Esok Hari Raya

Saling bermaaf-maafan adalah amalan mulia

Esok hari raya. Kuliah subuh pagi ni yang disampaikan oleh Ketua Hakim Makhamah Syariah Kuala Terengganu masih lagi menyentuh tentang hari-hari terakhir kelebihan ramadhan. Beliau menyarankan mana-mana ahli-ahli jamaah yang hadir pada pagi ini yang belum mengambil kesempatan atas kelebihan bulan ramadhan masih mempunyai peluang 1 hari lagi. Bermula subuh sehingga terbenamnya matahari. Beliau juga menyentuh tentang budaya orang kita yang pada akhir-akhir ramadhan ini duk sibuk mengemas rumah, membeli pakaian, membuat kuih dan sebagainya. Bukan sebaliknya memperbanyakkan amal ibadat mengambil kelebihan bulan ramadhan yang terakhir.

Beliau juga menerangkan cara-cara yang sepatutnya menyambut hari raya dengan mempelbanyakkan tabir dan tahmid. Membanyakkan sedekah, dan saling zairah-mengziarahi di antara kita. Sebab itulah kita disunatkan pulang dari masjid mengikut jalan yang berbeza dari jalan ke masjid tadi supaya kita dapat berjumpa dengan orang lain di sepanjang jalan pulang tersebut.

Di rumah; aku melihat isteri dan anak-anakku mengambil bahagian masing-masing dalam mengemas rumah. Naya pulak aku tengok. Bersungguhnya mereka nak menyambut hari raya. Supaya mereka tak berkecil hati, aku capai alat mesin rumput dan potong rumput di halaman rumah biarpun rumput itu masih belum panjang lagi. Aku mahu mereka tahu yang aku juga bersemangat seperti mereka. Dan lagi satu aku tak mahu mereka jadi sepertiku dulu. Pada hari raya yang tiada baju raya, kasut raya, apatah lagi songkok dan baju melayu. Aku hanya ada baju melayu apabila aku hendak masuk ke maktab perguruan sahaja. Biasanya bila sudah sahaja solat sunat hari raya, aku banyak lepak rumah mak saudara kerana di sana aku ada sepupu yang senasib denganku. Aku malu untuk pergi ke rumah kawan-kawan kecuali rumah sahabat karibku Ahmad Rizal. Hari selebihnya aku banyak berada di dangau ( pokok kecil ) di tepi sawah. Melayang perasaan melihat liuk lingkup bunga-bunga padi ditiup angin. Sesekali aku mengaju bunyi burung pipit.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails