esok... mungkin hariku

Semalam aku menziarahi seorang kawan lama ayah yang terlantar sakit di rumahnya. Abang Mat kelihatan kursus melidi di perbaringan. Di bahagian tepi katil di sudut sebelah kanan di atas meja kecil berpusing lembut kipas angin ke arah mukanya. Penyakit strok yang menyerang sebelah kanan badannya membuatkan abang mat tidak dapat bergerak. Badannya yang dulu gemuk kini hanya tinggal tulang. Kalau tidak kerana adanya kulit sudah pasti sudah kelihatan tulang rangkanya. Salamku dijawab dengan kerdipan mata sambil jari jemarinya menunjukkan di kerongkongnya. Aku melihat di leher terdapat balutan kain kasa. Menurut isterinya, abang Mat terpaksa di bedah di kerongkongnya kerana tidak mampu menelan. Satu tiub plastik tersumbat di hidung sebagai saluran makanan cecairnya.

Ditemani seorang isteri yang setia, yang juga mengalami sakit darah tinggi dan juga penyakit kencing manis dapat juga menjadi pengubat luka abang Mat. Semasa aku berada di hujung katil sambil aku mengurut perlahan kaki kirinya, kulihat matanya berkaca. Tidak dapat menahan kelopak matanya mengeluarkan cecair jernih. Disapunya air mata tersebut dengan tangan kirinya.

Mungkin juga abang Mat terkenang kembali kenangan yang pernah kami kutip bersama. Dulu- bila kami berjumpa, topik hangat yang paling kami suka ialah tentang suasana politik tanah air yang semakin keruan. Tapi kini, bercakap pun tidak mampu!!

Itulah putaran kehidupan. Terlalu pantas masa berlalu. Hari ini kita sihat, esok entahlah!!! Segalanya terserah kepada Yang Maha Kuasa. Yang pasti hari ini kita sihat dan muda. Esok... usia kita pasti meningkat biarpun kita sendiri menafikannya.

Tapi sayang, ramai di antara kita seakan alfa tentangnya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails