perjalanan itu..




Dalam perjalanan ke Kuantan, aku singgah sekejap di Mesra Mall dekat Temasik, Kemaman. Wah! Hebat juga negeriku rupa-rupanya. Terasa diri macam berada di pusat membeli belah kat Kuala Lumpur pulak. Melihat gaya dan pakaian pengunjung juga menampakkan mereka seakan-akan bukan orang-orang tempatan yang berada di sekitarnya. Pada firasat aku, mereka adalah orang-orang luar dari Terengganu yang cuma bekerja di daerah ini sahaja. Maklumlah orang-orang yang aku jumpa rata-rata bercakap loghat luar. Atau barangkali ada anak tempatan yang malu untuk bercakap dailek ‘Terengganu kite’. Kurang standrat katanya. Biarlah... kadang-kadang aku pun tanpa sedar bercakap loghat luar jugak.

Puas di Mesra Mall aku bersama ‘angkatan’ku berehat di Awana Kijal. Kami bersyukur kerana ada pihak yang sponsor kami bermalam di sana selama dua malam. Sebelah malamnya pula, kami lagi sekali pergi mencuci mata di Mesra Mall. Jaraknya yang mengambil masa tak sampai 15 minit itu benar-benar dapat menghilangkan kepenatan madam aku. Kali ini, terbanglah beberapa keping not RM50 dibuatnya. Tapi, barang-barang yang dibeli oleh tok puan aku dapat memenuhi kehendak bersama.

Selepas bersolat subuh, aku bersiap untuk ‘berjongging’ sambil meninjau-ninjau kawasan di Awana Kijal. Tok puan aku malas turut serta. Katanya; dia nak berehat dan menyambung kembali tidurnya. Aku mengajak anak lelakiku menemani aku. Sempatlah kami dua beranak menyusuri pantai. Terasa nyaman dan segar melihat ombak yang begitu setia memukul pantai. Dan pantai menjadi teman yang patut dan taat menerima kehadiran ombak biarpun sesekali ombak datang dengan perasaan menganas. Hebatnya ciptaan tuhan! Memang benarlah kata nenekku, kita akan terasa kerdil dan hina dina bila melihat dengan mata hati tentang kebesaran dan kehebatan Allah menjadikan alam fana ini.

Cuaca yang tidak menentu; sekejap hujan turun dengan lebat, sekejap panas melambatkan perjalanan kami ke Kuantan. Mujur mataku tidak mengantuk kerana tok puan kat sebelah asyik menyuap makanan sejak bertolak dari Awana Kijal tadi. Anak-anak kat belakang dah lama lentok.

Kuantan masih lagi tidak berubah sejak aku tinggalkan selepas tamat pengajianku di Maktab Penguruan Teruntum dulu. Cuma ada beberapa buah bangunan yang didirikan di kawasan lapang semasa aku tinggal di daerah ini dulu. Rimbunan pokok buluh tempat aku dan member-member mengambil buluh untuk dijadikan gajet perkhemahan dulu masih ada lagi saki bakinya. Tidak di'makan dek pembangunan bandar Kuantan. Aku tidak berhenti mulut menceritakan setiap tempat yang pernah aku lalui dulu kepada anak-anakku. Aku tunjukkan kepada mereka tempat aku belajar dulu yang kini telah bertukar wajah kepada Pejabat Pelajaran Daerah Teruntum. Aku juga tunjukkan tempat aku bersama member serumah membeli sayur mayur di waktu pukul 4.30 pagi di pasar borong yang kini tempatnya telah digantikan dengan pasaraya mewah. Mereka terlopong dan bagaikan tidak percaya bila aku katakan tempat itu dulu adalah dataran luas tempat peniaga-peniaga menjalankan urusannya dari pukul 2.30 pagi sehingga pukul 6.00 pagi. Pukul 7.00 segalanya bersih dan dijadikan tempat parking kereta dan tempat jualan lain pula.

Jauh di sudut hati, aku seakan-akan melihat kembali gelibat rakan-rakanku semasa pulang dari tempat belajar. Dan di sudut bangunan sana... aku melihat diriku sendiri sedang setia menunggu Chen Siew Peng yang meminta aku menemaninya untuk sama-sama berjalan beriringan pulang dari kuliah malam.



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails