalankan seperti biasa. Usahlah kita menuding jari bengkok kita kepada orang lain..



panjat pokok semerte


Tahun 19.. adalah tahun yang cukup getir dalam hidupku. Tahun ini, aku sekali lagi akan menghadapi exam yang cukup penting; SPM. Kali ini aku telah dinaikkan ke kelas sains 1 iaitu kelas 5 Ibnu Sina setelah aku berjaya mendapat tempat 1 dalam exam akhir tahun. Sekelas dengan pelajar-pelajar yang cerdik merupakan satu cabaran buatku. Best Student Alias Ali tentu sukar untuk ditewaskan. Begitu juga dengan Abdul Latif, Rahmah, Aminah, Nora dan ramai lagi. Harap-harap aku sebaris dengan mereka. Tapi... aku kena kerja keras.


Dengan latar belakang keluargaku yang tidak mementingkan pelajaran, sudah tentu aku sukar untuk bersaing dengan mereka. Mereka; bila cikgu suruh beli buku rujukan sahaja..mereka akan beli. Aku..!! Malas benar aku berdepan dengan emak untuk meminta pitis. Aku sudah tahu jawpannya...

Langkah terbaik yang dapat aku ambil ialah dengan berjumpa dengan guru perpustakaan., cikgu Mohd Noor. Mohon kerjasama dia, agar aku boleh dilantik menjadi pengawas perpustakaan. Boleh aku jadikan perpustakaan sebagai rumah keduaku. Tapi, hampa. Menurut cikgu, aku telah dilantik menjadi pengawas sekolah, maka aku tidak boleh lagi dilantik menjadi pengawas perpustakaan. Nak tak nak, aku jadi macam pelajar lain gak, boleh pinjam dua buah buku sahaja dalam masa dua minggu. Untuk mendapatkan buku rujukan tambahan, aku telah mengambil upah dengan memanjat pokok semerte (manggis) dan pokok rambutan jiranku. Jiranku memberi upah RM10.00 untuk setiap bakul besar yang aku kumpul. Dengan duit itu, aku ke bandar untuk membeli buku rujukan kimia dan fizik.


Ujian pertama telah kujawap. Nampak gayanya aku berada dalam senarai 10 orang pelajar terkebelakang. Cikgu Bahasa Melayuku, cikgu Engku Ubaidillah telah meminta aku membuat karangan tambahan selain yang disuruh di dalam kelas. Secara perseorangan aku berjumpa cikgu Engku untuk memeriksanya.


Unit beruniform sekolah


Bermula dari tingkatan 1 lagi, aku tidak memasuki apa-apa persatuan dan badan beruniform. Mak kata mahal untuk beli baju uniform. So, aku buat-buat tak tahu aje setiap kali perjumpaan badan beruniform. Kadang-kadang tu terlintas rasa cemburu dalam hati bila kawanku Si Nasir boleh mencapai peringkat pengakap diraja hasil bimbingan cikgu Sofian. Tapi..aku pujuk hati ini. Aku sedar, baju dan seluar pengawas yang berwarna biru gelpa itupun dari pakaian bander ( terpakai ). Abang keduaku yang tolong belikan. Inikan pula pakaian beruniform. Jangan harap le...


Tapi bila dah tingkatan 5 nie, nak tak nak aku kena masuk persatuan supaya tercatat dalam sijil berhenti sekolah nanti. Aku telah menyertai Persatuan Sains dan Matematik. Aku dilantik menjadi bendahari. Pungut duit pelajar-pelajar nie, cukup mencabar bagiku. Maklumlah aku tak pernah pegang duit banyak-banyak. Bimbang takut tergoda, aku cepat-cepat serahkan duit persatuan kepada cikgu Ahmad Radzi. Sampai sekarang pun aku takut pegang duit banyak-banyak.

Dalam acara sukan pulak, aku paling menonjol dalam acara lari-lari jarak jauh. Acara merentas desa, aku kira jaguh le. Mungkin dari pengalaman aku kejar lembu dan kambing kot. Dalam permainan pulak, aku mewakili sekolah dalam acara bola tampar. Tapi sayang, dalam setiap pertandingan pasukan aku kalah sokmo. Tak tahu kenapa... tak cukup latihan kot. Apapun aku gembira kerana semua itu boleh membuatkan aku lupa tentang masalah keluarga dan masalah belajar..



tersebut kisah 10

Aku tidak lagi seperti dulu. Seorang pemalu, pendiam dan tidak berani untuk menjadi ketua. Ini disebabkan gara-gara aku membaca macam kura-kura. Sekarang aku di tingkatan 4. Aku mula diberi kepercayaan menjadi ketua kelas 4 Ibnu Khaldum. Itupun tak lama, bila aku dilantik menjadi pengawas sekolah. Aku masih ingat lagi bila kali pertama aku naik ke pentas sekolah untuk membaca doa perhimpunan sekolah. Aku melangkah longlai. Kakiku mengeletar. Tubuhku terasa ringan. Suaraku terketar-ketar. Aku tak tahu di mana silapku, bila aku selesai sahaja membaca doa, cikgu Nasir menepuk bahuku . Dia kata aku menangis ketika membaca doa. Biar betul. Sebenarnya aku takut. Sebab tu, suara aku bergetar dan putus-putus. Bila tamat waktu perhimpunan, aku dikerumuni oleh member-member, kutuk aku sebab aku baca doa sambil menangis. Kata mereka, ada di antara pelajar yang turut terisak-isak semasa aku membaca doa . Aku tak beritahu mereka yang sebenarnya aku takut naik pentas. Sejak itu, telah menjadi tugas rasmiku membaca doa waktu pagi dan waktu perhimpunan sekolah.
Walaupun aku menjadi pengawas sekolah, aku masih lagi membuat aktiviti lompat pagar sekolah bila tiba waktu rehat. Macam aku ceritakan sebelum ini, aku lompat pagar sekolah kerana balik ke rumah untuk makan dan minum. Emak aku tidak pernah memberi pitis belanja di sekolah. Aktiviti ini aku teruskan sehinggalah suatu hari aku ditangkap oleh Penolong Kanan 1 sekolahku, cikgu Daud. Dia tidak marah apabila aku terangkan kedudukan yang sebenarnya. Dia menasihatiku supaya menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lain. Bermula hari itu, aku tidak lagi lompat pagar sekolah pada waktu rehat. Sebaliknya setiap kali loceng rehat berbunyi aku akan 'menziarahi' perpustakaan sekolahku.
****************************
Di dalam kelas, aku dikira terror dalam subjek mata matematik tambahan. Cikgu yang mengajar subjek add math ini ialah seorang guru yang telah didatangkan khas dari Indonesia. Kami memanggilnya dengan pangilan 'Pak'. Bila cikgu ini masuk ke kelas; ketua kelas akan berdiri dan memberi salam,"Assalamualaikum Pak." Cikgu 'Pak' ini memang terkenal di sekolah kami. Bila dia menjerit,.. satu bangunan akan dengar. Cikgu 'Pak ' ini amat gemar meminta pelajar-pelajarnya menyelesaikan masalah latihan add math ni di papan hitam. Jadi, bila tiba waktu cikgu 'Pak' ini masuk ke kelas kami, maka rakan-rakanku akan cepat-cepat mengerumuniku untuk menyiapkan kerja sekolah yang telah diberikan. Bangga gak aku 10 sen, bila aku dijadikan bahan rujukan. Tapi yang paling kesiannya ialah bila tiba rakanku Zaidi disuruh oleh cikgu 'Pak' membuat latihan di papan hitam. Terketar-ketar tangan dia. Sampaikan boleh dengar bunyi kapur yang terhantuk kat papan hitam tu. Bila silap sahaja, terdengarlah perkataan yang paling popular yang selalu digunapakai oleh cikgu 'Pak' . "terketar-ketar macam kuda! Memalukan Kampung Banggol Peradong saja." ( sila baca ikut nada orang indonesia). Kebetulan kawanku Zaidi berasal dari kampung tersebut. Malah ada kawan-kawanku yang mengambil jalan mudah ponteng kelas bila tiba waktu add math ini. Lebih-lebih lagi bila homework tidak siap. Kesian...
Dalam kelas aku ini ada seorang pelajar perempuan yang sering mendahuluiku. Zaindun namanya. Kalau dalam ujian, sama ada dia dapat nombor 1 dan aku nombor 2. Kadang-kadang tu aku dapat nombor 1 , dia dapat nombor dua. Begitulah silih berlumba. Pernah satu hari aku didenda oleh cikgu Sulong gara-gara aku ingin mendahului dia. Ada ke patut asyik dia aje yang angkat tangan bila soalan dikemukakan oleh cikgu Sulong. Apa lagi, sekali tu.. bila cikgu Sulong soal aje, aku terus angkat tangan. "ehm.. Harun, apakah maksud perkataan polisi", ulang cikgu Sulong . Aku bangun dan jawab,"tak tahu cikgu!." Satu kelas gelakkan aku. Cikgu Sulong panggil aku ke hadapan kelas dan mendenda aku berlari satu bangunan kelas yang aku duduk itu dalam masa 1 minit. Boleh bayangkan, kelas aku di tingkat 2. Aku gagal. Denda tambahan, aku diminta oleh cikgu Sulong menghantar buku-buku latihan di atas meja guru ke bilik guru. Aduh, letihnya aku!

tersebut kisah 9

Keputusan exam SRP telah diumumkan. Aku berjaya. Yaa.. beda biduu.. aku menjerit sekuat hati tetapi di dalam hati. Aku berlari dengan lajunya melalui belukar kecil di belakang sekolah untuk cepat sampai ke rumahku. Ingin aku tunjukkan kepada ayah dan emak tentang kejayaanku. Tapi...hampa!!! ayah buat dono aje. Tidak nampak kesungguhan menyambut kejayaanku. Terasa kecil hati, tapi siapa aku untuk berhak berkecil hati dengan ayah. Aku hanya seorang anak. Pun begitu aku mencipta sejarah dalam keluarga; menjadi orang yang pertama lulus dalam exam ini. Malah berjaya untuk memasuki aliran sains tulen seperti yang aku harap-harapkan selama ini.

TINGKATAN 4

Berada di tingkatan 4 aliran sains tulen amat memeritkan. Banyak buku latihan yang diperlukan. Sudah ramai rakan sekelasku yang telah membeli buku rujukan biologi daripada cikgu Rahmah. Malah telah ramai juga yang telah menjelaskan harga buku tersebut. Aku...! masih lagi memanjangkan leher macam zirafah setiap kali berkongsi buku rujukan kawan. Bukan buku rujukan biologi sahaja, malah buku kimia, fizik dan matematik tambahan begitu juga. Akhirnya dalam kelas 4 Ibnu Khaldum itu, hanya aku seorang sahaja yang tidak mempunyai buku-buku rujukan. Nasibku baik kerana semua cikgu faham tentang keadaanku. Ada di antara mereka, cikgu yang baik hati mendahulukan memberi buku-buku rujukan tersebut biarpun mereka tahu aku tidak mampu untuk membayarnya. (sampai sesaat ini pun aku masih lagi tidak membayar harga buku-buku tersebut. Aku pernah juga aku jumpa cikgu-cikgu ini. Bila aku ingin membayarnya, mereka tanya aku kerja apa. Aku kata aku cikgu. Langsung mereka kata halal dan tak payah bayar).

Aku pernah meminta pitis daripada emak untuk membayar buku-buku tersebut. Tapi... emak seakan tidak memahaminya. Membiarkan permintaanku itu dituip angin petang. Aku tahu emak ada pitis. Tapi... tidak perlulah aku ceritakan keburukan emak aku. Cukuplah aku katakan emak aku tidak memahami apa yang diperlukan oleh seorang pelajar. Aku dan abangku pernah menangis meminta pitis hanya 30 sen untuk membeli buku tulis. Aku masih ingat lagi dialog itu:-

Aku : mak...., minta pitis 30 sen, nak beli buku tulis

Mak : Aik, mering baru v 30 sen wat beli buku tulis. Ari ni mintak lagi.

Aku : mering buku tulis geografi mak, ari ni buku tulis matematik.


Mak diam. Bangun. Meninggalkan aku tanpa memberi keputusan. Aku termanggu. Mengharapkan emak datang dan menghulurkan pitis. Hampa..!!! biarkan permintaanku ditiup angin petang lagi.

Aku mula kreatif memikirkan cara mengatasi masalah buku tulis. Mulalah sebuah buku tulis ku bahagi kepada dua bahagian. Bahagian muka surat 1 hingga ke tengah, aku tulis subjek geogafi dan dari muka surat tengah hingga ke akhir tulis subjek pendidikan Agama Islam. Bila cikgu suruh hantar buku-buku tersebut, aku rekalah dengan seribu alasan. Tertinggal kat rumahlah, tak siap latihan lah dan macam-macam lagi. Yang paling tak logiknya aku reka alasan buku basah terjatuh ke dalam parit semasa pulang dari sekolah. Terkadang tu, berbirat juga tapak tanganku dirotan cikgu bila alasanku tak diterima.


KENANGAN MANIS


Aku masih ingat lagi, pada pertengahan bulan 6, sekolahku ada menerima beberapa orang cikgu praktikum dari Universiti Teknologi Malaysia. Salah seorang daripada mereka iatu cikgu Rozita mengajar di kelasku dalam mata pelajaran matematik moden. Berasal daripada Johor. Dia seorang cikgu yang manja, berlemah lembut, cantik dan pandai mengambil hati pelajar-pelajar kelasku. Ramai pelajar yang sukakan dia. Termasuk aku. Kerana minat kepada cikgu Rozita punya pasal, aku dan beberapa rakanku mula mencari beberapa soalan matematik dan dengan sengajanya mencari cikgu Rozita untuk menyelesaikannya. Pernah dalam satu ujian matematik , aku mendapat markah penuh 100%. Aku sendiri tak percaya.!! Cikgu Rozita telah menghadiahkan aku sebuah penanda buku yang berlatar belakangkan Universiti Teknologi Malaysia. Bangganya aku!!!.





2009- banyak kisah sedih

Belum pun reda dengan kisah kemalangan jalan raya keluargaku baru-baru ini, hari ini anak saudara aku pulak yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. Apa nak jadi le!! Anak saudaraku Eizat Syamir namanya. Dia baru turun dari kelas tuisyen kat kampung, tiba-tiba datang sebuah kereta kancil dengan perlahannya melanggar anak sedaraku itu. Dia terjatuh dan pengsan. Nasib sentiasa bernasib baik... giliranku yang ambil anak-anak dari pusat tuisyen tersebut. Aku cepat-cepat menghantarnya ke unit kecemasan klinik berhampiran dengan kampung ku.

Pegawai kesihatan yang bertugas mencadangkan supaya anak sedaraku dihantar ke Hospital Sultanah Zahirah Kuala Terengganu. Dia di x-ray di kepala dan dimasukkan ke wad. Syukur kepada Allah setelah dijaga dan diteliti oleh doktor yang bertugas, anak sedaraku dibenarkan pulang ke rumah dengan diberi cuti 10 hari.

Dalam masa yang sama, kereta unser baruku pula meragam dan buat hal. Bateri kondem. Sabau aje le...memang tahun ini banyak musibah yang melanda dalam keluargaku. Apapun aku tetap bersyukur kepada Allah kerana setiap kejadian sudah tentu ada rahmatNya yang tersembunyi. Ya Allah.... tabahkan hatiku.

tersebut kisah 8

Tahun ini adalah tahun yang paling penting dalam hidupku. Tahun inilah yang akan menentukan berbezanya aku dengan abang-abangku. Mereka telah gagal tahap ini. Adakah aku akan meneruskan tradisi keluarga. Gagal juga. Tidak. Aku mohon pada Allah moga aku akan berjaya.

Tahun ini aku menghadapi peperiksaan SRP. Kalau sekarang dikira sama taraf dengan PMR. Ini bermakna aku kena pergi sekolah pada sesi pagi. Bangun awal pagi tidak menjadi masalah padaku. Ini kerana sebelum ini aku telah dididik oleh ayah untuk bangun awal-awal. Kalau lewat, pasti mukaku akan dijerus sebaldi air oleh ayah. Bila bersekolah pagi; automatik tugas-tugas lamaku seperti keluarkan lembu kambing dari kandang diambil alih oleh kakakku yang tidak bersekolah. Kesian kakakku. Apa boleh buat, aku terpaksa menahan perasaan itu. Tapi hujung minggu aku akan cover balik kerja-kerja kakakku.

Aku berada di kelas 3 Jati. Guru kelasku seorang cikgu perempuan; cikgu Norizan. Berasal dari negeri Kedah kerana loghah bahasa yang pekat bahasa orang Kedah. Cikgu Norizan mengajarku mata pelajaran Sains Pertanian. Tahun ini, aku telah lancar membaca. Cuma mata pelajaran yang paling aku benci Bahasa Inggeris sahaja yang out terus. Tak tahulah kenapa aku benci dan teramat benci kepada pelajaran tersebut. Mungkin pengalaman semasa di sekolah rendah yang membuat aku jadi begitu. ( baca cerita tersebut kisah 1 dan 6).

**************

Telah masuk hari kedua aku menduduki peperiksaan SRP. Hari ini tiba pula mata pelajaran Bahasa Inggeris. Bencinya aku!! Kan best jika mata pelajaran ini tiada terus dalam sukatan. Dalam dewan peperiksaan, aku macam ayam digigit semut. Resah. Gelisah! Boring! Tak tahu nak buat apa selain aku conteng kertas soalan dengan lukisan kartun popeye. Terasa jam di dinding berhenti bergerak. "Bateri jem barangkali," bisikku. Aku lihat di sebelah kiriku, member sekelasku, Azmi duk asyik menulis karangan BI. Lepas satu, satu kertas kajang ditulisnya. Ada juga kertas kajang yang digumpal dan dikoyok lalu dibuang ke dalam tong sampah berhampiran dengannya.
Aku melompat tanpa sedar, bila pengawas peperiksaan beritahu masa exam dah tamat. Aaah ..lega! Aku cepat-cepat ke tong sampah, ambil kertas kajang yang kawanku Azmi koyok tadi. Laa.. patut pun dia best sakan tulis, rupa-rupanya

.....yesteday, i dan keluarga i going to berkelah di tepi beach. we going at 8.a.m. we bring the kuih muih and baju mandi.....

kah!kah!kah!.. aku ketawa sendirian. Kalau lagu ni, aku pun reti tulis. Bodohnya aku hantar kertas kajang kosong. Siapa yang lebih bodoh. Aku lagi....








LinkWithin

Related Posts with Thumbnails