keluduk


Keluduk!!! Tentu kalian tertanya-tanya kepada aku pilih keluduk sebagai ‘blog name’ aku. Sebenarnya keluduk panggilan orang Negeri Terengganu seperti aku adalah sejenis pokok kayu renek yang dikenali sebagai pokok senduduk. Mempunyai daun yang bersaiz kecil seperti daun pokok lada besar yang berwarna hijau. Bunganya berwarna ungu muda dan ada juga yang berwarna putih; bergantung kepada jenis pokok keluduk itu.
Masa aku aku kecil dahulu, aku seringkali guna daun keluduk ini sebagai ubat untuk menghentikan darah luka dari mengalir. Daunnya dimamah ( dikunyah ) hingga separuh hancur dan kemudiannya diletakkan di tempat luka tersebut. Insya-Allah darah akan berhenti mengalir. Aku juga biasa ambil buahnya untuk dijadikan peluru pistol buluh cina. Kalau kena pada baju ‘musuh’ku ( dalam permainan perang-perang- kalau sekarang macam ‘paintball’ akan nampak jelas warna ungu di bajunya. Teringat pada Laila anak perempuan jiranku dulu, dia kumpul setempurung buah keluduk yang baru nak berkembang menjadi bunga untuk dijadikan‘gincu’ dalam permainan pondok-pondok. Ungu kehitaman bibirnya di ‘gincu’kan dek buah keluduk. Biasanya dia memegang watak menjadi isteriku. (Di mana kau sekarang Laila??).
Di belakang rumah ayahku banyak terdapat pokok keluduk ini. Biasanya bila ayah hendak mula menanam timun, disuruhnya aku menebas sebanyak mungkin pokok keluduk ini. Pokok keluduk yang telah ditebas ini dibiarkan beberapa hari supaya daun-daunnya menjadi kering dan kemudian gugur dari ranting-rantingnya. Pokok keluduk yang hanya tinggal ranting-ranting ini akan digunakan sebagai junjung bagi pokok timun ini. Terkadang tu, ayah aku juga menyalahgunakan pokok ini. Ada ke patut dilibasnya aku dengan pokok keluduk ini bila aku balik lewat ( waktu garibh- senja hampir gelap) ke rumah. Tapi aku tahu niatnya baik, kerana menurut ayah aku burung pun balik ke sarang pada waktu garibh.
Masa aku mula-mula berjinak-jinak dengan perasaan cinta dulu, (mula ada kekasihlah) aku pernah memberikan sekuntum bunga keluduk buat kekasihku. Nasib baik dia terima; aku tahu sepatutnya aku hadiahkan sejambak bunga ros ke, sekuntum bunga mawar ke atau bunga-bunga lain yang sewaktu dengannya. Tapi itu aje yang aku mampu waktu itu. Yang pasti pemberianku itu adalah ikhlas dari lubuk hatiku. Mungkin kerana berkat bunga keluduk inilah, maka kekasihku itu telah menjadi isteriku hingga kini. Terima kasih bunga keluduk.

1 comment:

Anonymous said...

.....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails