hujan turun lagi

air hujan yang melimpah berhampiran rumahku

Hari ini hujan turun lagi. Makin hari, makin jelas negeri kesayanganku, telah masuk musim tengkujuh. Harga ikan dah mula naik. Alasan yang diberikan oleh peniaga ikan ialah nelayan sukar ke laut. Macamlah mereka ( peniaga ikan ) yang turun ke laut. Geram jugak hatiku bila mereka menggunakan alasan demikian. Apapun kita sebagai pengguna nak tak nak terpaksa juga membelinya. Hajat hati nak bertukar selera ke ikan air tawar seperti ikan keli, ikan puyu, ikan haruan. Tapi dalam keluargaku hanya golongan lelaki sahaja yang makan ikan air tawar.

Sejak hujan turun ini, saban petang aku akan menjenguk anak parit yang berada di sebelah pagar rumahku. Timbul juga perasaan risau melihat air semakin naik. Maklumlah hujan setiap petang turun. Tahun lepas hanya sejengkal lagi lantai koridor rumahku hendak di naiki air. Garaj kereta telah ditenggelami air. Aku terpaksa memindahkan kereta ke rumah jiran yang kedudukkannya lebih tinggi dari rumahku.

Anak-anakku memang seronok bila hujan turun. Bukan apa, mereka suka mandi hujan. Kadang-kadang aku pun tumpang sekaki mandi hujan. Sambil itu, aku minta tolong mereka bersihkan longkang-longkang rumah sekali. Sebenarnya aku nak awasi mereka, takut-takut kerana terlalu asyik bermain hujan mereka pergi ke tepi parit pulak. Bimbang + takut kerana setiap kali tiba musim-musim hujan begini ada sahaja cerita anak-anak yang lemas.

Bila cerita tentang hujan , aku teringkat kat emak dan ayah di kampung. Waktu-waktu begini adalah waktu-waktu yang sukar bagi mereka. Lembu-lembu yang perlu ditambat di kandang. Kambing-kambing yang perlu diberi makan daun-daun kayu. Kerja-kerja itu memerlukan kudrat dan terpaksa berbasah air hujan. Pernah aku suarakan kepada ayah supaya tidak payah lagi memerlihara kambing dan lembu. Tapi kata ayahku, pekerjaan tersebut sudah menjadi darah daging dan juga untuk mengisi masa lapangnya. Aku diam dan akur dengan kata-katanya. Jauh di sanubariku aku bersyukur kepada Allah kerana masih lagi mempunyai emak ayah yang masih sihat.






2 comments:

NuRuL LaTiFah said...

mcm kenal jmbatan nie...
hahahahaha..

Keluduk said...

ye ke tu....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails