ubi kayu rebus

...bestnya kenangan makan ubi kayu rebus

Pagi ini hujan turun lagi. Semenjak dua hari yang lepas, hujan turun waktu pagi. Ah, malasnya mahu mandi! Sejuk! Teringat zaman kecil dulu-dulu, kalau hujan begini ayah akan nyalakan unggun api di bangsal berhampiran rumahku. Unggun api itu biarkan berbara dan menyala sepanjang musim hujan. Ayah sengaja mencari kayu api yang besar-besar agar bara api tahan lama. Sudah menjadi kebiasaan ayah, selepas dia memotong rumput untuk lembu-lembunya dia akan memanaskan badan di unggun api tersebut. Aku pula, bagaikan diarah akan membakar ubi kayu atau merebus ubi kayu di unggun api itu. Sementara menunggu ubi kayu yang direbus itu masak, aku lihat ayah mentelengkupkan tapak tangannya ke arah asap dan selepas itu meletakkan tapak tangan tersebut ke dada dan di bawah ketiak secara bersilang. Kata ayah itulah caranya memanaskan badan yang sejuk menggigil. Aku mengambil batang buluh yang telah dipotong di kedua ruasnya. Aku dekatkan batang buluh yang dijadikan corong ke mulut dan kemudian meniup ke arah bara api yang hampir padam. Bara api itu kembali menyala. Dan sekiranya gagal juga, aku akan mengambil tudung periuk dan mengibas-gibas bara api itu sehinggalah bara api itu marak kembali. Bila ubi kayu rebus dah masak, kami akan mencicah ubi kayu itu dengan nyior muda parut. Supaya ubi kayu itu lebih enak, emak aku biasanya membancuh kopi pekat untuk menolak ubi kayu ke halkum. Ayah menggunakan masa ini untuk bercerita tentang kesusahan yang dihadapinya semasa zaman mudanya. Aku melopong dan kagum dengan ketabahan ayah. Dalam hatiku, aku ingin menjadi seperti ayah, supaya sifat sabar dan tabahnya akan mengalir ke dalam diriku.

Pagi ini, aku juga ingin anak-anakku merasai pengalaman sepertiku dulu. Sengaja aku ajak mereka mencabut ubi kayu yang aku tanam di tepi pagar rumahku di waktu hujan turun. Aku lihat anak bongsuku yang berumur 7 tahun bersemangat memegang batang ubi kayu. Berkerut wajahnya menarik keluar isi ubi kayu. Tapi tak berjaya. Datang pula anak lelakiku yang kedua cuba membantu adiknya. Tak berjaya juga. Sengaja aku membiarkan mereka dengan aktiviti itu. Kemudian datanglah ayahnya yang gagah perkasa membantu dan menerangkan teknik-teknik yang betul mencabut ubi kayu. Dengan power ultraman kami, akhirnya berjaya mencabut ubi kayu tersebut. Ketawa riang mereka. Aku pun turut tersengih melihat aksi mereka.Tanpa membuang masa, aku mengajar anak-anak lelakiku cara-cara untuk mengupas kulit ubi kayu dan membersihkannya. Selebihnya aku serahkan kepada emak mereka untuk merebus ubi kayu. Tapi sayang, mereka tidak ada pengalaman untuk merebus ubi kayu menggunakan unggun api, sebaliknya melihat emak mereka merebus ubi kayu menggunakan dapur gas. Tugasku rupanya belum selesai lagi bila diminta oleh isteriku untuk memarut nyior bagi dicicah dengan ubi kayu nanti.
Akhirnya kami anak beranak bersarapan pagi dengan ubi kayu bersama kopi ‘o’ kauw yang dibancuh isteriku.

2 comments:

Bila said...

ayahnya gagah..
anaknya???hihi........

xpew...anak bwu belajar...
paksu dah berpengalaman kan...hihi

Keluduk said...

ayah dan anak sama-sama kuat, hihi

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails