bersyukur atas pemberianNYA



Syukur kepada Allah kerana hari ini nampaknya cuaca baik. Langit cerah. Awan putih kecil berarak ke hulu. Mungkin petang nanti awan-awan ini akan berkumpul, mendung dan kemudian akan turun hujan. Apa pun, bukan aku seorang sahaja yang gembira dengan cuaca pagi ini malah burung-burung merbuk di belukar belakang rumahku jua turun galak menyanyi. Inilah kehebatan Allah, rahmatNYA bukan diturun kepada makhluk bernama manusia sahaja tetapi kepada semua ciptaannya; dari sebesar-besar saiz hingga sekecil-kecilnya. Cuma kita bersifat alfa dan tidak tahu bersyukur sahaja yang seringkali tidak memikirkan setiap kejadian tuhan yang berlaku disekeliling kita.

Jesturu untuk memujuk hati kita yang keras dan bebal ini, marilah sama-sama kita mengambil sedikit waktu yang diberikanNya bagi merenung kembali perjalanan hidup yang kita lalui sehingga saat ini. Dari seawal-awal ingatan kita mungkin bermula seusia 6 tahun hingga ketika kini; tentu banyak peristiwa, salur galur, pahit maung, masam-masam manis kehidupan kita yang telah dianugerahkan IILahi yang kita tidak bersyukur atas pemberianNYA.

TERLALULAH banyaknya pemberian rahmatNYA...!!!!

Perbezaan rentetan hidup di antara kita, sebenarnya memberi warna keindahan kehidupan. Miskin-kaya, tinggi-rendah, suka-duka, merana-bahagia, gembira-kecewa adalah rempah ratus kehidupaan yang tersirat dan tersurat pelbagai rahmat dan keindahan ciptaan tuhan. Di perhujung kehidupan hanya satu yang dinilai iaitu KETAKWAAN kita kepada Allah. Persoalannya bagaimanakah cara yang sebaik mungkin untuk kita mengurus kehidupan menuju ke arah ketakwaan kepada Sang Pencipta walau apa pun kedudukan dan status kita.

Bermula dari kita bangkit tidur sehingga kita kembali ke tempat tidur; cara berkomunikasi, cara kita berpakaian, cara kita bekerja, malah segala-galannya. Apakah urutan peristiwa seharian kita itu menepati jalan-jalan menuju ketakwaan. Tepuk dada, tanyalah iman kita.

Pun demikian, kita masih mengharapkan orang-orang yang berada disekeliling kita untuk memberi teguran ikhlas agar kita terus berada di landasan ketakwaan yang benar.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails