keinsafan membawa berkat

Enter your search terms Submit search form
Web HarakahDaily


Selasa 26 Mei 2009 | 1 Jamadil Akhir 1430 Hijrah
Terima kasih Cikgu kerana 'selamatkan' saya...
Azamin Amin
Mon | May 18, 09 | 2:35:19 pm MYT
Masih belum terlewat untuk menitipkan sebaris kalimah yang tidak mungkin boleh membalas budi baik, niat ikhlas dan sakit pening mendidik, menggilap dan mengasah susuk tubuh ini agar menjadi 'manusia'. Terima kasih Cikgu. Iklan



Izinkan saya mencoret secubit kisah, pengorbanan guru...

Ya, bagaimana mungkin sebilangan besar guru-guru di sebuah sekolah asrama di Perak akan melupakan seorang pelajar tingkatan dua tahun 1989, yang lari daripada sekolah di waktu malam, menaiki keretapi lalu ke utara tanah air tanpa diketahui oleh sesiapa.

Gamat satu sekolah keesokannya. Namun kisah 'fugitive' itu tidak bertahan lama. Dua hari selepas itu saya berjaya 'ditangkap'.

Tidak mungkin juga, mana-mana guru dapat menghilangkan wajah seorang Azamin yang terpaksa berdiri di hadapan ratusan pelajar pada hari perhimpunan Jumaat, kerana melanggar displin sekolah.

Digelar oleh guru displin sebagai P1 (Penjenayah, penjahat, perosak dan pelbagai perkataan P yang menunjukkan akhlak saya tidak elok).

Bukan sekali langgar. Acap kali. Antaranya bertumbuk, bergaduh, pecah almari makmal, bawa 'lari' sebuah TV asrama ke bilik gerakan sekolah semata-mata untuk menonton video, meronda-ronda ke Asrama Puteri lewat malam dan aneka macam kelaku yang cukup memalukan.

Seringkali mata memandang serong apabila saya menuju ke bilik pengetua sekolah untuk menjalani hukuman sebatan rotan yang cukup menyakitkan. Lebih mengaibkan, ayahanda terpaksa datang sebab saya digantung selama seminggu kerana mencederakan pelajar.

Senarai panjang salah laku, tidak mungkin dapat memenuhi coretan ini. Cukup secebis, tanda pengakuan salah sebagai pengajaran yang bermakna dalam hidup. Saat itu, umpama sudah ada 'sayap untuk terbang'. Terlalu angkuh, padahal hijau lagi akal budi.

Cumanya... paling menyayat hati dan tersentuh jiwa, walau setinggi mana gumpalan noda dan dosa, biar melangit saya melompat, dan tersungkur ke bumi sekalipun, guru-guru sekolah tidak pernah 'membuang' ataupun 'menyisih' saya.

Malah ketika saya 'jatuh', mereka mengutip saya, mengangkat lalu menjulang semula ke atas. Tanpa serik, saya kembali 'liar' melonjak ke sana ke mari mencabar jiwa naluri seorang guru.

Setelah lama, saya 'jatuh' terperusuk lagi. Sepi, sakit dan berdarah. Guru-guru, sekali lagi memapah, memeluk dan menyelamatkan saya sambil membasahkan bibir dengan kalimah kata-kata hikmat dan azimat. Tanpa peduli, siapa saya yang dikenali cukup bermasalah.

Tidak putus-putus, seorang demi seorang menasihati saya. Baik guru lelaki mahupun perempuan. Baik yang beragama Islam mahupun bukan. Tanpa kecuali guru kaunseling, silih berganti, menjadikan saya sebagai subjek bermasalah yang perlu ditangani dengan segera.

Selama setahun lebih guru-guru memulih dan menenangkan 'pemberontakan' saya.

Bayangkan tanpa ayah ibu di depan mata, guru-guru menjadi keluarga pengganti diri. Jika tidak sabar, sudah pasti tidak ada sekelumit nurani pun yang berhajat untuk membimbing saya ketika itu. Tanpa jemu, guru-guru terus memberi semangat juang yang tinggi untuk menjadikan saya, seorang pelajar yang baik.

Tahun 1990, terbit rasa insaf. Berjurai air mata tatkala mendengar kalimah tajam menusuk jiwa daripada guru-guru saya.

"Awak terlalu matang untuk membuat kerja-kerja bodoh ini. Seorang pemimpin, bukan begini kelakuannya.," nasihat seorang guru perempuan kepada saya yang ketika itu berada di tingkatan tiga.

"Azamin, cara awak berkata-kata, bercerita menunjukkan tahap pemikiran yang sama sekali berbeza dengan sifat yang awak tunjukkan selama ini. Berubahlah, disebalik keburukan pasti ada cebis kebaikan awak," kata seorang guru kaunseling sambil menitiskan air mata.

Walaupun tercatat nama dalam buku hitam dispilin sekolah termasuk satu rekod di Balai Polis Ipoh kerana lari sekolah, saya 'bangkit' semula atas usaha jerit pedih cikgu-cikgu mendidik saya.

Ya...bukan senang menjadi guru. Siang malam bergelumang dengan karenah dan ragam pelajar yang kini cukup dasyat, menyeramkan dan meloyakan.

Saya, antara bukti yang masih hidup. Betapa payahnya, guru-guru melentur saya, namun akhirnya berjaya jua.

Berapa ramai guru di seluruh negara, secara 'tidak sengaja' dan tanpa niat telah melahirkan beratus-ratus malah ribuan 'binatang' di luar sana. Perompak, perogol, penjenayah, penagih dan pembunuh yang asalnya juga daripada suci perut ibu mengandung, juga asalnya seorang pelajar sekolah. Pasti mengecewakan. Namun itu bukan salah cikgu.

Alhamdullilah, saya terselamat kerana guru-guru saya sempat dan cepat. Calar-balar dan lebam di tubuh serta tempeleng dan jerkahan guru menjadikan saya sedar kesilapan yang dilakukan.

Jika tidak, entah di kolong manalah saya melabuhkan lena, entah di longkang manalah saya terjaga. Lorong hitam manalah saya berkelana dan mungkin perginya tanpa nama, atau lebih pedih dihina.

Jikalau badan saya tidak berbirat dan tiada pekikan guru menerjah telinga saya, sudah pasti saya tidak berada di sini.

Mungkin tidak ada sesuatu pun boleh dibanggakan oleh guru-guru terhadap saya. Namun sejahat mana sekali pun saya, seteruk mana libasan guru ke tubuh saya, sekuat mana tempikan guru kepada saya...saya tidak pernah melawan guru.

Jauh sekali untuk mencalarkan kereta atau memancitkan tayar kereta cikgu atau mengajak cikgu 'bertempur' di luar sekolah. Biar apapun, dua jenis manusia yang tetap saya hormati sepanjang hayat...'ayah ibu dan guruku'.

Mungkin guru-guru saya, di sekolah, di kolej atau di pondok pasti akan bersyukur dan merasa sungguh bangga apabila sebilangan besar anak-anak didik mereka telah menggapai 'bintang'.

Yang menjadi doktor, peguam, jurutera, pendidik, usahawan, pemimpin politik dan berada di puncak pasti akan menyejukkan hati guru-guru saya.

Cuma tentang diri saya... adakah guru -guru bersyukur dan rasa penat-lelah mereka berbalas apabila saya berada 'di sini', di lingkungan oposisi?

Hajat di hati, ingin saya merakamkan nama-nama guru saya di coretan ini namun rasa tidak sampai hati dan tidak tergamak, mana tahu bakal 'terpalit lumpur' di sebabkan oleh saya, maklumlah saya di berada 'di sini'.

Saya begitu berbesar hati untuk membariskan senarai semua guru-guru yang telah 'menyelamatkan' saya selama ini, namun hati kecil penuh sayu terpaksa membatalkan hasrat kerana tidak mahu menyusahkan cikgu di kemudian hari.

Walau apapun tanggapan dan sangkaan, saya tetap menyanjung cikgu kerana telah 'menyelamatkan' saya dan kini saya berada 'di sini', memperjuangkan apa yang saya percayai...

Sebelum mata tertutup rapi atas kesalahan saya selama ini, saya mohon ampun dan maaf atas segala tutur-kata dan gerak-gaya yang menyinggung dan mengusik hati cikgu yang cukup baik terhadap saya. Moga sudi teruskan mendoakan saya bersama perjuangan ini.


Muridmu suka mencabar hati,
Asyik melawan, langgar arahan.
Budi baik guruku sejati,
Jasamu kutebus di depan tuhan.


"TERIMA KASIH, KASIH DIJULANG...SELAMAT HARI GURU." - azm

Tersebut sebuah kisah

Masa aku jadi budak
Aku mula bersekolah di darjah satu di sebuah sekolah di daerah kelahiranku iaitu Sekolah Kebangsaan Belara. Hari ini sekolah tersebut telah bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Pulau Bahagia semperna nama kampung baru yang turut bertukar dari nama kampung Pulau Babi kepada Kampung Pulau Bahagia. Menurut kata ayahku, di kampung tersebut terdapat beberapa keluarga cina yang kebetulan kampung tersebut terdapat ramai babi liar.
Hari pertama persekolahan, emak masih lagi menemaniku, maklumlah aku anak bongsu dari tujuh orang adik beradik. Bila kelibat emak tidak kelihatan sahaja; aku terus menangis. Puas cikgu Latif memujukku. Emak mengambil masa selama dua bulan untuk berada bersamaku di sekolah. Bila difikirkan sekarang, teruknya aku ketika itu. Sebenarnya aku mempunyai sikap yang terlalu merendah diri. Kesannya sampai sekarang aku masih ada sifat tersebut. Maklumlah aku ketika itu bercakap pelat. Terlalu pelat... sehinggakan aku hendak menyebut nama sendiri pun orang lain tidak faham dan bertanya acapkali. Ditambah pula, aku tidak ada rambut di atas kepala. Botak!!! Bukan kerana penyakit tetapi aku tidak boleh ada rambut, bila ada rambut sahaja aku akan demam dan selsema berpanjangan. Itu semua adalah takdir tuhan. Sampai sekarang pun aku masih kekal dengan rambut nombor satu. Selain itu, aku terlalu takut kepada seorang guru perempuan. Cikgu Bahasa Inggeris. Aku masih ingat lagi namanya; cikgu Zaharah. Kenangan yang paling aku tak lupa ialah bila dia memukulku dengan pembaris makmal yang panjangnya lebih kurang satu meter, lebarnya 7 sentimeter. Patah dua pembaris tersebut. Kuingat lagi apabila dia meminta aku membaca tulisan yang ditulis di bawah gambar cawan yang dilukisnya.
“Harun, what is this?”. Suaranya yang garang menerjah ke telingaku. “this is...eerm,eeerm, eermmm.” Sambil aku mengaru kepala yang tak gatal. ‘Prakk..’ Terasa perit dan berbahang di belakangku. Apa yang kulihat pembaris ditangannya patah dua. Semua mata kawanku tertumpu ke arahku. Ada genangan air di kelopak mataku. Aku pejam; membiarkan air mata tertumpah di pipi. Sepantas kilat juga kusapu air jernih itu dengan telapak tangan kiriku. Dalam hati, tuhan sahaja yang tahu betap aku takut dan benci cikgu Zaharah. Aku benci cigku..!!!
Tiga faktor inilah yang telah menyebabkan aku ‘tenggelam timbul” pergi sekolah. Darjah satu berlalu meninggalkan tahun. Menjenguk lagi tahun baru, darjah dua. Masuk darjah dua sehari, aku masih lagi tidak pandai membaca, hanya reti membaca suku kata KVKV seperti S U S U, T A L I dan sewaktu dengannya. Masuk hari kedua, ketiga dan seterusnya aku tidak pergi lagi ke sekolah. Aku nekad tidak mahu bersekolah lagi. Jenuh mak ayah dan guru memujuk aku. Aku buat tidak peduli. Walaupun kadang-kadang perit juga belakangku dilibas ayah dengan lidi penyapu. Ketika itu aku lebih rela menolong ayah di sawah. Aku sanggup bangun pagi, potong rumput untuk makanan kerbau dan lembu ayah. Biarlah badanku penuh dengan kotoran selut, darah lintah daripada menahan kutukan kawan-kawan di sekolah. Masih termiang ditelingaku bila kawan-kawan memanggil aku dengan gelaran “botak Chin”.( kerana kepalaku botak, botak chin adalah gelaran kepada seorang penjenayah terkenal pada era 1978 kerana merompak bank). Bila aku di kelas sahaja, kawan-kawan akan: “yea yea, botak chin datang! Botak chin datang! Botak chin datang!”...

keluduk


Keluduk!!! Tentu kalian tertanya-tanya kepada aku pilih keluduk sebagai ‘blog name’ aku. Sebenarnya keluduk panggilan orang Negeri Terengganu seperti aku adalah sejenis pokok kayu renek yang dikenali sebagai pokok senduduk. Mempunyai daun yang bersaiz kecil seperti daun pokok lada besar yang berwarna hijau. Bunganya berwarna ungu muda dan ada juga yang berwarna putih; bergantung kepada jenis pokok keluduk itu.
Masa aku aku kecil dahulu, aku seringkali guna daun keluduk ini sebagai ubat untuk menghentikan darah luka dari mengalir. Daunnya dimamah ( dikunyah ) hingga separuh hancur dan kemudiannya diletakkan di tempat luka tersebut. Insya-Allah darah akan berhenti mengalir. Aku juga biasa ambil buahnya untuk dijadikan peluru pistol buluh cina. Kalau kena pada baju ‘musuh’ku ( dalam permainan perang-perang- kalau sekarang macam ‘paintball’ akan nampak jelas warna ungu di bajunya. Teringat pada Laila anak perempuan jiranku dulu, dia kumpul setempurung buah keluduk yang baru nak berkembang menjadi bunga untuk dijadikan‘gincu’ dalam permainan pondok-pondok. Ungu kehitaman bibirnya di ‘gincu’kan dek buah keluduk. Biasanya dia memegang watak menjadi isteriku. (Di mana kau sekarang Laila??).
Di belakang rumah ayahku banyak terdapat pokok keluduk ini. Biasanya bila ayah hendak mula menanam timun, disuruhnya aku menebas sebanyak mungkin pokok keluduk ini. Pokok keluduk yang telah ditebas ini dibiarkan beberapa hari supaya daun-daunnya menjadi kering dan kemudian gugur dari ranting-rantingnya. Pokok keluduk yang hanya tinggal ranting-ranting ini akan digunakan sebagai junjung bagi pokok timun ini. Terkadang tu, ayah aku juga menyalahgunakan pokok ini. Ada ke patut dilibasnya aku dengan pokok keluduk ini bila aku balik lewat ( waktu garibh- senja hampir gelap) ke rumah. Tapi aku tahu niatnya baik, kerana menurut ayah aku burung pun balik ke sarang pada waktu garibh.
Masa aku mula-mula berjinak-jinak dengan perasaan cinta dulu, (mula ada kekasihlah) aku pernah memberikan sekuntum bunga keluduk buat kekasihku. Nasib baik dia terima; aku tahu sepatutnya aku hadiahkan sejambak bunga ros ke, sekuntum bunga mawar ke atau bunga-bunga lain yang sewaktu dengannya. Tapi itu aje yang aku mampu waktu itu. Yang pasti pemberianku itu adalah ikhlas dari lubuk hatiku. Mungkin kerana berkat bunga keluduk inilah, maka kekasihku itu telah menjadi isteriku hingga kini. Terima kasih bunga keluduk.

Hala hidup

Berita-berita di akhbar kebelakang ini begitu ghairah memaparkan tentang kedurjanaan peragut yang menyebabkan kematiaan mangsanya.Sama ada berita-berita itu sengaja disensasikan begitu rupa sehingga masyarakat menjadi begitu 'meluat, benci dan sakit hati' kepada peragut, sehingga kita lupa kepada pokok asal kejadian. Bila membicarakan isu seperti ini tidak dapat tidak kita terpaksa bercakap tentang keadaan negara kita.Tahap Keselamatan negara kita sekarang semakin menuju ke tahap begitu merosot. Saya masih ingat ketika saya kecil-kecil dulu, saya bersama the geng begitu bebas berjalan ke sana kemari, mandi sungai, bermain di padang-padang permainan tanpa memikirkan soal keselamatan. Ayah emak pun tidak risau. Sampai masa balik rumah. Kami dapat mencari kemahiran kendiri seperti panjat pokok, berenang di sungai, menaiki basikal, menangkap ikan di sawah padi dan macam-macam lagi. Selamatnya waktu itu!!Kini, anak-anak sentiasa diawasi. Ibu bapa dipaparkan tentang keruntuhan sosial yang melampau; kanak-kanak dirogol, ibu hamil mati diragut dan banyak lagi keruntuhan sosial yang diceritakan.
Tahap keselamatan negara mula dipersoal. Masyarakat lagi tidak berada dalam suasana selesa. Pemimpin-pemimpin negara mula berbicara isu-isu ini hingga berbuih mulut...tapi perlaksanaan hampeh!!! Mereka tidak ikhlas untuk menyelesaikannya melainkan untuk menaikkan nama dan menjaga perut nasi mereka.
Memang ada usaha-usaha yang dilakukan ke arah mengurangkan gejala-gejala tersebut, namum usaha itu belum cukup untuk menyakinkan rakyat tentang tahap keselamatn mereka. Ini kerana seiring usaha-usaha tersebut, masih berlambak-lambak dan bertimbun-timbun rancangan-rancangan ke arah keruntuhan sosial itu. Tidak perlu saya senaraikan rancangan-rancangan tersebut kerana pembaca sendiri sedia maklum. OLeh itu jom kita bersama-sama berusaha mengurangkan gejala itu berterusan dengan cara:-




    • Kurangkan menuding jari ke arah orang lain bila perkara-perkara seperti ini berlaku.( ini mungkin termasuk saya)


    • Berusaha meningkatkan ilmu sebanyak mungkin. Kerana dengan ilmu sahaja kita dapat 'cahaya' dalam kegelapan dunia ini. "Untuk mendapat kebahagiaan dunia dengan ilmu, untuk dapat kebahagian akhirat pun dengan ilmu. Untuk dapat kedua-duanya, dunia dan akhirat pun dengan ilmu"
    • Didik, bimbing, tunjuk ajar keluarga kita supaya seperti ikan dilaut yang tidak dipengaruhi oleh air masin. Bila dimasak perlu ditaruh garam. HEbat cipta Allah.
    • Perlu sentiasa memperkasakan akal budi- pinjam kata-kata Allahyaham Dato'Razali Ismail.
    • dan banyak lagilah yang difikirkan sesuai. Bacaan selalu Al-Quran

Cukupkah cinta dengan ayat power


ketika tulisan ini ditulis, saya sedang berbual-bual dengan seorang remaja ( berusia dalam lingkungan 18 tahun ) di telefon yang tengah asyik bercerita tentang pakwenya. Katanya dia begitu yakin dan percaya yang pakwe jujur dalam percintaan. Saya tanya kepada remaja ini, apakah buktinya. Katanya sudah cukup dengan ayat-ayat cinta yang power. Saya bertanya lagi, apakah tujuan percintaan anda. Adakah percintaan anda ini merupakan jalan awal menuju ke arah perkahwinan. Jawabnya tidak!!So, kenapa bercinta???

Itulah sebahagaian daripada perjalanan hidup remaja. Mungkin ramai remaja di luar sana yang serupa dan senasib dengan remaja ini. Bercinta tapi tidak tahu matlamat cinta. Wahai adik-adik remaja sekelian, cinta remaja itu umpama bunga-bunga indah yang sedang mekar di tepi-tepi kiri dan kanan jalan yang sedang anda lalui. Kutip bunga indah di kiri, terasa bunga-bunga di sebelah kanan jalan lebih menarik. Ambil bunga di sebelah kanan, teruja pula ingin memiliki bunga di sebelah kiri jalan. Begitulah seterusnya...Tiada yang kekal pilihannya.

Saban waktu kita mendengar berita dan cerita tentang kehanyutan' remaja dalam glamour cintanya. Si lelaki biasanya akan meminta si gadis membuktikan keutuhan cinta mereka; yang akhirnya si gadis menyerahkan mahkota yang diidamkan oleh lelaki. Awas remaja!!! Bukan sekarang anda bercinta. Perjalanan hidup anda masih lagi terlalu jauh. Timbalah pengalaman sepanjang perjalanan hidup itu. Utama hasrat keluarga anda terutama ibubapa seperti mahu melihat anda berjaya dalam hidup. Masuk U, kerja dan baru bercinta dan seterusnya berkahwin.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails