rindunya

aku merindui kalian...


Rindunya aku pada rakan-rakan lama. Rakan semasa sekolah, semasa di maktab perguruan dan juga semasa di universiti. Tika hujan turun di waktu-waktu senja begini mengamit segala rindu kepada mereka. Oh..rindunya. Pada teman sekolah dulu, di mana kalian... aku rindu kamu semua

i. Ahmad Rizal

Rindu pada Ahmad Rizal yang khabarnya sudah menetap di Johor Bharu. Bekerja dan berkahwin dengan orang sana. Kenangan semasa study di rumahmu masih kuat dalam ingatan ini. Teringat kebaikkan ibumu yang sentiasa membancuh Kopi O panas buat kita mentelaah pelajaran. Dan yang paling hebat tentang gelagat kita yang ala-ala profesor gila dulu. Mencipta sesuatu dari pengetahuan fizik yang ciput. Nyaris-nyaris bilikmu terbakar akibat kerja gila kita. Dan bila kita hendak melepaskan tension belajar, kita akan sama-sama pergi mandi di parit tali air berhampiran kampung kita. Kita berlumba-lumba menyelam dan mengumpul siapa yang paling banyak mendapat 'etok''. Seperti dalam pelajaran, kau juga yang menang. Kau tahu Rizal, aku amat sedih bila kita terpisah apabila kau dapat tawaran ke Universiti Malaya. Kau beruntung Rizal, lahir sebagai anak ketua kampung yang memahami kepentingan pelajaran. Mula-mula masuk U dulu, kau begitu ghairah menghantar surat menceritakan kesukaran belajar di sana. Kemudian surat-suratmu beransur kurang dan akhirnya tiada langsung. Aku kehilangan seorang kawan baik.

ii. Nasir

Kau seorang pelajar yang dikagumi di sekolah. Menjadi ketua murid. Aku dari dahulu lagi cemburu melihatmu. Cemburu bila kau mempunyai ramai peminat. Ramai kawan. Malah kau juga pandai melukis. Aku masih ingat lagi, kau paling top bila cerita cintamu tersebar dengan rakan kelas kita, si Noriza tu. Cemburu aku bertambah, bila kau merupakan pasangan yang paling romantis. Siapa dalam kelas kita yang tak tahu tentang kehebatan cinta kalian. Berbalah, bertengkar kemudian berdamai kembali. Tapi sayang... cinta kalian tidak sampai ke jinjang pelamin. Kalian berpisah apabila kau dapat tawaran ke Universiti Malaya manakala si Noriza mendapat keputusan yang kurang baik.

Tapi aku terkejut melihat perubahanmu bila pulang bercuti dari U. Kamu benar-benar perubah. Penampilanmu jauh berbeza. Cara bercakap, berpakaian dan yang anehnya kau mula menghisap rokok. Dulu... kau adalah seorang yang cukup anti dengan rokok. Aku pun kau marah apabila aku berjinak-jinak dengan merokok saat aku kecewa tak dapat tawaran U sepertimu. Dan dengar khabarnya, kau akhirnya dibuang dari universiti.

Tapi nasib masih menyebelahimu, apabila lagi sekali kau diterima masuk ke maktab perguruan dan akhirnya menjadi cikgu. Begitulah, takdir manusia di tangan tuhan.


iii. Noriza

Kisahmu cukup hebat dari dulu sampai sekarang. Aku pernah melihat kau menangis di saat kau bermasam muka dengan si Nasir. Kau benar-benar cintakan Nasir. Tapi sayang...seperti mana kata cikgu Abdullah; bila perempuan bercinta, mereka akan bercinta dengan penuh perasaan dan boleh menganggu tugas-tugas kita sebagai seorang pelajar. Kau telah buktikan kata-kata cikgu Abdullah itu. Kau gagal dalam peperiksaan SPM. Kau terkontang-kanting sendirian bila Nasir dapat masuk U dan mula melupakan dirimu. Tapi kau beruntung juga, kerana emak kau seorang guru, ayah seorang pengurus maka dapat membiayai persekolahanmu di sekolah swasta. Akhirnya kau berjaya menjadi seorang guru.

Tapi sayang...lagi sekali mendung datang dalam hidupmu. Kau lagi sekali membuat kesilapan. Kali ini kamu memilih suami orang sebagai pasangan hidupmu. Emak dan ayahmu cukup marah dengan tindakanmu. Kerana terlalu marah, mereka tidak mengaku kau sebagai anaknya. Tapi kau nekad dengan keputusanmu. Seperti zaman sekolah dulu, kau begitu setia dengan cintamu....

iv. Adnan

Aku tidak mengenal sepenuhnya dirimu. Maklumlah kau berada di kelas yang berbeza denganku. Kelas aliran sains pertanian manakala aku berada di dalam aliran sains. Aku mengenalmu bila kau sering berada di perpustakaan. Kau pun tahu perpustakaan adalah rumah keduaku. Kita berkenalan di sana. Menceritakan latar belakang masing-masing. Kita mempunyai ciri-ciri yang hampir sama... anak petani.

Kisah kau yang paling aku tak dapat lupa ialah bila mana surat cinta kau kepada Juliana di rampas oleh cikgu Zulkifli, cikgu disiplin kita. Biarpun kau tulis dalam kod rahsia namun cikgu Zul masih lagi mampu menterjemahkannya dalam perhimpunan mingguan sekolah. Aku melihat mukamu merah padam menahan malu. Sejak itu, kau mula bersikap pendiam. Kurang bercakap denganku.

Dan tanpa aku sedari, air mataku menitis apabila aku mendapat tahu kau telah meninggal dunia. Kau terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa pulang dari peperiksaan SPM. Tuhan sahaja yang tahu, betapa aku ingin menziarahimu ketika itu. Tapi kau sendiri tahu.. keadaanku...

Dari kejauhan ini aku sedekahkan al-fatihah buatmu. Moga rohmu berada dalam golongan yang dirahmati dan di redhai tuhan. Percayalah suatu hari nanti aku juga aku pergi ke alam barumu..






2 comments:

Anonymous said...

salam.. me too.. i miss a lot of my friends.. lost contact bila lepas sekolah... lepas u... sangat menyentuh hati membaca kisah cg keluduk tentang arwah shabat karib cg.. kita pun akan kembali juga.. sama2lah kita usaha bawa bekalan yang cukup untuk pulang...

Keluduk said...

amim...moga segala amalan kita diterima Allah hendaknya

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails