banjir lagi..

...air bah yang telah masuk ke laman rumahku

Hujan turun lagi. Air sekitar rumah sudah mula melimpah ke garaj kereta. Dua buah kereta terpaksa aku tumpangkan ke rumah jiran yang kedudukannya lebih tinggi dari rumahku. Anak-anak tak henti-henti bermain air hujan. Sekejap naik ke rumah, ‘isi perut’ dan kemudian turun lagi ke laman rumah bermain air bah. Anakku yang bongsu begitu jelous kerana dia
tak boleh bermain air hujan kerana masih lagi berada di dalam pantang ‘Jawi’( bersunat). Setiap kali abang dan kakaknya keluar bermain air hujan setiap kali itulah dia akan bertanya bilakah lagi akan tamatnya perintah berkurung tersebut. Nasib baiklah dia ada geng kerana sepupunya juga turut sama ‘berjawi’.

Isteriku pula tak lengkang berada di dapur. Memasak apa yang patut. Katanya masa cuti inilah waktu ‘qada’ mana-mana tanggungjawab yang tertinggal pada waktu persekolahan dulu. Apa lagi aku pun tumpang sekalilah. Nampaknya tentu banyak baju-bajuku yang ‘mengecil’ nanti. Tak nak makan, takut isteri merajuk pulak. Tapi yang sebenarnya, aku yang pantang tengok. Tengok aje, terus makan. Ha!ha!ha! Bilalah aku boleh kuruskan badan, tak tahulah.

Dalam akhbar sinar hari ini, Kuala Terengganu telah diisytiharkan bahawa air bah telah sampai ke peringkat merah. Kecut perutku bila mendengar berita ini. Maklumlah rumahku berhampiran dengan anak sungai. Silap-silap hari bulan tak pasal-pasal pulak kami sekeluarga berpindah ke pusat pemindahan. Aku dan isteri telah membuat perancangan, kot-kot air bah masuk ke dalam rumah nanti. Dekat mana nak letakkan barang-barang yang terdapat di dalam rumah. Peti sejuk, set TV, perabot dan lain-lain lagi. Susah jugak membayangkannya. Tak tahulah mereka yang saban tahun rumahnya di landa air banjir sama ada banjir kilat mahupun banjir bermusim. Tentu mereka telah ‘lali’ memikirkannya. Tapi sepanjang 6 tahun berada di rumah kami, air banjir belum lagi masuk ke lantai rumah. Paling tidak pun hanya mencecah lantai koridor sahaja. Harap-harap tahun ini begitu jugalah. Semenjak semalam aku tidak lena tidur. Sekejap-kejap bangun, jenguk keluar lihat tanda paras air yang direka oleh aku dan anak keduaku. Bangga benar dia bila dia dtugaskan untuk melihat tanda paras air tersebut setiap 1 jam. Rumah adik iparku yang baru sahaja diduduki dua hari yang lepas telah menjadi ‘pulau’ bila disekeliling rumahnya telah ditenggelami air banjir. Untuk pergi ke rumahnya terpaksa mengharungi air separas paha. Dia lagi pening kepala kerana semua perabot di dalam rumahnya baru sahaja dibeli. Dia juga seperti kami, mendoakan hujan tidak berlarutan biarpun di langit masih lagi mendung gelap.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails