cinta gila


....aku telah jatuh cinta kepada isteriku

Layakkah aku untuk membicarakan tentang cinta. Aku bukan seorang penulis novel yang pandai menggarap ayat-ayat cinta. Pun demikian aku seakan terpanggil untuk menulis jua tentang cinta. Apa yang aku tahu dan mengerti cinta itu adalah anugerah Ilahi yang suci. Dengan perasaan cinta ini, hidup kita akan dipenuh dengan pelbagai warna pelangi. Cinta boleh membuatkan seseorang itu bahagia. Cinta juga boleh membuat seseorang itu merana, kecewa, dan sanggup melakukan apa sahaja untuk cinta.

Aneh bukan? Tapi itulah hakikat sebuah cinta. Bila cinta mula berputik, maka dunia diterangi kebahagiaan. Perasaan merindu sering kali menujah jauh ke lubuk hati. Lantas terasa detik cepat berlalu bila bersama dengan pasangan kita. Atau masa terhenti bila menunggu ketibaan si dia.

Ah! Malas aku untuk menceritakan perasaan bahagia itu. Semua orang yang dah melalui pengalaman bercinta itu tahu dan mengerti apa yang aku maksudkan.

Cuma kali ini aku ingin memperkatakan tentang kekeliruan pelajar-pelajarku dalam menterjemahkan pengertian cinta. Percintaan dibangku sekolah merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Maklumlah ini adalah kali pertama menyayangi orang lain selain keluarga kita. Dan lebih manis dan menjadi kenangan terindah lagi sekiranya percintaan tersebut dapat kekal hingga ke jinjang pelamin. Tapi daripada pengetahuanku, percintaan ini jarang-jarang berlaku. Yang biasa berlaku adalah cinta kilat, cinta monyet dan macam-macam lagi istilah yang membawa maksud cepat jatuh cinta dan lagi cepat putus cinta. Aku juga pernah jatuh cinta semasa di bangku sekolah. Tapi sayang, cinta aku itu juga boleh dikategorikan dalam cinta monyet. ( Dalam entry yang lepas, aku pernah ceritakan kisah percintaanku dibangku sekolah ). Walaubagaimanapun ianya cukup indah untuk dikenang kerana cintaku dulu tidak disaluti dengan noda dan dosa seperti pelajar sekarang. Cinta pelajar hari ini menagih 'penyerahan' secara total. Bermula dengan pegang-pegang tangan, kemudian cium di pipi, menjalar dan terus menjalar... sehingga berlakunya noda!

Bagi mereka cinta itu memerlukan 'pengorbanan'. Dan yang terkorban itu sudah semestinya pelajar perempuan yang memang sifatnya menyerah. Begitulah perubahan ketara yang berlaku di zaman aku remaja dulu dengan sekarang. Cinta yang seharusnya disemai dengan perasaan kasih sayang yang suci dan indah telah dicemari dengan nafsu serakah. Puncanya kerana di dalam dada mereka tiada nilai-nilai asuhan agama. Kegagalan ibu bapa, guru-guru dan juga persekitaran dalam menerap nilai-nilai didikan agama telah menambah nilai buruk ini. Di bawah ini merupakan beberapa faktor yang menjadi pemangkin kepada nilai-nilai buruk cinta pelajar hari ini mengikut pandangan aku dan nenek aku:-

  • Ibu bapa yang terlalu sibuk mencari rezeki yang kononnya untuk menyara keluarga telah tanpa sedar menjadikan pekerjaan mereka sebagai satu alasan untuk kurang menpunyai masa untuk mendidik anak-anak. Hakikatnya rezeki yang dianugerahkan tuhan sudahpun memadainya, Tetapi kerana ingin kemewahan hidup mereka sanggup mengabaikan tanggunjawab yang telah diamanahkan kepada mereka iaitu anak. Tiada lagi ajaran membaca Al-Quran di rumah, sembahyang berjemaah malah yang lebih teruk tiada masa untuk makan bersama dengan anak-anak. Apatah lagi untuk bertanya khabar tentang permasalahan yang dihadapi oleh anak mereka.
  • Handset ( telefon bimbit ). Satu lagi alat komunikasi yang disalahgunakan oleh anak-anak. Kemudahan komunikasi ini telah diharamkan atau tidak dibenarkan sama sekali di bawa oleh anak-anak kita ke sekolah. Biarpun ada pro dan kontranya, namun Kementerian Pelajaran dengan beraninya menegaskan bahawa alat ini tidak dibenarkan dibawa ke sekolah bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingin berlaku. Bagiku, langkah ini adalah satu langkah bijak. Penggunaan handset lebih-lebih lagi handset yang mempunyai memory card merupakan satu penyebab utama kepada cinta gila yang aku maksudkan di atas. Handset jenis ini yang dilengkapi dengan 3gp mahupun mp3 memudahkan 'movie-movie l***h' tersebar dengan cepat. Ini memangkin pelajar untuk bermain cinta gila itu. Selain itu, penggunaan handset kepada pelajar-pelajar ini mendorong mereka untuk menjadi seorang yang suka bercakap bohong dengan ibu bapa mereka disamping mereka lebih mudah berjanji untuk buat date dengan pasangan mereka.
  • Basic agama Islam mereka longgar. Pelajar-pelajar kita hari ini tidak takut kepada dosa pahala. Bagi pelajar perempuan, mereka lebih takut 'mengandung' berbanding azab dosa daripada perbuatan mereka. Penghayatan ajaran agama Islam kurang malah tiada langsung dalam rutin seharian mereka. Solat hanya di sekolah. Itupun kerana guru yang mengawasi mereka. Sekiranya guru alfa dan kurang cakna mereka sanggup berada di dalam tandas berjam-jam daripada menunaikan solat di surau sekolah. Inilah lumrah pelajar-pelajar kita hari ini.
Apapun, marilah sama-sama kita berusaha dengan sungguh-sungguh untuk menyemai nilai-nilai kehidupan akhirat buat pelajar-pelajar kita. Biarpun kita cikgu matematik, guru sains, guru bahasa inggeris tetapi ambil sedikit masa untuk menyelitkan unsur-unsur Islam dalam pengajaran kita dengan memperingati tentang kesudahan kehidupan kita. Semoga dengan usaha kita itu, Allah melemparkan kesedaran buat anak-anak dididik kita tentang bahayanya cinta yang tidak diredhai oleh IIahi. Amim.!!!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails